http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=703&Itemid=72

 Zalim Bukan Penentu Riba  
  Oleh  
  Zaharuddin Abd Rahman  
  http://www.zaharuddin.net/  
  (Nota : Perbincangan dalam artikel kali ini adalah sedikit berat bagi mereka 
yang tidak biasa walaupun saya telah cuba memudahkannya sedaya mungkin. 
Persediaan minda dan pembacaan teliti satu demi satu beserta faham diperlukan)  
   
  Ramai yang terkeliru dalam hal ini, ada yang mengatakan bahawa setiap 
kezaliman dalam urusan kewangan adalah riba.  
  "Bukankah riba itu diharamkan kerana zalimnya" kata seorang pelajar sarjana 
Shariah kepada saya.  
  "Oo tidak, saudara tersilap faham. Mengelakkan kezaliman bukanlah ‘illah 
kepada riba tetapi ia hanyalah hikmah dan wisdom disebalik pengharaman riba. Ia 
adalah dua perkara yang berbeza" Ulas saya  
  " errmm tak faham" dia membalas lemah.  
    
    
  Untuk memahami perbezaan, kita perlu memahami apa itu ‘illah dan apa 
syarat-syaratnya. Secara ringkas, ‘illah itu bolehlah dikatakan sebagai satu 
asas atau sifat yang standard.  
  Apabila sifat ini ('illah) ada dalam sesuatu transaksi, maka hukumnya akan 
mengikutnya lalu menjadikan transaksi atau tindakan itu haram, makruh atau 
halal dan sebagainya.  
  Disebutkan dalam kaedah Fiqh :-  
  الحكم يدور 
مع علته وجودا 
وعدما  
  Ertinya : Hukum (dalam Fiqh Islam) itu berpusing (mengikut) 'illah nya, jika 
terdapat illahnya maka hukumnya juga ada, jika ‘illah tu tiada maka hukum juga 
tiada.   (‘Ianah At-Tolibin, 2/290 ; Nihayatul Muhtaj, 3/292 ; Al-Mabsut, 
Al-Sarakhsi, 24/159)  
   
  CONTOH MUDAH, ARAK.  
  ‘Illah pengharaman arak adalah mabuk.  Manakala hikmah disebalik 
pengharamannya arak yang memabukkan ini adalah untuk menjaga aqal manusia.  
  Justeru itu, semua benda yang memabukkan minda apabila diminum atau makan 
(bukan dengan tujuan perubatan - ia punyai perbincangan lain) adalah dikira 
arak yang haram. Apabila minuman dan makana itu tidak memabukkan sama ada 
banyak atau sedikitnya, ia bukanlah arak dan tidaklah haram.   
  HUKUM MUSAFIR   
  Demikian juga hukum musafir yang layak mengqasarkan solat.  
  Apakah ‘illah perjalanan untuk dikategorikan sebagai ‘musafir'?  
  Perlu difahami, bukanlah kesusahan perjalanan, lelah dan letih atau 
‘masyaqqah' dalam perjalanan yang menyebabkan sesuatu perjalan itu diiktiraf 
sebagai ‘musafir'(dari sudut hukum) sehingga layak diberikan kemudahan qasar 
solat.  
  Ini kerana kesusahan adalah berbeza-beza di antara seorang dengan yang lain. 
Ketidaktentuan inilah yang dinamakan ‘TIDAK STANDARD', sekaligus menyebabkan 
"susah" tidak boleh dijadikan ‘illah dalam mengenalpasti sesuatu perjalanan itu 
‘musafir' atau tidak.  
  Majoriti ulama bersetuju jarak kilometer tertentu atau dua marhalah adalah 
yang paling sesuai dianggap sebagai ‘illah bagi menentukan satu perjalanan itu 
musafir atau tidak. Justeru, setiap perjalanan yang mencecah dua marhalah (2 
marhalah bersamaan dengan 84 atau 85 kilometer) mazhab Hanafi pula 
mengatakannya 90 kilometer (Al-Majmu', 4/322 ; Fiqh Islami Waadillatuh, 
Az-Zuhayli)  
  Justeru apa sahaja perjalanan yang akan mencecah 85 KM secara automatik 
digelar musafir di dalam Islam, lalu layaklah untuk qasar solat dalam perjalan 
sebegini tanpa mengira sama ada perjalanan itu sukar atau tidak, meletihkan 
atau tidak.  
  BAGAIMANA PULA RIBA ??  
  Adakah zalim sesuai dijadikan ‘illah ?. Jika sesuai ini bermakna setiap yang 
zalim itu riba?.. Para ulama bersepakat bahawa ‘zalim' tidak sesuai kerana ia 
adalah satu sifat yang tidak mundabid (standard).   
  Dikenakan faedah (interest) sebanyak RM 500 ke atas pinjaman RM 1 juta 
mungkin dinggap tidak zalim menurut logik aqal berbanding jika dikenakan RM 
200,000. terutamanya jika si peminjam seorang usahwan berjaya.  
  Namun RM 500 yang sama juga mungkin akan dianggap zalim bagi usahawan yang 
belum maju. Oleh kerana itu, jika zalim dijadikan illah kepada riba, hukum akan 
menjadi permainan dan sentiasa berubah mengikut nafsu manusia. Ramailah pula 
yang mendakwa dizalimi dan ramai pula yang mengatakan tidak.    
  Saya masih ingat, tercatat di dalam kitab Usul Fiqh yang unggul bertajuk 
Al-Mustasfa karangan Imam Abu Hamid Al-Ghazzali, kisah seorang raja yang 
melakukan kesalahan bersetubuh disiang hari bulan Ramadhan.  
  Hukumannya adalah berdasarkan hadis sohih ini :-  
  جاء رَجُلٌ 
إلى النبي  
فقال إِنَّ 
الآخر وَقَعَ 
على 
امْرَأَتِهِ 
في رَمَضَانَ 
فقال 
أَتَجِدُ ما 
تُحَرِّرُ 
رَقَبَةً قال 
لَا قال 
فَتَسْتَطِيعُ
 أَنْ تَصُومَ 
شَهْرَيْنِ
 
مُتَتَابِعَيْنِ
 قال لَا قال 
أَفَتَجِدُ 
ما تُطْعِمُ 
بِهِ 
سِتِّينَ 
مِسْكِينًا  
  Ertinya : Datang kepada nabi seorang lelaki yang telah menyetubuhi isterinya 
di siang hari Ramdhan   
  Nabi bertanya, : Adakah kamu mempunyai hamaba untuk dibebaskan ?  
  Lelaki berkata : "Tiada"  
  Nabi membalas : Adakah kamu boleh berpuasa 60 hari berturut-turut ?  
  Lelaki : Tidak berupaya wahai rasul.  
  Nabi membalas : Adakah kamu mempunyai makan yang boleh memberi makan 60 orang 
miskin?.. ( Riwayat Al-Bukhari, no 1835, 3/ 684 )  
  Justeru, pandangan majoriti ulama. Kaffarah atau denda bagi kesalahan itu, 
mestilah mengikut tertib yang tercatat di atas. 1) membebaskan hamba 2) puasa 
60 hari berturut 3) memberi makan 60 orang miskin.  
  Apabila raja merujuk kepada qadhi, sang qadhi terus memberikan hukuman puasa 
60 hari berturut kepada raja dengan alasan hukuman pertama terlalu amat mudah 
bagi raja kerana ia kaya dan mempunyai ramai hamba. Lalu dibimbangi ia tidak 
akan memberikan sebarang kesan kepada sang raja. Tindakannya berdasarkan 
maslahat yang dilihatnya lebih penting dari berpegang kepada nas hadis yang 
menyebut bebaskan hamba terlebih dahulu.  
  Anda mungkin bersetuju dengan tindakan qadhi tadi. Betul tak ?  
  Namun tindakan qadhi ini telah dijadikan contoh popular bagi semua yang 
mempelajari ilmu usul fiqh..iaitu contoh bagaimana ‘maslahat mulgha' (maslahat 
yang tertolak) atau "kepentingan" yang disalah gunakan sehingga melanggar nas 
hadis yang specifik memberikan tertib hukuman kaffarah . Tindakan qadhi ini 
ditolak oleh ulama Usul Fiqh.  
  Imam Al-Ghazzali berkata semasa memberi komen terhadap kes di atas :-  
  فهذا قول 
باطل ومخالف 
لنص الكتاب 
بالمصلحة 
وفتح هذا 
الباب يؤدي 
إلى تغيير 
جميع حدود 
الشرائع 
ونصوصها بسبب 
تغير الأحوال  
  Ertinya : Tindakan dan kata-kata seperti tadi (keputusan tadi) adalah 
pendapat yang batil serta bercanggah dengan nas dari Al-Quran berselindung di 
sebalik nama maslahat, sebarang tindakan membenarkannya berlaku akan 
menyebabkan perubahan seluruh undang-undang Syariat dan nasnya atas sebab 
perubahan lokasi dan masa. ( Al-Mustasfa Min ‘Ilmi Al-Usul, 1/216, cet Ihya 
At-turath Al-Arabiy)  
  Lihat!.. apabila nas sudah jelas..tiada elemen logik, redha dan perasaan 
kemanusiaan boleh masuk campur untuk membatalkannya. Kecuali dalam isu-isu 
hukum yang terbuka untuk itu, tetapi tidak dalam isu ini dan juga riba.  
  Ada yang cuba berhujjah dengan saya kononnya riba di institusi kewangan riba 
atau konvensional tidak mahal, kemudian ada pula yang mengatakan riba sekadar 3 
% bagi pinjaman rumah dan pelajaran tidak sewajarnya diharamkan kerana ia 
memberi manfaat kepada peminjam. Justeru ia tidak riba kerana tidak zalim dan 
memperolehi redha kedua-dua pihak.  
  "Yang riba dan zalim adalah Institusi Kewangan Islam yang mencecik darah dan 
mahal." demikian kata-kata mereka yang terkeliru akibat ilmu yang kosong di 
dada.  
  Silap..!.  
  Dalam mengenal pasti dan menentukan riba, illahnya jelas dari nas hadis..  
  Iaitu :-  
  1) Lebih : Sebarang excess atau lebihan dalam : -  
  a- Pemberian pinjaman wang atau manfaat asset (beri pinjam kereta sebagai 
contoh) yang DISYARATKAN PULANGAN BESERTA LEBIHAN MANFAAT. Sebarang lebihan 
sama ada banyak atau sedikit, dirasakan zalim atau tidak. Ia adalah riba yang 
haram.  
  b- Sebarang lebihan berat emas atau perak dalam pertukaran emas dengan emas. 
Samada bezanya 1 gram atau 30 gram,. Ia sama sahaja haramnya. Sebagai contoh, 
menukar rantai emas seberat 20 gram dengan rantai yang baru seberat 23 gram. Ia 
adalah riba samada redha atau tidak, sikit atau banyak.  
  2) Tangguh : sebarang bentuk tangguh dalam :-  
  a- Pertukaran matawang dengan matawang lain  
  b- Pertukaran emas dengan emas atau dengan perak.  
  Itulah illah yang disepakati oleh majoriti ulama, ia bersifat standard dalam 
semua keadaan bagi semua orang, semua benua dan negara. Tidak terkesan dengan 
nafsu seseorang.   
  Saya akui, agak sukar untuk saya memudahkan penerangan ini dalam bentuk 
tulisan ringkas ini. Penerangan secara verbal mungkin lebih mudah. Namun saya 
masih berharap pembaca yangtidak mempunyai latar belakang ilmu Usul Fiqh mampu 
memahaminya.  
  REDHA DALAM RIBA YANG MURAH BOLEH TAK?  
  "Mengapa redha dalam hal riba tidak terpakai?" Berkerut dahi student saya 
ketika bertanya di luar kelas di UIAM.  
  Saya membalas :  
  "Kerana riba adalah satu bentuk dosa yang tergolong dalam HAK ALLAH 
semata-mata, justeru manusia wajib menurutinya tanpa boleh memindanya dengan 
redha dan rela hati mereka."  
  "Sama seperti zina.!, adakah zina menjadi halal apabila kedua-dua pasangan 
redha dan rela..Tidak sama sekali, demikian juga halnya membuka aurat, ia Hak 
Allah dan ujian yang Allah berikan kepada manusia, bagi menilai siapa yang taat 
dan siapa yang derhaka" jawab saya.  
  ASAL HUKUM TRANSAKSI KEWANGAN DI BANK ADALAH HARAM  
  Ada pihak yang cuba bermudah-mudah dengan mengambil kaedah fiqh yang menyebut 
 
  
  "Asal semuanya adalah harus selagi tidak dibuktikan haram"  
  Namun, perlu difahami secara halus kaedah tersebut. Yang paling tepat, kaedah 
ini sememangnya terpakai tanpa syak lagi buat semua perkara ciptaan Allah swt. 
Sepeprti hukum makan tupai, apakah hukumnya?..justeru selagi tiada nas yang 
haram, dan tidak pula memudaratkan. Ia kekal sebagai hukum HARUS DAN HALAL. 
Demikian aplikasinya.  
  Namun dalam instrument kewangan moden di bank khususnya, para ulama 
kontemporari mempunyai pendapat lain. Dr Md Daud Bakar (Pengerusi Majlis 
Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia) pernah menyebut dalam bengkel Muzakarah 
Cendiakawan Shariah Nusantara, bahawa asal hukum semua transaksi kewangan di 
bank adalah haram selagi belum dibuktikan halal.  
    
    
 
    
  Saya bersetuju seratus peratus dengan pandangan beliau.  Ini kerana 
instrument kewangan moden di bank dan pelaburan lain kebanyakkannya adalah 
hasil ciptaan Yahudi dan puak kapitalis yang sentiasa menjadikan riba, gharar 
dan judi sebagai tapak ciptaan instrument kewangan moden ini.    
  Objektif utama mereka bagaimana ingin mencipta lebih banyak wang untuk mereka 
tanpa mengira kesan kepada orang lain. Pasaranlah yang akan menentukan kesannya 
kelak.  
  Hasilnya, adalah amat wajar dan tepat bagi ulama menganggapnya haram selagi 
belum dibuktikan harus dan halal.  
    
    
 
    
    
  Pengalaman meneliti produk kewangan moden yang wujud hari ini amat tepat bagi 
membuat keismpulan, amat sukar untuk disah halal sesuatu skim dan produk 
kewangan itu. Jika ingin menjadikannya halal mesti akan perlukan banyak atau 
sedikit modifisikasi. Setelah modifikasi barulah ia mampu menjadi harus dan 
halal.    
  Akhirnya, kerana sebab itulah umat Islam wajib menggunakan perkhidmatan 
bank-bank Islam dan Takaful. Mereka mempunyai pakar Shariah yang ditugaskan 
memantaunya serta mengambil tanggungjawab didunia dan akhirat.  
    
    
 
    
    
  Tanpa pakar Shariah yang menelitinya, setiap individu bertanggung jawab 
sendiri di akhirat untuk menjawab berkenaan keterlibatannya dengan sebarang 
skim pelaburan dan bank. Tiada excuse boleh diberikan. Hidup hanya sebentar, 
jangan leka dengan sebarang skim riba yang memukau nafsu cintakan harta.  
  Sekian  
   
  Zaharuddin Abd Rahman  
  http://www.zaharuddin.net/  
  21 April 2008  


       
---------------------------------
Be a better friend, newshound, and know-it-all with Yahoo! Mobile.  Try it now.

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke