Releksi : Apa yang Anda akan buat menjelang kiamat? 

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Allah rahsiakan bila kiamat

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


     
      SEMUA keindahan dan nikmat yang ada di dunia tidak dapat mengatasi 
ganjaran yang disediakan di syurga Allah. - gambar hiasan 

--------------------------------------------------------------------------
     


Mukadimah

Al-Maraghi berkata: Selepas Allah SWT menjelaskan kekuasaan-Nya dengan 
kebangkitan semula orang yang telah mati sebagaimana Dia berkuasa mencipta alam 
semesta. Kemudian Dia menerangkan berkenaan kebenaran yang diwahyukan kepada 
nabi-Nya bahawa hari kebangkitan manusia adalah milik Allah Tuhan Alam Semesta. 

Ketika malapetakanya yang hebat melebihi segala bencana itu datang, ketika 
segala perbuatan diperlihatkan kepada para pengamalnya ketika itulah manusia 
mengingati apa yang telah dilakukannya. 

Allah SWT memperlihatkan neraka di hadapan manusia sehingga semua mata dapat 
melihatnya. Pada hari itulah ditimpakan pembalasan kepada manusia yang 
melampaui batasan syariat Allah.

Ini kerana mereka mengutamakan kelazatan dunia dari akhirat untuk mereka itulah 
neraka sebagai tempat azab. Sementara manusia yang takut kepada kebesaran dan 
keagungan Tuhan-Nya serta mengawal hawa nafsunya, maka sudah pasti syurga 
tempatnya sebagai pembalasan apa yang telah mereka kerjakan dahulu.

Firman Allah SWT: Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar. Ibn 
Abbas berkata: Iaitu hari kiamat. Ibn Kathir berkata: Disebut dengan perkataan 
Tammah kerana ia meliputi segala yang menakutkan lagi menyeramkan.

Firman Allah SWT: Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah 
diusahakannya. Al-Maraghi berkata: Pada hari itu manusia melihat perbuatannya 
termaktub dalam buku catatan amalannya yang hampir dilupakan tetapi dia segera 
mengingati kembali apa yang dilakukan dahulu.

Firman Allah SWT: Dan neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat 
melihatnya. Syed Qutb berkata: Neraka kelihatan jelas kepada setiap mata yang 
membawa makna dan bunyi yang kasar dan keras dan menonjol pemandangan neraka di 
hadapan setiap mata. 

Ketika itu manusia akan menerima balasan dan akibat yang berbeza-beza. Dan 
ketika itu lahirlah tujuan dan matlamat pentadbiran dan perencanaan Allah yang 
mewujudkan kehidupan dunia. 

Firman Allah SWT: Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya), adapun 
orang yang melampau (perbuatan derhakanya). Serta ia mengutamakan kehidupan 
dunia semata-mata. Maka sesungguhnya neraka jahanamlah tempat kediamannya.

Al-Maraghi berkata: Orang yang sombong, melampaui batas dan mengutamakan 
kelazatan dunia serta nafsu syahwatnya daripada akhirat, maka nerakalah tempat 
tinggalnya.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di 
mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari 
menurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya. 

Syed Qutb berkata: Pencegahan diri dari keinginan hawa nafsu merupakan tiang 
seri ketaatan. Keinginan hawa nafsu merupakan pendorong yang kuat kepada 
tindak-tanduk yang melampau dan kepada perbuatan maksiat. 

Ia menjadi punca segala bala bencana dan kejahatan. Jarang manusia binasa 
kecuali dengan sebab mengikut hawa nafsu.

Kejahilan mudah diubati tetapi penyakit mengikut hawa nafsu selepas berilmu 
merupakan penyakit jiwa yang memerlukan mujahadah yang bersungguh-sungguh dan 
memerlukan masa yang lama untuk mengubatinya. 

Perasaan takut kepada Allah SWT merupakan dinding yang teguh untuk mencegah 
segala keinginan nafsu yang kuat tetapi semua dinding yang lain jarang dapat 
mencegah gelojak hawa nafsu kerana itulah kedua-duanya dikumpulkan dalam satu 
ayat. 

Yang bercakap di sini ialah Allah pencipta manusia. Kerana itu Dialah yang 
mengetahui tentang penyakit jiwa dan ubatnya. Begitu juga Maha Mengetahui 
dengan segala lorong dan likunya. 

Dialah Maha Mengetahui di mana tersembunyinya keinginan nafsu dan apakah pula 
ubatnya dan bagaimana mengusir dan memburu hawa nafsu itu dari tempat-tempat 
persembunyiannya.

Firman Allah SWT: Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (Wahai 
Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Begitu juga persoalan 
berlegar kepada orang yang telah mati, bila akan dibangkitkan? Ibn Kathir 
berkata: Pengetahuan tentangnya tidak diberikan kepadamu.

Firman Allah SWT: Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa 
kedatangan hari kiamat itu? 

Diriwayatkan oleh Aishah r.anha bahawa Rasulullah SAW sering menyebut hari 
kiamat dan hal itu selalu ditanya sehinggalah ayat ini diturunkan. 

Al-Maraghi berkata: Kamu jangan bersedih hati dalam menangani masalah ini serta 
jangan memaksa diri kamu untuk mengetahui rahsia-rahsianya dan ingin mengetahui 
sesuatu yang disembunyikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

Firman Allah SWT: Kepada Tuhanmulah terserah kesudahan ilmu mengenainya. 
Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari 
kiamat itu. 

Ibn Kathir berkata: Barang siapa yang takut kepada Allah SWT dan takut kepada 
ancaman-Nya, maka dia akan mengikutimu. Oleh yang demikian, dia sangat 
beruntung dan memperoleh kegembiraan. Kegagalan dan kerugian hanya untuk orang 
yang mendustakan dan melakukan penentangan.

Firman Allah SWT: (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga 
orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka 
tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja. 

Al-Maraghi berkata: Dalam bahasa Arab terdapat ungkapan yang sama seperti 
kenyataan di atas: Aku akan mengunjungi kamu pada waktu petang atau pagi. Atau 
sebaliknya, ungkapan ini bermaksud mereka akan memendekkan masa kunjungannya 
dan sangkaan mereka hanya akan tinggal sepanjang waktu petang atau pagi.

Penutup

Syed Qutb berkata: Selesailah sudah kehidupan dunia yang selalu membuat 
penghuni-penghuninya berperang dan bertarung satu sama lain kerana merebut 
kenikmatannya. Dunia yang selalu membuat mereka mengutamakan kenikmatannya dan 
mengabaikan usaha mereka mendapat habuan di akhirat. 

Dunia yang selalu membuat mereka sanggup melakukan untuknya segala jenayah, 
maksiat dan kezaliman, dan dunia yang selalu membuat mereka dihanyut nafsu dan 
hidup kerana nafsu. 

Terlipatlah sudah kehidupan dunia ini dalam hati pencintanya hingga dirasakan 
mereka seolah-olah kehidupan itu hanya berlangsung selama satu petang atau satu 
pagi sahaja. Inilah kehidupan dunia yang singkat. 

Adakah kerana kehidupan pagi dan petang, mereka sanggup mengorbankan kehidupan 
akhirat yang kekal? 

Adakah kerana kepuasan hawa nafsu yang fana, mereka sanggup meninggalkan 
kediaman syurga yang kekal di akhirat? Tidakkah ini suatu kebodohan yang paling 
besar?








[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke