Pasangan Indonesia saman lagi menteri RM28.9 juta



Pasangan Indonesia yang memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid 15 September lalu, hari ini mengemukakan satu lagi saman terhadap menteri itu dan 13 yang lain bagi menuntut gantirugi berjumlah RM28.9 juta kerana dihantar pulang ke Indonesia April lalu.

Abdul Mutalib Taib, 47, yang mengemukakan saman itu bersama isterinya Romita Hasibuan, 37, dan empat anak mereka, Maruly Azis, 12, Sarah Nor Varah Hanim, 11, Yonatan Adam Fauzi, 9, dan Ismael Syah Putra, 6, menfailkan saman dan penyataan tuntutan itu melalui Tetuan Charles Hector & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur.

Keluarga itu menamakan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mohamed Jamal Kamdi dan timbalannya Saadun Mat Sabari sebagai defendan pertama dan kedua, tiga pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (defendan ketiga, keempat, kelima), tiga pegawai Jabatan Imigresen (defendan keenam, ketujuh, kelapan) serta Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Selangor sebagai defendan kesembilan.

Lima lagi defendan ialah Ketua Pengarah Imigresen, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia, masing-masing sebagai defendan ke-10 hingga ke-14.

Penyataan tuntutan itu menyebut bahawa Abdul Mutalib telah membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen Malaysia pada 18 Sept 2001 untuk mendapatkan status warganegara Malaysia dan memohon mendapatkan kad pengenalan Mykad daripada jabatan yang sama tahun lalu.

Isterinya Romita, menurut penyataan itu, mempunyai visa ikut suami yang dikeluarkan Ketua Pengarah Imigresen yang akan luput pada 26 September depan manakala keempat-empat anak mereka telah mendapat pasport Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Imigresen pada 21 Oktober 2003.

Menurut laporan Bernama, mereka mendakwa defendan kesembilan hingga ke-14 telah, melalui kegagalan, tindakan, kelalaian dan penyataan telah memberi representasi dan keyakinan bahawa kehadiran keluarga itu di Malaysia adalah sah.

Seterusnya mereka mendakwa pada 23 Mac lalu, defendan-defendan telah menangkap, menahan dan menghantar pulang Abdul Mutalib ke Indonesia secara salah.

Plaintif mendakwa tindakan penangkapan, penahanan dan penghantaran pulang Abdul Mutalib yang bukan pendatang haram tanpa dokumen yang sah, tetapi seorang yang mempunyai permit masuk dan kad pengenalan yang sah dengan status penduduk tetap, adalah melanggari prinsip keadilan dan undang-undang sedia ada.

Pohon deklarasi

Dalam penyataan tuntutan itu mereka mendakwa Abdul Mutalib telah ditahan secara salah di Depot Imigresen untuk jangkamasa lebih kurang 38 hari tanpa dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan dihantar pulang ke Indonesia pada 29 April.

Plaintif menegaskan keempat-empat anak mereka telah dipisahkan secara salah daripada bapa mereka oleh defendan-defendan dan dengan ketidakhadiran Abdul Mutalib di Malaysia, Romita berkemungkinan tidak akan dapat terus tinggal di Malaysia berasaskan visa ikut suami itu lagi.

Selanjutnya mereka mendakwa, Ketua Pengarah Imigresen, Jabatan Imigresen dan pegawai-pegawai jabatan itu telah secara sengaja gagal atau enggan memberikan keputusan permohonan Romita untuk mendapatkan permit masuk dan kad pengenalan dengan status penduduk tetap atau sementara supaya dia dapat terus tinggal bersama anak-anaknya.

Oleh itu mereka menuntut pelbagai deklarasi dan perintah, antara lain deklarasi bahawa penangkapan, penahanan dan penghantaran pulang Abdul Mutalib ke Indonesia adalah satu tindakan yang salah, tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga menuntut perintah bahawa kesemua plaintif dibenarkan tinggal, hidup dan bekerja di Malaysia secara sah dan perintah bahawa status penduduk tetap Abdul Mutalib dikembalikan kepadanya.

Plaintif menuntut gantirugi penahanan salah sebanyak RM2,331,000, gantirugi penangkapan dan penahanan pulang secara salah sebanyak RM10 juta serta gantirugi untuk penderitaan, tekanan jiwa dan kehilangan status sosial sebanyak RM15 juta.

Mereka turut menuntut gantirugi secara peribadi dibayar kepada mereka oleh defendan pertama dan kedua sebanyak RM1 juta, dari defendan ketiga, keempat, kelima dan keenam sebanyak RM100,000 dari dari defendan ketujuh sebanyak RM500,000 untuk tindakan salah representasi, serta faedah, kos dan lain-lain relif dari mahkamah.




------------------------------------------------

ADIL-Net will remain a Free Forum
until further notice.

Disclaimer:
The opinions and views posted are not necessarily that of the
list owner's or ADIL's

--------------------------------------------------

Send a blank e-mail to:
[EMAIL PROTECTED] - to subscribe to the list
[EMAIL PROTECTED] - to unsubscribe from the list
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to normal
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to digest

ADIL Homepage: http://members.easyspace.com/reformasi/




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke