http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm


Aktivis antirasuah Indonesia diserang

JAKARTA 8 Julai - Seorang aktivis antirasuah terkemuka di Indonesia diserang 
hari ini, dua hari selepas bom-bom petrol dilontar ke pejabat majalah Tempo 
berikutan penyiaran laporan mengenai rasuah dalam pasukan polis republik ini.

Ketua detektif polis Jakarta Selatan, Nurdi Satriaji berkata, aktivis Indonesia 
Corruption Watch (ICW), Tama Langkun (gambar) diserang pada pukul 4 pagi ini 
ketika dia hendak pulang ke rumah dengan menaiki motosikal selepas menonton 
perlawanan bola sepak Piala Dunia.

"Dia diserang oleh empat orang yang menaiki dua motosikal. Mereka memukul 
kepalanya dengan objek keras, menyebabkan dia terpaksa dirawat di hospital," 
kata Nurdi.

Tama dikenali sebagai aktivis yang lantang mengkritik pasukan polis dan 
mendakwa akaun bank mereka digunakan untuk menyorok wang rasuah.

"Motif serangan belum dapat dipastikan. Kami masih menyiasat dan sedang 
berusaha untuk menangkap penjenayah terbabit," kata Nurdi.

Menteri Penyelaras bagi Hal-Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan, Djoko 
Suyanto berkata, pihak polis perlu mencari penyerang dan membawa mereka ke muka 
pengadilan, walau apa pun motif mereka.

Dua bom petrol dilontar ke pejabat Tempo kelmarin, tetapi polis menafikan 
mereka mendalangi serangan itu.

Majalah tersebut terlibat dalam perbalahan dengan polis Indonesia berhubung 
sebuah artikel mengenai rasuah yang didakwa berleluasa dalam pasukan polis.

Polis minggu lepas mengancam untuk menyaman Tempo berhubung artikel tersebut 
yang mendakwa berlaku rasuah besar-besaran di kalangan pegawai kanan polis yang 
dituduh menyembunyikan berjuta-juta dolar dalam akaun bank, hasil kegiatan 
haram.

Ancaman saman itu tidak ada kaitan dengan dakwaan rasuah tetapi berhubung 
gambar di kulit majalah yang menunjukkan karikatur seorang pegawai polis dengan 
tabung berbentuk babi. - AFP

Kirim email ke