-

Zikir Yang Berhajatkan Fikir
Posted By Abu Saif On 20/04/2009 (11:28 pm) In Teladan Hidup


“Abang, atap rumah kita sudah bocor.. Dapur sudah masuk dua hari tak berasap” 
rungut si isteri. 
“Abang tahu. Maafkan abang” balas sang suami. Riak wajahnya menampakkan kesal 
yang mendalam. 
“Apa kita nak buat sekarang?” tanya si isteri lagi. 
“Marilah berzikir, sayang. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar…!” jawab si 
suami. 
“Apa abang ni? Orang cakap betul-betul, dia main-main pula” marah si isteri. 
Itu bukan jawapan yang diharapkannya. Ketika hati panas mengeluh tentang 
kemiskinan dan kesusahan hidup, sepatutnya seorang suami mendatangkan idea-idea 
yang boleh mengubah keadaan. Biarlah ada perancangan tentang menambah kerja, 
berniaga pasar malam atau apa sahaja. 
Tapi bukannya wirid-wirid! Zikir-zikir! 
“Bukankah di dalam al-Quran Allah sudah berjanji” si suami mempertahankan 
pendiriannya. 
Mungkin dia merujuk kepada firman Allah: 
“…ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia” [al-Ra'd 
13: 28]
“Yelah tu, bang! Nanti kalau anak kita menangis kelaparan, abang suap dia 
dengan biji tasbih ya!” sindir si isteri. 
Si suami termenung. Cakap isterinya makin melalut. Dalam suasana begini, jangan 
dipanjang-panjangkan bahas dan debat. Nanti makin jauh tersasar dari jalan 
kebenaran. 
Walaupun hatinya panas mendengar celoteh isteri, tetapi terdetik juga di 
fikiran. Tenangkah hati kalau semasa perut lapar dan rumah bocor, mulut 
berzikir dan bertasbih. Kalau semasa menerima bil demi bil pada hujung bulan, 
terhapuskah tekanan dengan zikrullah? Pahala tu pahala juga. Tetapi duit tetap 
nak kena cari. 
Maha Suci Allah daripada sifat mungkir janji. Sudah diberitakan-Nya bahawa 
zikir itu mengundang tenang. 
Subhanallah… tidak mungkin ayat itu menipu. 
Maha Suci Allah daripada memberikan penyelesaian yang tidak praktikal. 
Maha Suci Allah daripada menjadikan tubuh badan manusia berkehendakkan makanan, 
tetapi disuap-Nya dengan zikir semata-mata. 
“Eh, sudah empat kali aku menyebut Subhanallah! Kalau Allah Subhanahu wa Taa’la 
itu Maha Suci daripada segala sifat tadi, tentu sahaja silapnya ada padaku. Aku 
yang patut mencari di mana kelemahan aku dalam merancang kehidupan” kata si 
suami. 
“Alhamdulillah… tenang sikit rasa hati” monolognya sendirian. 
Setelah perasaan, fikiran dan sangkaan yang negatif tentang kehidupan ini 
(tentang Allah barangkali) disembuhkan, barulah terbuka matanya untuk melihat 
satu demi satu nikmat yang hakikatnya masih banyak dan menanti untuk 
dimanfaatkan bagi memperbaiki kehidupan. 
Masih sihat. 
Masih bertangan dan berkaki. 
Masih bermata dan bertelinga. 
Masih punya banyak kurniaan yang diberikan Allah secara percuma untuk diguna. 
Alhamdulillah! 
Terpacul ungkapan yang memuji Allah. Bahawa kesusahan yang dialami bukan kerana 
zalimnya Allah ke atas diri, tetap sebagai peringatan ke atas diri yang sudah 
lama menzalimi diri sendiri, kerana tidak menggunakan sepenuhnya segala nikmat 
yang diberi. 
Alhamdulillah! 
Syukur kepada Allah, dirinya tidak jadi sinikal seperti si isteri. Fikirannya 
dapat diluruskan dan Alhamdulillah beliau mendapat kekuatan untuk berfikir dan 
tidak berputus asa. 
“Allahu Akbar!  Allah tidak tipu. Aku sudah tenang. Ayat itu benar. Aku mesti 
mengajak isteriku sama. Dalam zikir mesti ada fikir. Baru tenang hati dan 
tenang minda,” kata si suami.
 
FORMULA DI SEBALIK WIRID 
Benar… kisah di atas sepatutnya bukan kisah yang asing. 
Ketika kaum Muhajirin mengadu kepada Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa 
sallam tentang kemiskinan mereka, reaksi baginda juga sama. Muhajirin mengadu 
bukanlah tentang kemiskinan yang menyeksa kehidupan, tetapi kemiskinan yang 
mengurangkan peluang amal. Kurang peluang bersedekah dan membantu sesama 
ikhwah. 
 
Daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, bahawa (di suatu hari) telah datang 
golongan fakir dari kelompok Muhajirin kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa 
sallam, lalu mereka berkata: Orang-orang kaya beroleh darjat yang tinggi dan 
baik terpuji. Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata: apa yang kalian 
maksudkan? Jawab mereka: Orang-orang kaya itu bersolat seperti kami bersolat, 
mereka berpuasa seperti kami berpuasa. Mereka bersedekah tetapi kami tidak 
bersedekah kerana tidak punya harta. Mereka membebaskan hamba abdi, tetapi kami 
tidak mampu berbuat demikian…
Malah keletihan menguruskan rumahtangga dengan kerja-kerja yang kasar dan berat 
oleh Saidatina Fatimah radhiyallaahu ‘anha juga diberikan reaksi yang hampir 
sama oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. 
 
Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Mahukah kamu sekiranya 
aku ajarkan kepada kamu satu amalan yang akan dapat menyamai orang-orang yang 
sebelum kamu dan dapat mengatasi orang-orang yang sebelum kamu? Tiada seorang 
pun yang lebih baik daripada kamu melainkan mereka yang melakukan amalan 
sebagaimana yang kamu lakukan itu?
Apakah yang bakal diajar oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada 
sahabat? 
Kaedah mengenal pasti peluang-peluang perniagaan? 
Teknik pertanian terkini untuk memajukan hasil bumi Madinah? 
Strategi pemasaran untuk meluaskan urus niaga mereka? 
Tidak… 
Apa yang diajar oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam adalah lebih penting 
daripada itu semua. Kesemua yang disenaraikan di atas adalah perkara sekunder. 
Sedangkan apa yang lebih utama, membetulkan suasana dalaman akal, hati dan 
nafsu manusia. 
Bahkan, ajarkanlah kepada kami ya Rasulullah! Baginda allallaahu ‘alayhi wa 
sallam bersabda: Kamu bertasbih, kamu bertakbir dan kamu bertahmid setiap kali 
selesai mengerjakan solat dengan bilangan tiga puluh tiga kali
Subhanallah… 
Alhamdulillah… 
Allahu Akbar… 
33 kali setiap satu setiap kali selesai bersolat… 
Kalimah-kalimah ini memang ringan di lisan dan berat di Mizan. Tetapi 
kehebatannya tidak terhenti pada soal pahala Akhirat yang menjadi ‘matawang’ 
kita di Sana. Ia juga mempunyai implikasi yang besar kepada diri manusia yang 
melaziminya pada kehidupannya di dunia. 
Kalimah yang berkuasa tinggi. 
Diucapkan dengan emosi. 
Diulang 33 kali. 
Mustahil ia sekadar soal pahala. Sebaliknya zikir itulah kunci untuk manusia 
miskin dan susah bangkit dari segala keadaan itu kepada kehidupan yang lebih 
baik. Cemerlang.
 
SUBHANALLAH 
Apa yang diSUBHANALLAHkan? 
Maha Suci Allah daripada sifat ZALIM dan menzalimiku hingga hidupku susah 
begini. 
Maha Suci Allah daripada sifat JAHIL hingga Allah tidak tahu tentang apa yang 
sedang aku alami. 
Maha Suci Allah daripada sifat BUTA hingga tidak nampak penderitaan yang 
kutanggung ini. 
Maha Suci Allah daripada sifat PEKAK hingga tidak mendengar keluhan dan doaku 
ini. 
Maha Suci Allah daripada segala kekurangan. Dan Allah yang Maha Sempurna itu, 
tidak harus dinisbahkan kepada-Nya sebarang prasangka dan persepsi yang 
negatif. 
Justeru jika kemiskinan ini menjadi suatu kecelakaan ke atas diriku, maka 
bukanlah kerana Allah mengurangkan pemberian-Nya, tetapi aku yang gagal 
memanfaatkan ‘modal percuma’ yang diberi. Aku yang menjadikan kemiskinan itu 
keburukan. 
Jika kita berniaga dengan modal RM50 dan hasil jualan berjumlah RM70, ini 
bermakna kita untung RM20. Berapakah modal yang kita keluarkan untuk memiliki 
tangan, kaki, kepala, mata, telinga, otak,  dan tubuh badan ini sebagai bahan 
untuk mencari laba kehidupan? 
PERCUMA! 
Semuanya diberikan oleh Allah dengan elok dan baik.. Justeru pada saat aku 
merasakan bahawa aku tidak memiliki apa-apa, aku masih punya sebab yang besar 
untuk mengucap syukur atas keuntungan perniagaan hidup tanpa modal sendiri ini. 
Alhamdulillah…
 
ALHAMDULILLAH 
Segala puji bagi Allah yang memberikan aku kehidupan untuk kuberjuang dalam 
kehambaan kepada-Mu. 
Segala puji bagi Allah yang memberikan aku tubuh badan untuk tujuan itu. 
Segala puji bagi Allah yang mengurniakan aku akal hingga aku mampu berfikir 
sebagai penghulu kehidupan. 
Segala puji bagi Allah yang rupa-rupanya mengujiku dengan kemiskinan agar 
terdesak untuk bermuhasabah, terdesak untuk mencari kembali pemberian-pemberian 
yang banyak dalam kehidupan, terdesak untuk mengubah cara hidup, terdesak untuk 
bangkit dan seterusnya menjadi manusia yang lebih baik serta berjaya, di dalam 
SYUKUR. 
Alhamdulillah. 
Subhanallah telah meluruskan kepercayaanku, justeru datanglah makna yang besar 
tatkala aku mengucap Alhamdulillah. Benar-benar segala puji itu adalah 
untuk-Nya. 
ALLAHU AKBAR 
Tenang… kecamuk jiwa beroleh damai. Kekusutan fikiran mula terungkai membentang 
jalan. Janji Allah bahawa zikir kepada-Nya menganugerahkan rasa tenang, kini 
aku benar-benar tenang. Allahu Akbar! 
Indahnya hidup berTuhan. Sentiasa ada sumber sandaran. Sandaran yang 
mencetuskan keyakinan. Keyakinan yang menyuntik kekuatan. Kekuatan yang 
menjadikan aku manusia miskin yang bangkit menuju kejayaan. 
Allahu Akbar! 
Maha Besar dan Maha Agungnya Dia, mengatasi segala-galanya. 
Sesungguhnya ZIKIR hanya mendatangkan tenang, apabila ZIKIR datang dengan 
FIKIR. 
FIKIR yang mendatangkan kejayaan, hanyalah FIKIR yang datang dengan ZIKIR. 
Itulah kehebatan aku sebagai Mukmin. Manusia ajaib yang tidak pernah 
berperasaan buruk terhadap kehidupan, kerana baik sangkanya dia kepada Tuhan. 
 
Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, daripada Suhaib radhiyallaahu ‘anhu beliau 
berkata, suatu ketika Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk bersama 
para sahabatnya dan tiba-tiba Baginda ketawa. (Melihatkan keadaan sahabat yang 
terkejut) Baginda berkata: Apakah kamu tidak mahu bertanyakan aku apa yang 
menyebabkan aku ketawa? Mereka berkata: Ya Rasulullah, mengapa engkau ketawa?  
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Ajaib sungguh perihal 
seorang mukmin. Semuanya baik belaka untuk dirinya. Jika dia mendapat sesuatu 
yang disukainya, dia memuji Allah lalu hal itu menjadi kebaikan buatnya. Dan 
jika dia ditimpa sesuatu yang dibencinya, dia bersabar. Lalu hal itu menjadi 
kebaikan buatnya. Bukan semua orang yang boleh menjadikan segala perkara adalah 
baik untuknya kecuali MUKMIN.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang   
 
ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Saifulislam.Com mengalu-alukan sumbangan anda untuk 
menampung perjalanan server. Klik di sini untuk menyumbang. Terima kasih... 
[Abu Saif] 
 ©SAIFULISLAM.COM(1998–2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com 
dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas 
menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat 
Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. 
Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian 
daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran 
atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, 
mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COMterlebih 
dahulu.

"ErtiHidupPadaMemberi"

[email protected]
68000 Ampang, Selangor  

Article taken from Saifulislam.Com - http://saifulislam.com
URL to article: http://saifulislam.com/?p=5397

just me,myself and i....,
zain azrai b abd ghani..


      New Email names for you! 
Get the Email name you've always wanted on the new @ymail and @rocketmail. 
Hurry before someone else does!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/sg/

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke