Artikel yang sangat baik utk dibaca sbg respon thdp isu wahabi..
Mudah2an ada manfaatnya..


================================================================================\
========
Date: Wed, 30 Nov 2005 01:52:51 +0800
From: "Hasrizal Abdul Jamil" <[EMAIL PROTECTED]>
Subject: Isu Wahabi: Kerugian Umur Umat Islam

Assalamualaikum WBT.

Saya minta maaf kerana tidak bersuara dan tidak memberikan apa-apa komen
berkenaan dengan tajuk Wahabi. Tetapi setiap email yang dikirim, saya
membacanya. Minggu lepas, cermin mata saya patah. Sedangkan sekarang ni saya
berbelas jam sehari mengadap komputer untuk menyiapkan buku yang bakal
dikeluarkan oleh syarikat tempat saya bekerja. Apabila sudah teruk sangat
mengadap skrin, saya diserang migrane yang paling teruk saya pernah alami.
Hingga nak buka mata pun susah. Dengar bunyi jarum jam tangan berdetik pun
sakit kepala dibuatnya. Alhamdulillah, gaji sudah masuk dan sudah buat
cermin mata baru. Lega rasanya. boleh meneruskan perjuangan di medan
penulisan ini semula :-)

Saya rasa ulasan tentang Wahabi itu sudah banyak, dan boleh dikatakan
keseluruhannya baik, Insya Allah. Saya sebenarnya sentiasa avoid untuk
tersentuh semula bab ni sebab saya rasa, pengalaman lepas sudah cukup
memeritkan, terutamanya semasa melihat adik-adik di Jordan berperang sesama
sendiri, tidak bertegur sapa dan macam-macam lagi insiden yang memalukan,
semata-mata atas isu ini. Malah, semasa di UK dan Ireland pun keadaannya
sama. Pendek kata, apabila bincang bab Wahabi ni, banyak sungguh masa
terbuang. Sebab tu kalau nak bincang pun, saya cuba mencari sudut yang belum
pernah saya sentuh.

Anyway, saya terkenang semasa di Ireland, saya ada seorang housemate
berbangsa Perancis yang pada masa itu baru 9 bulan masuk Islam. Dia masuk
Islam selepas beberapa ketika terpikat dengan falsafah, dan keindahan
syair-syair Jalaluddin ar-Rumi. Jadi, orangnya agak 'sufi' dan jiwanya
halus. Malang sekali, dalam usia Islamnya yang begitu muda, dia telah
menerima suntikan maklumat supaya berhati-hati mempelajari Islam sebab jika
tersilap, akan terjebak ke belenggu Wahabi!

Suatu hari, dia bersembang dengan saya secara personal. "Hasrizal, I have a
good news but it is not that good!". Hairan saya mendengarnya lalu saya
bertanya, "what sort of statement is this? I can't see what you are trying
to tell me". Katanya, "my wife is pregnant and I'm gonna be a daddy!" Wow,
ini sepatutnya menjadi berita gembira. Saya tanya dia, kenapa pulak awak tak
begitu gembira dengan berita ni? Dan jawapannya amat mengejutkan saya.

Dia gembira apabila mendapat tahu isterinya mengandung. Tetapi dia dihantui
rasa bimbang hingga paranoid. Katanya, dia orang sufi, suka kepada
zikir-zikir dan meminati Jalaluddin ar-Rumi. Dia takut apabila anaknya dah
dewasa, anaknya akan jadi Wahabi dan mengkafirkan dia kerana sufinya dia! Ya
Allah, rasa nak putus jantung saya dibuatnya.

"What are you talking about, mate? All these are nonsense!", rasa nak
mengamuk saya dibuatnya. Itulah kali pertama dia sebut tentang Wahabi kepada
saya dan apabila saya siasat, rupa-rupanya dia telah diberikan berbelas
keping artikel tentang bahaya Wahabi sedangkan, dia baru sahaja belajar
bertatih di dalam ilmu Fardhu Ainnya.

Ya, itu satu kenangan silam saya tentang Wahabi.

Semasa di Malaysia kira-kira pada tahun 1992, saya pernah membaca sebuah
buku kecil di dalam Perpustakaan Tun Datu Haji Mustafa, iaitu perpustakaan
sekolah saya (SMA Izzuddin Shah, Ipoh). Buku tu telah menyenaraikan Wahabi
sebagai salah satu ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal Jamaah.
Emm, saya terima sahaja benda tu dan saya tidak nampak apa signifikasinya.
Apabila saya berangkat ke Jordan dan memulakan pengajian, pada kepala saya
mudah sahaja. Saya Syafie di dalam Fiqh, saya Asyairah di dalam Aqidah,
Wahabi pula terkeluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah. Itu semacam satu
kepercayaan by default yang kita dapat dari Malaysia. Tetapi syukur, saya
tak pernah kunci mana-mana pintu untuk menilai pandangan kedua.

Satu perkara yang saya sayang tentang Jordan (I cant believe that Im
actually saying this :-)), ialah pengajian di Jordan bersifat comparative.
Kita sentiasa digalakkan meluaskan kajian, pembacaan, membuat perbandingan
pendapat, dan jika boleh, membuat Tarjih. Tetapi yang paling penting, Jordan
mewajibkan pelajarnya hadir kelas. Kalau 6 kali tidak datang kelas, mahrum
(diharamkan) masuk ke final exam. Jadi, apabila kita konsisten masuk kelas,
pemikiran kita sentiasa dididik agar bermanhaj. Saya masih ingat, semasa di
dalam subjek Hadith Ahkam, kami berbalah dengan pensyarah tentang sejauh
mana argument para Fuqaha' tentang masalah kewajipan suci daripada
kedua-kedua hadath apabila hendak memegang mushaf al-Quran. Akhirnya kami
sekelas diberi masa seminggu untuk pergi ke perpustakaan dan mengumpulkan
semua dalil yang diguna pakai oleh ulama semua mazhab di dalam bab ini. Sama
ada dalil al-Quran, Hadith, Usul Fiqh atau apa sahaja. Benda-benda seperti
ini sangat baik. Ia mengajar kita untuk bersikap adil terhadap ilmu, Insya
Allah. Syaratnya, anda ke kelas!

Sebahagian daripada tuntutan silibus pengajian di Jordan, saya dikehendaki
membaca buku daripada pelbagai aliran. Saya baca kulit ke kulit buku Kubra
al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah oleh Dr. Al-Buthi, saya baca Maqalaat
al-Islamiyeen oleh Imam Abu al-Hasan Ashaari, dan dalam masa yang sama, saya
juga dikehendaki membaca, memahami dan boleh membahaskan buku-buku karangan
ulama yang dilabelkan Wahabi (walaupun mereka lahir, hidup dan mati beratus
tahun sebelum kemunculan Muhammad bin Abdul Wahab) seperti Ibn Taimiyyah
dengan bukunya Al-Ubudiyyah, Al-Fatwa Al-Humawiyah Al-Kubra dll, Ibn Qayyim,
malah tulisan-tulisan Muhammad bin Abdul Wahhab sendiri. Hmm, dengan fikiran
saya yang saya yakin ia waras, sedar, ada manhaj sedikit sebanyak, dan adil
dalam menilai sesuatu, demi Allah, saya tidak nampak dari sudut manakah,
kesemua buku yang saya sebutkan tadi (sama ada aliran Salaf mahu pun
Khalaf), yang membolehkan saya menghukum Wahabi atau Ashaari atau Maturidi
terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Saya amat selesa dengan nasihat Dr Abdullah Fawwaz semasa di Jordan.
Katanya, "sama ada kamu memilih aliran Salaf, mahu pun Khalaf, mana-mana
yang membawa kamu kepada beriman dengan Yakin kepada Allah, maka teruskan
sahaja dengan manhaj itu!". Saranan yang sama saya dapat daripada Hasan
al-Banna dan ramai lagi tokoh yang berjiwa Da'ie.

Saya juga seorang pengkaji Sejarah Khilafah Othmaniyyah. Bukan kaji
main-main, tapi sampai belajar Bahasa Turki, belajar Bahasa Othmaniyyah,
belajar cara baca manuskrip Othmaniyyah, berpuluh kali berulang ke Turki,
berkeluarga angkat bangsa Turki, tinggal serumah dengan kawan-kawan Turki,
memasak masakan Turki, mengigau di dalam Bahasa Turki... cuma kahwin dengan
orang Turki sahaja yang saya tidak buat! (isteri saya mesti berbangga dengan
sambal belacannya). Saya cintakan Sejarah Othmaniyyah, saya serahkan diri
kepada bidang ini secara bersungguh-sungguh terutamanya selepas melihat
gambar Sultan Abdul Hamid II dibaling dengan batu oleh puak sekular di
Istanbul. Terutamanya selepas saya bertemu dengan catatan Sultan Abdul Hamid
II "I am sure that the historians will vindicate me, and even if the Turkish
historians do not do so, I am certain that some foreign historians will do
me justice". Apabila saya banyak menghabiskan masa membaca karangan-karangan
ulama di zaman mutakhir kerajaan Othmaniyyah, saya dibebankan dengan
timbunan penulisan mereka yang mencela dan mencaci Muhammad bin Abdul
Wahhab, khususnya melalui buku-buku yang diedarkan secara percuma oleh Ihlas
Vakfi di Fatih, Istanbul.

Ya lazimnya, kalau mahu cinta kepada Othmaniyyah, perlulah bermusuh dengan
Wahabi. Tetapi saya bukan jenis begitu... dan saya puji Allah yang telah
memimpin saya di dalam pencarian ilmu. Saya boleh cinta kepada Othmaniyyah
tetapi cinta saya bukan buta. Saya bersedia untuk mengiktiraf sudut-sudut
hitam Sejarah Othmaniyyah, termasuklah kelakuan-kelakuan buruk Gabenor
Othmaniyyah yang bertugas di tanah Hijaz. Saya bersedia untuk menahan pedih
hati dan jiwa menganalisa penyebaran fahaman Turanisma (nasionalis Turki)
yang menular di seratus dua ratus tahun terakhir umur kerajaan Othmaniyyah.
Di dalam masa yang sama, saya telah membaca tulisan-tulisan Muhammad bin
Abdul Wahab, dan saya rasa adil untuk saya sebut "untuk sekumpulan manusia
yang Aqidah dan Fekahnya sejahtera, membuat pembacaan politik yang salah, ia
adalah sesuatu yang boleh diterima akal". Pada saya, Muhammad bin Abdul
Wahab serta pengikutnya, sama ada mahu dipanggil Wahabi atau Muwahhidin atau
apa sahaja, mempunyai pegangan Aqidah dan Fiqh yang sejahtera. Tetapi ia
bukan jaminan untuk mereka membuat bacaan politik dan pendekatan siasah yang
betul. Maka permusuhan Muhammad bin Abdul Wahab dengan Khilafah Othmaniyyah,
pada kiraan saya adalah soal ijtihad yang betul dari sudut menentang
kemungkaran, tetapi salah dari segi tidak membezakan kelakuan gabenor Turki
yang goblok dengan polisi sebenar Khilafah Othmaniyyah yang Islam.

Malah saya sendiri gembira apabila Dr Muhammad Abdul Hamid Harb telah
menterjemahkan sekeping manuskrip Othmaniyyah yang tersimpan di Perpustakaan
Sultan Abdul Hamid (Yildiz Sarayi) tentang rekod kerajaan Othmaniyyah
terhadap kemunculan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab. Manuskrip itu ditulis
oleh Muhammad Kamil bin Nukman atau lebih dikenali sebagai Ibn Daraami
al-Homsi. Manuskrip itu bertarikh 27 Ramadhan tahun 1312H, setebal 82 keping
iaitu 164 muka surat. Ia ditulis atas permintaan Sultan Abdul Hamid II yang
mahu mengetahui secara terpeinci tentang hal ehwal Semenanjung Tanah Arab
dari segi geografinya, sosio budayanya, dan termasuklah kesan dakwah
Muhammad bin Abdul Wahhab.

Antara isi kandungan manuskrip tersebut ialah kisah bagaimana seorang Badwi
telah kehilangan untanya. Lalu dia pergi ke kubur seorang alim bernama Saad
dan meratap, "Wahai Saad, wahai Saad, pulangkanlah untaku!" Hal ini
berlarutan selama beberapa hari dan perihal Badwi yang meratap di kubur
syeikhnya agar syeikhnya itu memulangkan untanya hilang, sampai ke
pengetahuan Muhammad bin Abdul Wahhab, beliau telah datang pada hari ketiga
kepada Badwi tersebut lalu berkata:

"Apa masalah kamu?"

"Aku kehilangan untaku. Sebab itu aku datang ke kubur syeikh aku.
Sesungguhnya Syeikh Saad pasti boleh memulangkan kepadaku untaku yang hilang
itu!", jawab orang Badwi itu tadi.

Muhammad bin Abdul Wahhab bertanya, "siapakah syeikh kamu yang kamu
maksudkan itu?"

Si Badwi menjawab, "inilah dia syeikh aku, yang duduk dalam kubur ni!"

Lalu Muhammad bin Abdul Wahhab berkata, "Ya Sheikh! Kamu adalah kamu dan
kamu hidup serta kamu yang hidup tak mampu mendapatkan untamu. Apa hal pula
kamu minta dari syeikh kamu sedangkan dia adalah mayat yang sudah mati.
Bagaimana mungkin untuk dia keluar dari kubur untuk mencarikan kamu apa yang
kamu sendiri tidak mampu lakukan? Sudahlah, tinggalkanlah si mati itu,
mintalah pertolongan daripada Allah dan bukannya dari si dia yang dah
tertanam di bawah batu ini. Dia sudah menjadi tulang temulang. Janganlah
kamu minta dari Saad, sebaliknya mintalah daripada Tuhan Saad. Jangan sebut:
wahai Saad! Sebaliknya sebutlah: wahai Tuhan Saad! Sesungguhnya Dia berkuasa
untuk memulangkan untamu. Ingat, bukan Saad, tapi Tuhan Saad. Dan ketahuilah
bahawa Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu!" (muka surat 31)

Ibn Daraami al-Homsi yang menulis manuskrip itu, membuat komentar untuk
Sultan Abdul Hamid II dengan berkata, "sesungguhnya nasihat-nasihat Muhammad
bin Abdul Wahab telah pun disebarkan kepada kabilah-kabilah Arab dan mereka
menerimanya dengan baik, malah kesannya juga amat teguh. Pandangannya
tersebar ke seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab dari hujung ke hujung,
meliputi Haramain serta Iraq, Hijaz dan bandar-bandar yang lain." (muka
surat 32) [rujuk Al-Othmaniyyun fee at-Taareekh wa al-Hadharah oleh Dr.
Muhammad Abdul Hamid Harb, terbitan Darul Qalam, Dimasyq, cetakan kedua 1419
/ 1999)

Ini adalah sebahagian daripada cacatan tentang Muhammad bin Abdul Wahhab
yang saya baca dari sumber sejarah Othmaniyyah. Banyak lagi yang boleh
dikaji, termasuklah di dalam koleksi nasihat Snouck Hurgronje kepada
Pegawai-pegawai Belanda yang berpuluh jilid di Perpustakaan Yildiz Sarayi.

Saya terkasima membaca tuduhan Dr Uthman Muhammadi bahawa gerakan Wahhabi
telah menjatuhkan Khilafah Othmaniyyah. Saya tidak tahu apa motifnya. Apakah
kenyataan ini mahu 'memancing' pihak kerajaan supaya menggunakan pendekatan
penguatkuasaan undang-undang ke atas Wahabi di atas dasar Wahabi boleh
menjatuhkan kerajaan BN sebagaimana Wahabi pernah menjatuhkan kerajaan Islam
Khilafah Othmaniyyah? Pada saya, ini bukan suatu kenyataan yang ada asas.
Asas sejarah tiada, asas politik pun tidak ada. Apa yang saya tahu ialah,
gerakan yang benar-benar memainkan peranan menjatuhkan Khilafah Othmaniyyah
adalah gerakan Ataturk. Dan ironinya, menurut Milner, gerakan inilah yang
dikaji oleh Dato Onn Jaafar sehingga membawa kepada tercetusnya idea
menubuhkan UMNO yang sekular lagi progresif. (Milner, A.C (1986), ' The
Impact of the Turkish Revolution on Malaya, Archipel 31, Paris). Jadi, untuk
mengaitkan Wahabi dengan ancaman anti establishment, saya sukar melihat
sifirnya.

Namun yang saya pasti, golongan yang memusuhi Wahabi ini ada ramai.
Pertamanya adalah Syiah. Mereka amat benci kepada Wahabi, mungkin bermula
dengan kebencian mereka terhadap Ibn Taimiyah yang telah menulis kitab
Minhaaj as-Sunnah yang telah meruntuhkan berhala kepercayaan mereka.
Keduanya, Ulama-ulama di Tanah Mekah yang juga merupakan tuan-tuan guru
kepada pelajar Nusantara yang menyambung pengajian di Mekah. Pelajar ini
pula pulang ke Kepulauan Melayu dan menjadi tok-tok guru di pusat-pusat
pengajian pondok dan pesantren. Mungkin krisis di antara Mufti Mekah Sheikh
Zaini Dahlan dengan Muhammad bin Abdul Wahhab boleh menjelaskan perkara ini.
Saya sendiri kurang arif untuk memperincikannya.

Dan terkini, yang memusuhi Wahabi adalah Amerika dan kuncu-kuncunya apabila
Wahabi dikaitkan sebagai fahaman anutan Osama bin Laden serta Abu Bakar
Al-Bashir. Maka sifir mereka ialah:

Wahabi = Osama bin Laden = Abu Bakar al-Bashir = Nordin Mat Top = Dr Azahari
= Terrorist!

Sifir ini memang luar biasa, namun hanya sehari selepas Dr Uthman Muhammadi
mengungkapkan kebimbangannya terhadap Wahabi di Utusan, sifir ini muncul
lantas pelbagai spekulasi luar biasa timbul. Entahlah, saya tidak suka untuk
terjebak di dalam isu ini. Pada saya, jika anda adil terhadap ilmu, jika
anda berfikiran terbuka, jika ada sudi belajar ilmu perbandingan mazhab dan
aliran yang pelbagai, dan yang paling penting, jika anda rajin ke kelas
sepanjang pengajian di universiti, Insya Allah anda boleh berlapang dada
menerima Imam Syafie, Imam Abu al-Hasan Ashaari, Imam Maturidi, Ibn
Taimiyah, Ibn Qayyim, Al-Ghazali, Muhammad bin Abdul Wahhab, Rashid Ridha
dan sesiapa sahaja yang pandangannya baik. Dan anda juga boleh berlapang
dada memaafkan kelemahan-kelemahan mereka kerana yang Maksum hanyalah
seorang ialah tuan punya makam ini, bak kata Imam Malik, sambil menunjukkan
tangannya ke arah makam Rasulullah S.A.W.

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang
fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti
jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang
benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan"
(Surah Al-Hujurat 49 : 6)

Firman-Nya lagi: "Dan janganlah kamu berpendirian di dalam sesuatu perkara
yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran,
penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan (di akhirat)." (Surah Al-Isra' 18
: 36)


Ya Allah, celikkan mata hatiku untuk melihat kebenaran di akhir zaman.
Wassalamualaikum WBT.



ABU SAIF @ www.saifulislam.com <http://www.saifulislam.com/>

30 November 2005
                
---------------------------------
 Yahoo! DSL Something to write home about. Just $16.99/mo. or less

[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page
http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/aYWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

Milis Wanita Muslimah
Membangun citra wanita muslimah dalam diri, keluarga, maupun masyarakat.
Situs Web: http://www.wanita-muslimah.com
ARSIP DISKUSI : http://groups.yahoo.com/group/wanita-muslimah/messages
Kirim Posting mailto:wanita-muslimah@yahoogroups.com
Berhenti mailto:[EMAIL PROTECTED]
Milis Keluarga Sejahtera mailto:keluarga-sejahtera@yahoogroups.com
Milis Anak Muda Islam mailto:majelismuda@yahoogroups.com

This mailing list has a special spell casted to reject any attachment .... 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/wanita-muslimah/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke