Kasihnya ALLAH pada wanita

"Keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita terlalu banyaknya". "Kasihnya 
Tuhan kepada wanita!" Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk 
menggambarkan 'layanan' istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, 
tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme atau agama lain yang dapat 
melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, 
kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di 
seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka 
pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT 
tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.

Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Lantaran itu kebanyakan mereka 
tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan amalan atau larangan 
tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup aurat, 
larangan bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi pemimpin dan 
lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan atau 
larangan yang dianggap sangat menindas wanita. Walhal kalau dikaji setiap satu 
amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya 
kepada kaum wanita itu sendiri.

Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak wanita ialah 
mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan dikenakan ke atas mereka. 
Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia sendiri banyak membuat 
peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga 
keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya, dalam soal lalu- lintas, 
terlalu banyak peraturan dan larangan yang manusia buat seperti jangan memandu 
melebihi had laju, tidak boleh letak kereta di garisan kuning, mesti berhenti 
apabila ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu selepas pukul 7 malam dan 
berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak peraturan 
dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan 
lebih-lebih lagilah kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan 
dunia dan Akhirat.

Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan 
larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan 
ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan 
untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? 
Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan olehTuhan kepada 
wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.

i) Gelaran bagi `isteri' di dalam Al Quran

Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan suami atau 
isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa- bahasa lain, 
perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang 
berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah `husband' 
manakala perkataan untuk isteri ialah `wife'. Sementara dalam bahasa Perancis 
pula, perkataan untuk suami ialah `mari' manakala perkataan `femme' untuk 
isteri.

Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang 
berbeza `zaujuh' dan `zaujati'. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk 
kedua-duanya iaitu `zaujuh' yang bermakna `pasangan'. Islam melihat suami dan 
isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka 
dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang 
kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. 
Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, 
tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara 
satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan 
lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca 
mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti 
yang tercatat di dalam Al Quran.

Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi 
isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri Nabi 
Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut 'imraah', kerana 
isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada 
suaminya.

ii) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita 
itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:

a. "Syurga di bawah telapak kaki ibu." Apakah wanita tidak rasa mulia dengan 
Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan "di bawah telapak kaki" dan 
bukan "di dalam tangan" atau "di sisi" seorang ibu? Sudah tentu ini sangat 
menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu 
akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk 
berkhidmat dan meng'hamba'kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang 
dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di 
dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa 
dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.

b. "Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada 
isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi 
rumahku."

c. "Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan 
tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina."(Hadis 
riwayat Ibnu `Asakir)

d. "Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian 
bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak 
menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."

e. "Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang
(isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu 
tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang is suka."(Hadis riwayat 
Ahmad dan Muslim)

Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam. Dalam satu 
masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan 
diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki, sebaliknya 
mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, 
menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.

iii) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia

Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nana yang begitu mulia iaitu 
rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang bermaksud `Maha Penyayang'. 
Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu 
yang hina di sisi- Nya. Sudah tentuTuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga 
untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang 
semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada 
bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. 
Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan memberi makan kepada apa 
yang Tuhan ciptakan.

Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan kerana memberi 
penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan 
rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah 
cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Tuhan.

iv) Diberi Pahala yang Berterusan

Wanita disebut `kurang dari sudut agama', tetapi ini bukan bermaksud yang 
wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang bersolat 
ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di waktu-waktu lain mereka 
sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Tuhan tetap 
memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar dengan keadaannya 
yang tidak selesa itu.

Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan 
dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala solat 
percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, 
memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaknya pahala yang Tuhan 
sediakan untuknya.

Aduh! Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada golongan 
yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang 
hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran- ganjaran yang Tuhan berikan kepada 
seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. 
Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita 
mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.







      

Kirim email ke