SASTERA-UTUSAN MALAYSIa

ARKIB : 21/03/2010
Manfaatnya sastera Melayu

oleh Mawar Shafei
(www.mawarshafei.blogspot.com)

SEMINAR Antarabangsa Kesusasteraan Melayu yang ke-10 (SAKM X) dianjurkan hujung 
tahun yang lalu, antara lain memperlihatkan betapa wujudnya hubungan yang akrab 
antara kesusasteraan dengan pelbagai cabang bidang ilmu atau disiplin lain.

Para pembentang yang terdiri daripada sarjana/ pemikir serta mereka yang 
bergiat cergas dalam bidang masing-masing namun menaruh kecintaan terhadap 
kesusasteraan Melayu, hadir untuk berbahagi pandangan dan saranan. Maka apa 
yang diperagakan antara lain ialah betapa lebarnya ruang yang ditawarkan 
sastera dan paling penting, ia memberi manfaat yang banyak dalam bidang ilmu 
yang sempat dibincangkan antaranya agama, sejarah, kreativiti, pendidikan, 
sains sosial, sains dan seni persembahan.

Hubungan akrab antara sastera dengan seni persembahan, muzik misalnya, 
rata-rata sudah dilihat dalilnya sekian zaman. Betapa rangkap lagu dipindahkan 
dari pantun atau puisi yang cantik dengan susunan fikiran dan rumus/formula 
rima yang relatifnya mudah digubah. Puisi seperti kata Muhammad Haji Salleh, 
antaranya adalah fikiran-perasaan, bentuk yang berangkap-berentak, susunan, 
imaginasi, kecantikan dan kenyataan. Muzik yang menjala puisi Melayu, maka akan 
diperoleh hasil yang molek. Cabarannya adalah perlunya kreativiti penggubah 
lagu, mencipta dan menyusun irama yang bersesuaian.

Isu dan cabaran yang selari diutarakan Ku Seman Ku Hussain dalam rencananya, 
Filem tidak memanfaatkan sastera (Mingguan Malaysia, 7 Mac 2010), merakamkan 
antara lain kekecewaannya terhadap kesenjangan yang berlaku, kali ini dalam 
genre filem. Betapa sastera kurang diperah sarinya untuk filem Melayu. Penulis 
berangkat dari kenyataan bahawa kesusasteraan Melayu adalah sumur kreativiti 
dan pemikiran yang mewah dari tangan Sasterawan Negara mahupun pengarang umum 
lainnya.

Menerusi cerpen, novel ataupun puisi, rentas genre boleh berlaku misalnya ke 
filem, drama, teater, lukisan, tarian atau seni tampak. Ku Seman mengambil 
contoh banyak pengalaman pembikin filem barat yang tersihir dengan novel dan 
akhirnya berbekalkan kreativiti, imaginasi dan teknologi terkini; filem seperti 
Star Wars, Lord of the Rings atau Harry Porter, dapat dijual dengan sambutan 
yang sangat luar biasa.

Isunya, mengapa ia tidak berlaku di sini; adakah keperluan membaca, menekuni 
dan menafsir gagasan atau pemikiran dalam karya sastera itu satu kerja yang 
menjerakan? Dan pembikin filem Melayu belum atau tidak bersedia? Sedangkan 
kerja merentas-genre ini bukan sahaja bersifat memindah teks, sebaliknya 
menawarkan yang baru. Misalnya apa yang berlaku dalam teater atau filem klasik 
tentang kedudukan Tuah-Jebat yang "diselewengkan" daripada Hikayat Hang Tuah. 
Ia banyak dikupas Mana Sikana dalam Tuah-Jebat dalam Drama Melayu Satu Kajian 
Intertekstualiti (1994).

kekuatan

Mengambil contoh sastera rakyat, kisah superman atau uebermensch yang menjadi 
protagonis Hikayat Malim Deman rata-rata sama sahaja dengan watak Superman yang 
punya kekuatan luar biasa dengan label heronya. Mengapa ia pernah didakwa tidak 
masuk akal atau hanya khayalan sebaliknya tidak dilihat sebagai satu kerja 
kreatif. Atau ia alasan yang munasabah untuk pembikin filem atau drama yang 
tidak cukup ilmu kreativitinya atau kurang imaginasi atau miskinnya industri 
filem Melayu dengan peralatan canggih, bagi menjadikan watak Malim Deman atau 
Badang seperti Superman.

Tulisan ini merupakan reaksi terhadap catatan Ku Seman Ku Hussain dan berangkat 
darinya menjelajah ke ruang lain, banyak lagi sastera dapat dimanfaatkan. 
Menerusi SAKM X juga, Profesor Dr Wan Ahmad Tajuddin Wan Abdullah dalam Kata, 
Ungkapan, Citraan, Metafora dan Penjiwaan Fizik: Suatu Jalan Rambang dalam Alam 
Puisi Melayu, menggembleng sastera sebagai ruang percakapan tentang alam sains 
fizik yang mungkin sahaja asing dan jauh dari masyarakat umum. Bahasannya 
memperlihatkan bagaimana ungkapan yang sarat keindahan bahasa perlambangan 
seperti metafora dapat menterjemahkan beberapa konsep atau fenomena sains fizik.

Begitu juga menerusi trilogi novel Hikayat NeoGenesis, Fitrah Kimiawi dan 
Panggil Aku Melaju, dunia perubatan diakrabkan dengan khalayak sastera Melayu 
termasuk kalangan remaja. Istilah perubatan, fenomena sains kimia atau konflik 
kesenjangan dalam birokrasi kerjayanya, diutarakan Dr Rahmat Haroun Hashim, 
doktor perubatan menerusi bahasa dan peralatan sastera.

Malah ia sudah dilakukan lebih awal misalnya lewat Sentuhan Oedipus, Di Ar Ti 
mahupun Manuklon. Namun apa yang menarik menerusi trilogi mutakhirnya menjadi 
medan untuk melancarkan misi pembelaan terhadap petaka PPSMI dalam sejarah 
pendidikan dan bahasa negara ini. Dalam bidang yang sama Aminah Mokhtar, 
jururawat terlatih, juga pernah menyatakan langgam bahasa sastera yang indah 
merupakan ruang ekspresinya berkarya. Ia banyak dipaparkan dalam Dominasi 
Tebrau, Semoga Cepat Sembuh dan Pelamin Embun.

Begitu juga dilihat banyak latar/ilmu/bidang yang mungkin selama ini asing 
seperti sejarah (Islam, Melayu atau dunia), maritime, senibina, undang-undang; 
kebanyakannya kini kian dekat dengan khalayak dengan memanfaatkan mandala 
sastera Melayu. Ia ditangani sewajarnya dalam wilayah ini antaranya oleh Arena 
Wati, Zaharah Nawawi, Azmah Nordin, Nisah Haron, Isa Kamari, Faisal Tehrani, 
Mohd Kassim Mahmud dan SM Zakir.

pandangan

Menariknya apa yang dilakukan mereka merupakan proses pembaikian dari hypotext 
(teks/bidang asal masing-masing) dan kemudian dipindahkan dalam hypertext 
(cerpen/novel yang ditukangi) yang menjadi jauh lebih baik, relatifnya, dan 
inilah pandangan yang disokong kebanyakan tokoh intertekstual antaranya seperti 
Gerard Gennette dalam bukunya, Paratexts: Thresholds of Interpretation (1987: 
xviii).

Proses komunikasi dua hala yang berhemah antara sastera dengan pelbagai ruang 
lain, sebenarnya membawa makna baru, tafsiran yang lebih segar, mencabar 
kembali gagasan hypotext. Hasil SAKM X, dalam himpunan kertas kerja 
Kesusasteraan Melayu dalam Rentas-ilmu, memaklumkan komunikatifnya hubungan 
sastera dengan pelbagai bidang itu. Luar biasanya dalam kesusasteraan 
bidang-bidang itu dilihat dari mata yang sangat manusiawi, lanjutan dari misi 
menambah baik hypotext. Pada masa yang sama ia dijalinkan secara berseni dengan 
alat penukangan sastera khususnya bahasa.

Keterbalikan daripada pemandangan yang memukau itu, manfaat sastera Melayu kian 
berbalam dengan kedudukannya ditempel sebagai mata pelajaran yang semakin tidak 
dihargai dalam muatan sistem pendidikan negara ini.

Makanya, tidaklah aneh jika seperti dakwa Ku Seman, pembikin filem tidak 
memanfaatkan kesusasteraan Melayu yang merupakan sumber cerita yang 
membijaksanakan!

Add to Google  
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
• Emas Jadi Batu Padi Jadi Pasir
• Perginya pencipta syair Boria
• Sastera tempatan terpinggir?
• Bila rebab mengalunkan "Phantom of the Opera"
• Delusisma
• Manfaatnya sastera Melayu
• Pohon beringin
• Tercicirnya seorang penyair sufi
• Tergelincir
• Filem tidak manfaatkan sastera


      Kenapa BBM mesti naik? Apakah tidak ada solusi selain itu? Temukan 
jawabannya di Yahoo! Answers! http://id.answers.yahoo.com

Kirim email ke