PELITA BRUNEI
19 September, 2007
7 Ramadan 1428
Tahun 52 Bilangan 38

LANGKAH MELARANG PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT DI SEKOLAH
DIANGGAP WAJAR

Oleh : Dk. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor
[EMAIL PROTECTED]
Norliah Md. Zain


KEMENTERIAN Pendidikan telah menguatkuasakan larangan bagi para penuntut dan 
murid-murid di kesemua sekolah menengah dan rendah kerajaan senegara membawa 
telefon bimbit ke sekolah. 
Menurut surat pemberitahuan Kementerian Pendidikan, arahan ini mula berkuat 
kuasa pada 1 September 2007. 

Dalam arahan ini, menegaskan mana-mana penuntut dan murid yang didapati tidak 
mematuhinya perlulah diambil tindakan bersesuaian oleh pihak sekolah 
masing-masing. Manakala semua pengetua dan guru besar dikehendaki untuk 
memaklumkan perkara ini kepada ibu bapa / penjaga penuntut-penuntut / murid 
secara bertulis. 

Berikutan dengan arahan ini, pelbagai peringkat terutama guru-guru dan 
penuntut-penuntut telah menyambut baik termasuklah beberapa buah sekolah 
sendiri sudah mulai memperketatkan larangan penggunaan telefon bimbit di 
sekolah, atas alasan boleh mengganggu pelajaran penuntut kerana khidmat pesanan 
ringkas (sms) dengan kawan atau kekasih semasa belajar. 

Apa lagi dengan telefon bimbit bila diperhatikan ramai kalangan penuntut yang 
memiliki telefon bimbit yang berkualiti tinggi dan tentunya mahal berbanding 
dengan ibu bapa mereka sendiri. 

Ketika wakil PELITA BRUNEI menemui beberapa guru telah menyatakan reaksi 
positif terhadap larangan ini, sudah tiba masanya ianya dikuatkuasakan 
memandangkan semakin banyaknya para pelajar menggunakannya. Dengan 
penguatkuasaan ini adalah salah satu cara yang berkesan bagi memastikan telefon 
bimbit tidak dibawa ke sekolah. 

Bagi beberapa orang guru yang ditemui berpendapat, dengan meluasnya penggunaan 
telefon bimbit telah mengubah bukan sahaja cara para pelajar berkomunikasi 
tetapi malangnya ada yang menggunakannya menghantar 'blue-tooth' dengan kawan 
atau kekasih semasa belajar yang lebih buruk lagi penyebaran gambar-gambar 
lucah melalui sms di kalangan penuntut. 

Bagi Dayang Nur Suria binti Ideris, Jurutera Kimia dan rakannya Dk. Sapiah 
binti Pg. Ismail, Jurutera Mekanik dan Dayang Sofianti binti Haji Mohd. Daud, 
Jurutera Awam menyambut baik penguatkuasaan tersebut. 

Semasa masih jadi pelajar lagi, kami memang di larang membawa telefon bimbit, 
ia bukan sahaja menggangu suasana belajar dalam kelas dengan pelbagai bunyi sms 
malah ketenteraman belajar penuntut yang lain. 

Bagi Awang Mohaimin dari BSP, Ada juga baiknya pihak kementerian melarang 
murid-murid membawa telefon bimbit ke sekolah kerana didapati ada sesetengah 
murid mengambil kesempatan untuk ber'chatting' di dalam kelas dan tidak 
menumpukan perhatian penuh terhadap pembelajaran. 

Tetapi apabila larangan ini dibuat, ibu bapa pula sukar untuk menghubungi 
anak-anak mereka terutama sekali untuk mengetahui jam pulang dari sekolah 
selepas menghadiri kelas tambahan. Mungkin kelonggaran boleh dibuat dengan 
mengenakan peraturan bahawa para pelajar hanya boleh membawa telefon jenis 
'basic' sahaja iaitu yang cuma dapat menelefon dan sms. 

Bagi Awang Hasmeddie bin Kelali dari Brunei Shell Tankers, juga menyatakan 
penggunaan telefon bimbit boleh dibawa oleh para pelajar tetapi biarlah ia 
berbentuk 'basic' ertinya bila ada penerimaan dan menghantar sms kepada ibu 
bapa atau penjaga ketika hendak memastikan pelajar tersebut berada di sekolah 
atau adanya perubahan kelas, kadang-kadang memerlukan waktu pengambilan mereka 
balik, maklumlah ibu juga sibuk berada di pejabat. 


'Fleksibel'
Bagaimanapun sebahagia beberapa pelajar dari pengajian tinggi di negara ini 
tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana bagi mereka penggunaannya 
haruslah dilihat dari kesesuaian pelajar sekolah tinggi, menengah dan rendah. 

Awang Nadzuan bin Narawi dari Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien (SOAS), rasa 
larangan menggunakan telefon bimbit tidak salah bagi pelajar yang menuntut di 
sekolah rendah dan menengah, tetapi jika ia membabitkan pelajar maktab saya 
rasa larangan ini perlu 'fleksibel'. Ini kerana jadual sekolah bagi 
pelajar-pelajar di peringkat maktab dan institusi yang tinggi tidak menentu. 

"Kami perlu telefon bimbit untuk menghubungi ibu bapa untuk mengambil kami di 
sekolah. Sepanjang pengamatan saya, rakan sekelas saya di maktab langsung tidak 
menggunakan telefon bimbit ketika belajar," ujar Awang Nadzuan. 

Ada kalanya para penuntut perlu menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi 
guru untuk mengetahui jadual kelas tambahan. Pada masa ini ciptaan telefon 
bimbit semakin canggih. Ia bukan sahaja untuk kegunaan berkomunikasi seperti 
berbual dan pesanan ringkas, malah telefon bimbit juga boleh digunakan untuk 
menaip kerja-kerja sekolah dan 'save' kerja-kerja sekolah di dalam telefon 
bimbit itu. Telefon bimbit pada masa ini sudah mempunyai fungsi yang pelbagai. 

"Oleh itu kami tidak lagi perlu membawa komputer riba kerana telefon bimbit 
selain untuk menaip kerja-kerja sekolah malah ia juga mempunyai akses internet. 
Ia memudahkan bagi kami untuk menghantar kerja sekolah kepada guru-guru melalui 
e-mel. Telefon bimbit pada masa ini juga boleh digunakan semasa membuat 
pembentangan iaitu untuk mengawal 'presentation slide' seperti powerpoint'. 
Oleh itu, telefon bimbit adalah satu keperluan bagi para pelajar institusi 
tinggi," ujar Dayang Iliyana Melissa binti Muhd. Husain dari Pusat Tingkatan 
Enam Berakas (PTEB). 

Bagi Lim Wen Khong dan Abdul Muiz bin Haji Abdullah, PTEB, juga bersetuju 
dengan pendapat rakan saya bahawa telefon bimbit itu adalah satu keperluan dan 
pelajar-pelajar institusi tinggi sudah matang dan semestinya tahu bila waktu 
yang sesuai untuk menggunakan telefon bimbit. 


Gunakan telefon awam
Bagi pelajar Menengah 5A Sekolah Menegah Sayyidina Abu Bakar, Dayang Hajah Nur 
Nadhirah binti haji Ahad berpendapat jika pelajar mahu menghubungi ibu bapa 
mereka, mereka boleh melalui telefon awam atau kedai di sekolah seperti sudah 
menyediakan telefon kad untuk menghubungi mereka. 

Dalam pada itu, Dayang Hajah Nur Nadhirah berkata katani perlu menjaga telefon 
awam jangan ada yang menjadi pemugut merosakkannya dan menyusahkan orang lain. 

Bagi Nur'Aisyah Hamidah binti Haji Jemain dari PTEB bersetuju dengan tindakan 
Kementerian Pendidikan membuat larangan membawa telefon bimbit ke atas para 
pelajar. Ini kerana para penuntut boleh menumpukan pelajaran semasa di dalam 
kelas. Bagi yang ingin menghubungi ibu bapa mereka masih boleh menggunakan 
telefon awam yang disediakan di sekolah. 


Dikhuatiri
Murid-murid juga dikhuatiri menyalahgunakan telefon bimbit semasa proses 
pengajaran dan pembelajaran diadakan. Antara lain, murid dikhuatiri menggunakan 
telefon bimbit untuk menipu dalam peperiksaan. Mereka juga mungkin leka 
menggunakan SMS dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pengajaran. Selain 
itu, tidak mustahil jika terdapat murid yang memuat turun perkara-perkara yang 
tidak diingini semasa di dalam kelas. 

Tidak keterlaluan jika kita mengandaikan bahawa akan timbul kesan psikologi 
terhadap murid sekolah yang kurang mampu. Maka akan wujudlah suatu 'trend' 
dalam kalangan murid sekolah bahawa telefon bimbit ialah perkara penting pada 
zaman persekolahan. Oleh itu, mereka akan memaksa ibu bapa membelikan telefon 
itu untuk mereka. 

Selain itu, pemilikan telefon bimbit dalam kalangan murid dikhuatiri 
menimbulkan suasana hubungan sosial yang tidak baik di dalam kawasan sekolah. 
Ini kerana ada murid yang mula menjadikan telefon sebagai salah satu simbol 
status sosial. Jika satu ketika dahulu jenama kasut, beg dan sebagainya pun 
boleh digunakan sebagai simbol status sosial di kalangan murid, maka telefon 
bimbit juga diramal akan turut menjadi alat untuk murid menunjuk-nunjuk. 

Masalah penggunaan telefon bimbit di sekolah perlu diberikan perhatian. Dengan 
itu, langkah melarang penggunaan telefon bimbit di sekolah dianggap wajar. 
Larangan ini wajar diteruskan memandangkan penggunaan telefon bimbit lebih 
banyak membawa keburukan daripada kebaikan. 

Sebenarnya, apa sebabnya telefon bimbit tidak dibenarkan di sekolah? Apakah 
keburukan yang selalu diperkatakan itu? Kita harus menimbangkan dengan 
bijaksana apakah yang dimaksudkan dengan keburukan telefon bimbit mengatasi 
kebaikannya.



Reply via email to