http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm

Taktik baru pelacuran dalam ladang

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS 
pengar...@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 15 Nov. - Jabatan Imigresen mengesahkan kegiatan pelacuran wanita 
warga China di restoran atau pusat hiburan dalam kawasan ladang kelapa sawit 
merupakan taktik terbaru sindiket haram itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Raja Mohammad Raja Ismail berkata, 
taktik itu digunakan kerana lokasi-lokasi panas seperti hotel atau pusat 
hiburan di dalam kota sentiasa menjadi tumpuan pihak berkuasa.

''Kita ada menerima laporan berhubung penyeludupan wanita warga China yang 
menjalankan kegiatan pelacuran di pinggir-pinggir kota termasuk di Sepang.

''Ia seperti satu trend baru iaitu sindiket cuba menjalankan kegiatan haram 
mereka jauh daripada kota seperti yang berlaku di Permatang Pasir Kelanang yang 
terletak dalam ladang kelapa sawit.

''Tindakan sindiket itu menyusahkan pihak berkuasa untuk melakukan pemantauan 
dan risikan, malah mereka terpaksa meredah jalan-jalan untuk masuk ke ladang 
terbabit yang agak mencabar,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini 
hari ini.

Kelmarin, polis menyerbu sebuah restoran di Permatang Pasir Kelanang dan 
menahan empat wanita warga China yang bekerja sebagai GRO di premis terbabit.

Ketika serbuan, kesemua suspek yang berusia lingkungan 30-an cuba melarikan 
diri dengan bersembunyi di ladang kelapa sawit itu.

Polis percaya wanita berkenaan turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

Dalam pada itu, Raja Mohammad memberitahu, sindiket penyeludupan wanita warga 
asing biasanya didapati menyalah guna pas lawatan sosial mereka.

''Memang kita alu-alukan pelancong dari mana-mana negara untuk memasuki negara 
ini.

''Mereka bagaimanapun masuk ke negara ini secara sah tetapi menyalahgunakan pas 
lawatan sosial yang diberi,'' katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan menyiasat status kemasukan empat wanita warga 
China yang ditahan ketika menawarkan khidmat seks di restoran ladang kelapa 
sawit malam kelmarin.

''Kita akan siasat kemungkinan mereka menggunakan pas lawatan sosial atau pas 
pelajar untuk masuk ke negara ini.

''Kebanyakan kes yang disiasat mendapati sindiket itu tinggal di negara ini 
lebih daripada tempoh yang dibenarkan untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral 
itu,'' katanya.


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke