http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=146961

Komentar Dr Abu Anas Madani terhadap Resolusi Muzakarah Haji ke 25

Dr Abd Basit Abd Rahman (Abu Anas
Madani) yang baru-baru ini mengikuti Muzakarah Hj Peringkat Kebangsaan
Kali Ke-25 telah membuat catatan ringkas tentang keputusan resolusi
yang dihasilkan. 

 
Berikut ini adalah resolusi muzakarah dan diikuti oleh ulasan oleh
beliau. Kepada sesiapa yang mempunyai idea, cadangan dan kritikan
bolehlah hubungi beliau melalui emailnya atau boleh juga kirimkan di
forum al-ahkam.net untuk beliau lakukan tindakan lanjut. 


Lembaga Tabung Haji Telah menganjurkan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali 
Ke-25 Musim Haji 1430 Hijrah.


Tarikh: 3-5 April 2009

Tempat: Persada Johor. International Convention Centre. Johor Bharu. 




Lima buah kertas kerja telah dibentang. 


Berikut adalah Resolusi Muzakarah: 


Kertas Kerja Pertama: Rahsia Kerohanian disebalik ibadat haji.

Resolusi:


1- Kandungan kertas kerja ini akan dijadikan sebahagian daripada modul kursus 
haji.

Kertas Kerja Kedua: Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Berhubung Hukum 
Hakam Ibadat. 


Resolusi:
  
1- Hukum Sembahyang jama’ kerana menjalani rawatan
penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti menjalani rawatan
hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamanya adalah harus. 


2- Pesakit yang menggunakan beg kolostomi dikategorikan
sebagai mereka yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap
sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosong atau
membersihkan beg kolostomi pada setiap kali berwudhuk atau menunaikan
solat. (Begitu juga hukumnya dalam permasalahan tawaf). 


3- Pesakit yang mengidap penyakit kronik yang tidak ada
harapan sembuh seperti sakit buah pinggang yang menjalani rawatan
hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadat haji. 
Pesakit kronik adalah wajib melaksanakan badal haji sekiranya
berkemampuan daripada sudut kewangan dan sekiranya telah sembuh
daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadat haji
jika berkemampuan.

Kertas Kerja Ketiga: Pembesaran Al-Mas’a : Hukumnya. 


Resolusi: 


1- Sah mengerjakan sa’ie di mas’a yang telah diperlebarkan. 


Kertas Kerja Keempat: Soal Jawab Kemusykilan Ibadat Haji Musim Haji 1429H. (28 
masalah serta jawapan telah dibentangkan)

Resolusi:
  
1- Persoalan yang terdapat dalam kertas kerja ini akan dijadikan sebahagian 
daripada buku Soal Jawab Haji dan Umrah. 


2- Perlu diberi penjelasan
kepada jemaah yang ingin membawa anaknya yang belum berkhitan untuk
menunaikan ibadat haji atau umrah supaya berkhitan.


3- Jemaah haji yang telah
berwudhuk dan solat secara duduk atau berdiri dalam pesawat tanpa
mengadap ke arah qiblat atau mengadap ke arah qiblat tetapi tidak tetap
kerana pergerakan pesawat adalah diwajibkan mengulangi semula solat
jika masih ada waktu atau perlu diqadha’ jika telah luput waktu semasa
tiba di destinasi yang dituju. Ini kerana jemaah tersebut melakukan
solat dalam keadaan tidak mengadap ke arah qiblat secara tetap, ini
hanya bagi kes solat fardhu sahaja.

Kertas Kerja Kelima: Pelaksanaan Haji Dan Umrah Tanpa Mahram : Hukumnya.

Resolusi:
   
1- Harus bagi wanita menunaikan haji atau umrah sunat tanpa kehadiran suami 
atau mahram dengan syarat: 

 
1.1 Jika bersuami hendaklah mendapat izin suami dan bagi yang tiada suami 
hendaklah dengan izin walinya; 


1.2 Perjalanan dan tempat yang hendak dituju adalah aman dan tidak menimbulkan 
fitnah; 


1.3 Adanya rakan wanita thiqat dan solehah, sekurang-kurangnya seorang teman 
yang dipercayai dan; 


1.4 Hendaklah dengan tujuan semata-mata kerana ibadat kepada Allah SWT.

Lampiran – Keputusan Muzakarah Yang Lepas:
  
1- Solat di Arafah, Mina dan Muzdalifah. 


Dibolehkan solat jamak di Arafah, Mina dan Muzdalifah secara tamam
(sempurna) kerana keperluan disebabkan musyaqqah yang dihadapi oleh
jemaah haji. Pendapat ini dikemukakan adalah berdasarkan pendapat Ibn
Sirin, al-Qafal al-Kabir al-Syasyi, Abi Ishaq al-Marwazi yang
menyatakan harus jamak solat semasa bermuqim/tidak musafir kerana
keperluan (al-hajat). 


(Lihat Abu Zakariya Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Raudah al-Talibin, Beirut, Dar 
al-Kutub al-Ilmiah Juz. 1, hlm. 503. Lihat juga al-Nawawi, Kitab al-Majmuk 
Syarh al-Muhazzab, Dar Ihya’ al-Turath, Juz. 4, hlm. 264). 

 
2- Solat Menghormati Waktu. 


Bagi seseorang yang
tidak mampu berwuduk dan bertayammum disebabkan tidak boleh mengguna
air dan debu mengikut qaul al-sahih Mazhab Syafieyyah wajib solat dalam keadaan 
tidak berwuduk. Wajib mengulangai solatnya. Melaksanakan fardu solat dalam 
keadaan tersebut adalah darurah untuk menjaga kehormatan waktu solat (kefarduan 
solat). (al-Nawawi, Kitab al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Dar Ihya’ al-Turath, 
Juz. 2, hlm. 322-323). 


SEKIAN.


  

Ulasan Abu Anas Madani: 


-Muzakarah ini adalah
kali kedua ana menyertainya, sebagai seorang petugas (pembimbing)
jemaah haji kehadirannya adalah wajib / sunat muakkad. Muzakarah kali
ke-24 diadakan di Hotel De Palma, KL. 


- Dalam pengamatan ana,
muzakarah ini sebenarnya ialah lebih kepada menyampaikan keputusan
muzakarah atau perbincangan ahli jawatankuasa penasihat ibadat haji,
Tabung Haji – JAKIM yang dipengerusikan oleh SS Dato’ Hj. Hasan Ahmad
(Mufti P.Pinang) –Hafizahullah-. 


- Ada beberapa perkara dalam
resolusi di atas perlu diperbincangkan lagi secara terperinci,
khususnya dalam kertas kerja keempat dan dalam lampiran. Demikian juga
dengan hukum Tawaf Wada’ bagi sesiapa yang ingin ke Jeddah (masjid
biru), Melakukan haji ekspres (dari Arafah terus ke Makkah, selepas
setengah malam melakukan tawaf & saie serta bergunting / bercukur
kemudian balik semula ke Muzdalifah).

Oleh yang demikian, kepada ikhwah yang ingin mengemukakan pandangan / ulasan 
sila hantar ke email ana: (ain...@yahoo.com).


- Ybhg. Dato’ Kamal Mohammad telah melontarkan pandangan
berhubung dengan melontar waktu pagi pada hari-hari tasyriq. Sewaktu
keputusan muzakarah yang mengharuskannya dibuat dahulu tempat melontar
sempit, banyak berlaku trajedi yang tidak diingini. Apakah dengan
pembesaran jamarat (tempat melontar) sekarang (lima tingkat) kita masih
lagi berpegang dengan keputusan lama? Suatu perkara yang perlu
difikirkan. 


- Dakwatuna / Syi’aruna: (( Khuzu ’anni Manasikakum )).

Akhukum, Abu Anas. PSD 8 April 2009 – 12 R.Akhir 1430H.




      

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke