Ann Wan Seng puas menyumbang untuk masyarakat
Utusan Malaysia 18 Jan 2007. Oleh: ZUARIDA MOHYIN

ACAP kali penulis bertemu dengan beliau dalam beberapa
majlis, pelawaan untuk diwawancara terutamanya
berkaitan kisah pengislamannya sering mendapat isyarat
‘lampu merah’. Pun begitu, panggilan yang dibuat Sabtu
lalu mendapat respons yang tidak disangka kerana
keizinannya umpama pucuk dicita ulam mendatang. 

Gerangan yang dimaksudkan ialah Penolong Setiausaha
Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia
(Perkim) Kebangsaan, Ann Wan Seng, 39 tahun.

Anak kelahiran Klang, Selangor ini juga adalah
Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim
Malaysia (Macma), Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam
Malaysia (Perkim) Cawangan Putra, Ahli Jawatankuasa
Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan dan Penasihat
Asrama Baitul Ummah, asrama kanak-kanak yatim, fakir
miskin dan mualaf di Taman Setapak Indah, Kuala
Lumpur.

Melihat kepada jawatan yang disandangnya, terbukti
jadual hariannya begitu ketat. Biarpun begitu, Ann
masih mampu memperuntukkan waktu dalam bidang
penulisan buku. Sehingga kini sebanyak 30 buku
tulisannya diterbitkan di bawah pelbagai syarikat
penerbitan.

Kesungguhannya meluangkan masa begitu dihargai
lebih-lebih lagi, terpaksa berkejar dari satu majlis
di Shah Alam untuk memenuhi janji temu kami yang
dirancang di Tingkat 4, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh,
Selasa lalu.

Sempena sambutan Maal Hijrah yang akan disambut Sabtu
ini, umum seringkali mengaitkannya dengan penghijrahan
akidah yang dilalui mereka yang bergelar saudara baru.

Menurut Ann, hijrah merupakan suatu sejarah besar umat
Islam yang sarat pengajaran dan hikmah untuk direnungi
dan dihayati. Sewajarnya peristiwa hijrah Rasulullah
s.a.w. tidak dilihat dalam satu skop sahaja iaitu
peristiwa perpindahan Baginda Rasulullah s.a.w. dari
Mekah ke Kota Madinah. 

“Sebenarnya, hijrah itu bukan sekadar dilihat dari
segi akidah tetapi sepatutnya mencakupi pelbagai aspek
dalam kehidupan seperti sikap, cara hidup, pergaulan,
percakapan dan banyak lagi. 

“Ini menunjukkan bahawa betapa Islam menggalakkan
umatnya untuk melakukan perubahan. Islam itu adalah
agama yang dinamik, bukan jumud dan kaku. Malah Islam
menuntut kita agar selalu membuat perubahan. Contohnya
dari perlakuan buruk kepada baik dan sebagainya,” kata
beliau.

Berbesar hati berkongsi dua peristiwa bermakna setiap
kali tiba hijrah cerita Ann, detik paling bermakna
ialah penghijrahan akidah yang dilalui pada akhir
1996. Jika sebelum ini beragama Buddha tetapi hidayah
Allah menjadikan beliau seorang Muslim. 

Perubahan ini, turut disusuli dari segi lain seperti
sikap. Sebelum ini sedikit kasar dan keras terutamanya
kepada ibu bapa tetapi penghijrahan akidah itu sekali
gus membawa kepada perubahan yang lebih menyeluruh
menuju peribadi Muslim sebenar.

Di samping itu, akui Ann, penghijrahannya turut
mengimbau perpindahan beliau ke rumah baru pada tahun
yang sama. Baginya biarpun nampak biasa tetapi
perpindahan itu bukan sahaja memberi azam baru malah
ia satu alamat yang cukup baik iaitu ia bersih,
tersusun dan kebetulan memiliki kejiranan majoriti
berbangsa Cina. Ia secara tidak langsung, memerlukan
seorang yang mengakui Islam perlu menjaga hak-hak
mereka sebagai jiran.

Katanya, oleh itu, hijrah seharusnya menjadi satu
titik perubahan untuk berusaha menjadi seorang Muslim
yang baik dan memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

“Apa yang paling penting bukan dari segi sambutannya
tetapi pengertian dan kefahaman terhadap peristiwa
hijrah itulah yang lebih utama. Sayang nya apa yang
berlaku sekarang, ramai yang sekadar menganggap ia
sebagai sambutan. 

“Natijahnya tidaklah ada perubahan malah umat Islam
hari ini semakin dicengkam dengan permasalahan yang
membabitkan ramai orang Islam seperti peningkatan
kes-kes keruntuhan moral, hakisan akidah dan
sebagainya. Ini semua berpunca kerana tiadanya
penghayatan sebenar di sebalik peristiwa hijrah,” ujar
Ann.

Jika ada penghayatan maka segala yang dipandukan dalam
Islam akan dilaksanakan dalam kehidupan seharian umat
Islam.

Lantaran itu, menjadi tanggungjawab dan kewajipan
kepada semua umat Islam memulihkan kembali syiar
Islam. Kesemua usaha ini pasti berjaya jika ia bermula
dari dalam diri individu Islam itu sendiri untuk
memperbaiki diri.

Hal ini dapat disamakan dengan bagaimana Baginda
Rasulullah s.a.w. berdakwah demi membangunkan insaniah
di kalangan orang Arab Mekah yang mengambil masa 13
tahun. Penyelesaian kepada masalah di atas terjawab
sekiranya pembangunan insan dikembalikan
kegemilangannya.

“Selain itu, orang Islam juga umpama tubuh manusia,
bangunan atau bersaudara. Apabila disebut bersaudara
ini bermakna lebih rapat daripada kawan, lebih akrab
daripada sahabat dan lebih dekat daripada jiran. Hal
ini bukan sahaja ditekankan soal pemulihan akhlak atau
akidah tetapi turut melibatkan pembanterasan
kemiskinan dalam kalangan umat Islam.

“Ini berbalik semula kepada pembuktian di sebalik
peristiwa hijrah iaitu nilai pengorbanan. Ia mengajar
kita supaya suka melakukan pengorbanan tidak kira dari
aspek masa, tenaga dan wang ringgit sekali gus
mendidik hati setiap Muslim,” tambahnya.

Apa yang amat dikesali Ann, masyarakat kita agak liat
melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan,
kebajikan dan dakwah Islamiah dengan alasan paling
popular iaitu sibuk bekerja dan ketiadaan masa.

Katanya, masyarakat lebih cenderung kepada aktiviti
berbentuk hiburan. Ini tidak dinafikan kerana manusia
memang mudah tertarik kepada segala bentuk hiburan.
Kini, orang Islam perlu celik mata dan hati kerana
banyak kerja yang belum selesai yang berkaitan dengan
dakwah Islamiah.


“Inilah yang menyebabkan pihak kami turut berhadapan
dengan masalah untuk mencetuskan kesedaran kepada
masyarakat. Salah satunya berpunca daripada masalah
komunikasi.

“Oleh itu salah satu cara yang dilakukan ialah dengan
mengadakan pelbagai bentuk program di mana semua pihak
tidak kira pangkat turun padang menjayakannya. Malah
turut diharapkan ialah penglibatan daripada ahli
berdaftar sebagai sukarelawan, supaya kerjasama mereka
akan menentukan kejayaan perlaksanaan penganjuran
aktiviti,” kata Ann.

Kata beliau, di Perkim terdapat beberapa program yang
dirancang. Antaranya Program Ziarah Dakwah di Pulau
Ketam, Ahad lalu. Ia adalah program berkala dari
semasa ke semasa. Alhamdulillah, semenjak diadakan ada
perubahan sikap umat Islam dan bukan Islam terhadap
agama Islam.

Sementara itu, pada Februari ini program yang serupa
turut dirancang di Pulau Carey, Selangor. Ini
mengkhusus kepada golongan Orang Asli yang menjadi
penduduk majoriti di sana selain Melayu, Cina dan
India.

Kejayaan program-program ini juga adalah hasil
sokongan dan kerjasama institusi agama dan pertubuhan
bukan kerajaan lain. Perkim lebih berperanan sebagai
orang tengah atau jambatan untuk merapatkan jurang
perbezaan.

Akui anak bongsu daripada empat adik-beradik ini lagi,
di samping suka melibatkan diri dengan pelbagai
program kemasyarakatan, beliau turut aktif dalam dunia
penulisan bahan ilmiah. Beberapa buku terlaris beliau
ialah Rahsia Bisnes Orang Cina, Rahsia Bisnes Orang
Jepun, Rahsia Bisnes Orang Korea, Rahsia Black Metal
dan Rahsia Arqam.

Menjawab kepuasan yang diperoleh dalam semua
kerja-kerja yang dilakukan, Ann yang sedang
melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD)
di Pusat Pengajian Komuniti di Universiti Putra
Malaysia (UPM), berkata, ia dirasai apabila dapat
memberi sumbangan kepada anggota masyarakat. 

Ini kerana setiap manusia tidak dapat lari daripada
kehidupan bermasyarakat. Sekurang-kurangnya, apa yang
dilakukan secara ikhlas ini menjadi aset akhirat
sewaktu bertemu Ilahi kelak.

Berkongsi kisah pengislaman, kata Ann, sebab utama
mengkaji tentang Islam ialah apabila tidak mendapat
jawapan atau penjelasan tepat tentang sesuatu
kemusykilan berkaitan Islam apabila diutarakan kepada
teman-teman.

Beliau mula tertarik kepada Islam sewaktu di zaman
persekolahan dan semasa menuntut di universiti di mana
beliau mula bergaul dengan orang Islam. 

“Saya terpikat dengan Islam ini terutamanya
penekanannya kepada konsep persaudaraan Islam dan
institusi zakat. Ini kerana bidang sosiologi yang saya
pelajari tidak ada tolok bandingannya dengan Islam.

“Jadi apabila saya tidak dapat penjelasan sebagaimana
yang diharapkan, saya mula mencari menerusi bahan
bacaan, perbincangan dengan ulama dan menerusi kajian,
Gerakan Islam di Malaysia di peringkat sarjana. Saya
juga pernah melalui pengalaman kerohanian dan saya
pernah berniat sekiranya saya menjumpai duit saya yang
hilang, saya akan membeli sebuah al-Quran.

“Entah macam mana, duit tersebut ditemui jadi sebagai
memenuhi hasrat itu, saya pun membeli senaskhah
terjemahan al-Quran dan menerusinya saya mendalami
Islam dan akhirnya membawa kepada agama Allah,” akui
Ann.

Harapan bekas tenaga pengajar di Jabatan Antropologi
dan Sosiologi, Universiti Malaya ini, agar tidak
berlaku pengasingan atau penyisihan kepada golongan
saudara baru terutamanya di kalangan umat Islam itu
sendiri. 

Sebaik-baiknya, umat Islam dapat menjadikan saudara
baru sebahagian daripada mereka dan lebih digalakkan
jika golongan ini diberikan sokongan dari segi fizikal
dan bukan fizikal.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan bantuan kepada
kanak-kanak di asrama Baitul Ummah bolehlah
menghubungi talian 03-4024 3304.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm



    KEAMANAN - KESEJAHTERAAN - KEADILAN 
  Sila layari Blog PAS N.Sembilan di http://pasns.blogspot.com
  Sumbangan untuk pembinaan Bangunan PAS N.Sembilan boleh disalurkan melalui 
Bank Islam No Akaun 50120100 27521.  “Bank in slip” bolehlah dihantar kepada :
    Bendahari
  Tabung Bangunan PAS NS, No 11, Tingkat 1, Bangunan PKNNS,Jln Seremban 
K.Pilah, Ampangan,
  70400 Seremban, N.S.






 
____________________________________________________________________________________
It's here! Your new message!  
Get new email alerts with the free Yahoo! Toolbar.
http://tools.search.yahoo.com/toolbar/features/mail/

Kirim email ke