Ke arah pilihan raya telus, adil         Dr Shafie Abu Bakar 
Fri | Apr 06, 07 | 01:03:57 PM       Perbincangan mengenai tajuk di atas secara 
formal dianjurkan oleh Web TV 8 bagi mengisi ruang penerbitannya. Menurut 
penganjur ia bersifat Forum Perdana.     
  Ahli panel forum ini sepatutnya terdiri daripada Dato' A Kadir Jasin, Ketua 
Editor Berita Publishing yang juga bekas Ketua Editor Kumpulan NST; Prof Dr Abd 
Aziz Bari, Public Law Department, Kuliyah Undang-Undang UIAM; Jeff Ooi, 
Pengendali Laman Web Screenshots di www.jeffooi.com dan Anuar Mohd Nor, Editor 
Umno-reform.com. Malangnya dua daripada panel - Kadir dan Jeff Ooi tidak hadir. 
  Tetapi majlis yang berlangsung pada Ahad 18 Mac 2007 bertempat di Kompleks 
3K, Subang Jaya mulai jam 2.30 - 5.00 petang dihadiri lebih kurang 60 jemputan 
khas itu berlangsung dengan jaya berikutan dengan perubahan format yang penulis 
sifatnya sebagai diskusi.   Kejayaan diskusi pada pertemuan ini dengan hadirnya 
tokoh-tokoh jemputan terkenal yang secara spontan mereka dijemput berbicara 
mengenai topik di atas. Antara hadirin termasuklah Pak Said Zahari, Bekas Ketua 
Pengarang Utusan Melayu yang pernah ditahan selama 17 tahun oleh Kerajaan Lee 
Kuan Yew di Singapura yang juga Bekas Karyawan
 Tamu UKM; Syed Shahir Syed Mohamud Presiden MTUC; Dr Tan Seng Giaw, Ahli 
Parlimen Kepong; Mahfuz Omar, AJK PAS Pusat; Senator Mumtaz Ubaidah dari 
Kelantan; Abu Zarr Mohd Yasin bekas Setiausaha Umno Bandar Tun Razak; Anual 
Bakri Haron Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan; penulis Dinsman dan 
lain-lain. Diskusi dipimpin oleh Roslan Shahir Mohd Shahir yang juga selaku 
Ketua Penerbit WTV8.   Diskusi yang dilangsungkan ini bolehlah disifatkan salah 
satu pendekatan yang dapat memberi kesedaran dan kefahaman kepada rakyat 
tentang perjalanan pilihan raya di Malaysia. Pandangan dari tokoh-tokoh 
berwibawa di dalam berbagai-bagai bidang lebih diyakini rakyat dari sebuah 
penulisan biasa.   Forum yang sedemikian juga memberi kesan kepada pihak 
pemerintah, khususnya BN yang bermati-matian mempertahankan perjalanan 
pilihanraya yang sudah berusia lebih setengah abad dan dianggap ketinggalan 
zaman. Dari kedua-dua sasaran ini, kefahaman terhadap rakyat amatlah penting, 
kerana walau
 bagaimana kerajaan ingin terus mempertahankan kaedah dan perjalanan pilihan 
raya seperti selama ini, kerana banyak faedah yang dapat dimanfaatkan oleh BN, 
tetapi jika kesedaran menyeluruh dapat sampai kepada rakyat betapa perlunya 
perubahan dan pembaikan pilihanraya secara telus dan adil yang merupakan hak 
rakyat, maka rakyat akan dapat merubah pemerintahan yang membuka jalan ke arah 
perubahan kaedah dan perjalanan pilihan raya di negara ini.   Titik tolak 
diskusi
  Anuar Mohd Nor dijemput pengerusi sebagai pemula bicara. Dari awal beliau 
melontarkan pandangannya yang bersifat provokatif bahawa telus dan adil di 
dalam pilihan raya menurutnya bersifat subjektif dan relatif. Sukar menentukan 
ukuran sebenar. Bagi pihak tertentu, khususnya pembangkang berpendapat pilihan 
raya sebagaimana telah dijalankan tidak telus dan adil berdasarkan salahlaku 
yang mereka buktikan.   Manakala bagi pihak penguasa atau kerajaan BN, mereka 
berpendapat pilihan raya yang berlangsung selama ini adalah telus dan adil. 
Jika berlaku sebarang kesalahan dan penyelewengan undang-undang memperuntukkan 
boleh dicabar di mahkamah. Sememangnya banyak kes-kes 'kesalahan' pilihan raya 
dibawa ke mahkamah. Ada pihak pencabar menang disamping ada yang kalah. 
Lontaran pendapat Anuar segera disambut Abd Aziz Bari.   Beliau tidak bersetuju 
dengan Anuar yang melihat soal telus dan keadilan sebagai sesuatu yang 
subjektif dan ilusif, sebaliknya `telus` dan `adil` dua istilah
 yang penting dari segi perundangan, bahkan pembuktian secara telus dengan 
bukti dan fakta membawa kepada tertegaknya keadilan. Telus dan adil dua istilah 
yang mempunyai maknanya yang konkrit yang membezakannya dari makna sebaliknya, 
iaitu tidak telus, tidak terbuka, tertutup dan perjalanan yang boleh 
menimbulkan keraguan.   Manakala adil ialah lawan bagi zalim, iaitu melaksana 
atau menghukum sesuatu secara tidak betul, tidak memberi hak kepada yang berhak 
dan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Dari segi akta pilihan raya 
sebagai contoh, menurut Profesor Abd Aziz, adakah amalan yang tidak telus dan 
adakah pihak parti pemerintah lebih mendapat faedah dari pihak pembangkang? 
Jika ada menandakan ada ketidaktelusan dan ketidakadilan.   Pada dasarnya 
menurut Profesor Abd Aziz, Suruhanjaya Pilihan Raya seharusnya bebas dan tidak 
sepatutnya diambil kesempatan oleh pihak politik tertentu yang berkuasa. 
Suruhanjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.   Dalam hal ini Baginda
 berhak membuat keputusannya sendiri tanpa mendengar nasihat Perdana Menteri. 
Yang di-Pertuan Agong kemuncak bagi `check and balance` dalam pemerintahan. 
Secara menyindir Profesor Abd Aziz berkata, kita berdepan krisis dari golongan 
Mat Rempit, tapi Bapak Mat Rempit yang berkuasa dan mengeksploitasi pilihan 
raya sepatutnya lebih merisaukan kita. Tidakkah sewajarnya bila berlaku perkara 
yang sebegini kalangan rakyat yang prehatin mengangkatkan perkara ini kepada 
Agong?   Tuntutan `Bersih`
  Selepas dua panel menyampaikan pandangan masing-masing, Syed Shahir dijemput 
menyampaikan pandangannya. Beliau melahirkan rasa tidak puas hati beliau 
terhadap perjalanan pilihan raya. Beliau merujuk kepada Badan Bertindak 
`Bersih` yang beliau sama terlibat memperjuangkan pilihan raya secara bersih 
yang menuntut agar SPR membersih senarai pilihan raya dari `illegitimate` 
pengundi, menghapuskan `undi pos` kerana negara kita bukan di dalam keadaan 
perang dan menandakan jari dengan dakwat bagi yang telah mengundi.   Menurutnya 
biarpun cara ini dianggap kolot, asalkan bersih. Beliau juga membangkitkan 
tuntutan, selepas pembubaran parlimen dan sebelum pilihan raya berlangsung 
tentang`Care Taker Government` hendaklah benar-benar dijalankan. Dalam keadaan 
sekarang, walaupun sesudah dibubarkan parlimen, seolah-olah tidak wujud `Care 
Taker Government` dan kerajaan sebelumnya terus menjalankan pemerintahan, bukan 
atas dasar `Care Taker Government`, tapi merupakan penerusan dari
 kerajaan yang memerintah, bahkan meluluskan projek-projek yang baharu bagi 
kepentingan pilihanraya. Ini melanggar amanah dalam tempoh `Care Taker 
Government` yang diamanahkan.   Menurut Syed Shahir peruntukan bagi sesuatu 
kawasan parlimen RM100,000 dan DUN RM30,000 adalah tidak dipatuhi. Bagi kawasan 
parlimen yang perlu menghadkan perbelanjaan kepada RM100,000, maka perbelanjaan 
oleh parti yang berkuasa dan berkewangan melebihi RM100,000,000 dan 
perbelanjaan bagi DUN RM30,000, maka perbelanjaan sebenar berjumlah 
RM30,000,000. Bagi Batu Talam selain dari perbelanjaan melebihi had, turut 
ditumbangkan 81 ekor lembu. Ini tidak termasuk `lembu kotak`! Pilihan raya bagi 
parti yang memerintah adalah tempat pesta melambakkan peruntukan dan kewangan. 
Perkara seperti ini tidak disiasat dan diambil tindakan.   Ragu pada perjalanan 
pilihan raya
  Manakala Pak Said Zahari menyatakan keraguan dan ketidakyakinannya terhadap 
`kebersihan`perjalanan pilihan raya. Sepatutnya rakyat mendapat kebebasan dan 
benar-benar menjadi `hakim` di dalam pilihan raya. Apa yang berlaku sebagaimana 
yang dialami, mereka yang dianggap menggugat kerajaan ditahan di bawah ISA. 
Mereka yang seumpama ini, walaupun sudah `bebas` diekori. Beliau sendiri 
mengalaminya, lap topnya yang banyak mengandungi maklumat diselongkar dan 
dicuri semasa menghadiri bengkel di PD. Rakyat, terutama pegawai-pegawai 
kerajaan ditakut-takutkan daripada menyokong pihak pembangkang.   Untuk 
pusingan kali kedua Anuar Mohd Nor bersetuju perjalanan pilihan raya di batu 
Talam, walaupun diboikot tetap tidak adil. Pihak yang datang ke Batu Talam dari 
parti kerajaan adalah berkuasa yang tidak mau melepaskan kuasa dan datang 
dengan habuan-habuan, memperlihatkan pertandingan yang jauh tidak seimbang dan 
tidak bebas. (Sebagai tambahan pilihan raya kecil Macap yang berlangsung
 pada 12 April yang sedang rancak dengan kempen-kempen tidak terlepas daripada 
umpan dan habuan-habuan sebagai contoh pada masa ini berbagai projek dan habuan 
segera sedang dicurahkan di Machap seperti menurap kembali jalan daripada 
Kampung Bulat ke Macap Baru.   Projek dan habuan di sini tentulah jauh lebih 
banyak dan lebih mahal daripada di Batu Talam. Dijangka umpan dan habuan 
seperti ini juga akan dilakukan di Ijok, Selangor yang wakil rakyat di DUN 
tersebut meninggal pada 4 April 2007 itu dan apabila pengumuman pilihan raya 
kecil dadakan).   Suburkan demokrasi
  Bagi pusingan kedua ini Prof Abd Aziz, mau rakyat dan pihak-pihak tertentu, 
khususnya NGO bersifat positif menyedarkan semua pihak ke arah perubahan. 
Sebagai contoh penyelewengan `Care Taker Government` di Bangladesh disanggah 
rakyat dan pilihan raya terpaksa ditangguhkan sehingga dilakukan perubahan pada 
sistem pilihan raya di negara tersebut.   Beliau mahukan amalan demokrasi 
berkembang subur dan menggalakkan rakyat memahami dan menggunakan saluran 
perundangan bagi sesuatu perkara yang dianggap tidak wajar dan tidak adil. 
Beliau memberi contoh bagaimana pelajar membawa kes AUKU ke mahkamah yang 
dianggap bercanggah dengan peruntukan perlembagaan negara dan bagaimana seorang 
pelajar yang lain tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya kampus 
membawa kes berkenaan ke mahkamah.   Perundangan sewajarnya memberi keputusan 
dan penjelasan mengenai kes-kes berkenaan. Namun Profesor Abd. Aziz juga 
menyatakan pendapatnya bahawa mahkamah juga kadang kala kelam kabut, bahkan
 bercelaru dari segi pengendalian kes-kes pilihan raya. Di dalam hubungan 
dengan pengendalian pilihan raya, Malaysia sepatutnya malu dan mencontohi 
perjalanan pilihan raya yang lancar dan teratur sebagaimana berlaku di India, 
Taiwan dan Thailand, bahkan kita patut malu dengan Indonesia yang dapat 
menjalankan pilihanraya secara teratur dan baik, biarpun Indonesia 20 tahun 
terkebelakang dari Malaysia dari segi mengamalkan demokrasi.   Peranan media
  Untuk pusingan ketiga pengerusi mengalihkan fokus pembicaraan kepada peranan 
media yang menurutnya dimonopoli oleh pihak kerajaan dan amat tidak adil 
terhadap pembangkang. Pihak parti yang memerintah mengawal sepenuhnya media 
letronik seperti TV dan radio bagi semua saluran dan menguasai semua media 
cetak perdana.   Pembangkang tidak dibenar mengeluarkan penerbitan kecuali 
kepada ahli secara terhad dan untuk tempoh dua minggu sekali. Malaysia 
sebenarnya jauh ketinggalan dari segi mengamalkan kebebasan media. Rakyat 
disogokkan dengan pandangan sepihak dan berpihak. Bagi pembangkang saluran 
terbuka pada masa ini ialah menggunakan website dan blog.   Namun bagi Profesor 
Abd. Aziz beliau kurang percaya dengan apa yang diisi di dalam internet, 
website dan blog dan menganggap menghabiskan masa mengikutinya, walaupun beliau 
tidak menafikan turut mengikutinya. Namun bagi Anuar kita patut memberi 
kebebasan bagi mereka yang mau menyampaikan idea dan pandangan.   Masyarakat 
bebas
 membuat penilaian dan keputusan. Internet satu-satu saluran segera yang dapat 
digunakan secara bebas. Sebab itu pembangkang hendaklah menggunakannya sebaik 
mungkin. Berhubung dengan media ini Mahfuz Omar setuju bahawa pihak pembangkang 
perlu menggunakan apa saja media yang boleh menyampaikan maklumat kepada rakyat 
termasuk menggunakan internet, web site dan blog. Kita tidak boleh mengharapkan 
kepada media perdana yang dikuasi kerajaan.   Melalui media rakyat dididik 
memahami proses pilihan raya, cara menggunakan kekuasaan yang ada pada mereka 
dan cara dan proses pemindahan kuasa. Menurut Mahfuz media lebih banyak 
mengulas isu tapi kurang mendidik minda dan budi masyarakat. Izam Hashim 
mempertahankan bloggers, menurutnya inilah satu-satunya cara yang ada bagi 
masyarakat mengeluarkan pendapat secara bebas yang menurut pendapatnya pada 
dasarnya membawa manfaat, walaupun mungkin mengancam pihak pemerintah dan mau 
mendaftar dan mengongkong pengendali-pengendali blog.   Beliau
 mahu pihak-pihak pengendali blog hendaklah bersifat professional dan 
bertanggungjawab. Sewajarnya pengendali-pengendali blog bersatu di dalam satu 
`Coalation Bloggers` bagi menjaga kepentingan mereka dan masyarakat. Manakala 
Mumtaz menyesali generasi baru kurang memberi perhatian kepada perkembangan 
semasa dan tidak menyedari potensi yang ada pada mereka. Mereka disekat di 
dalam masa persekolahan dan sesat bila keluar ke tengah masyarakat terbuka. 
Sebab itu mereka harus dididik dan disedarkan dengan perkembangan semasa yang 
mengelilingi mereka.   Politik dan undang-undang
  Persoalan politik dan undang-undang disinggung oleh pengerusi dengan apa yang 
ditimbulkan oleh Profesor Abd. Aziz sebagai kelam kabut di atas dengan membawa 
beberapa contoh bandingan kes Pulau Pinang (Padang Kota) dibatalkan kerana 
pembawa peti undi ke pusat pengiraan singgah dalam perjalanan yang boleh 
membawa keraguan, manakala kes Dr. Lee Chong Meng yang dicabar BN yang 
kemenangannya ditarik balik dan diberi kemenangan kepada calon kedua dan juga 
Kes Ismail Kamus Gombak dengan penambahan waktu mengundi dari jam 5.00 - 7.00 
petang yang tidak dianggap menjejaskan keputusan.   Bagi Profesor Abd Aziz 
sekiranya perjalanan politik berlaku secara matang tidak memerlukan mahkamah, 
sekiranya perjalanan pilihan raya dijalankan secara teratur dan menurut 
akta-akta termaktub di dalam peraturan-peraturan pilihan raya di samping 
perlunya pembaikan SPR.   Sebarang perubahan contohnya persempadanan hendaklah 
dijalankan secara betul dan tidak berkepentingan kepada sesuatu pihak. Dr
 Tang Seng Giaw Ahli Parlimen Kepong bersetuju sepatutnya perjalanan pilihan 
raya selesai tanpa ke mahkamah, tetapi banyak perkara yang menjadikan pihak 
terutama pembangkang tidak puas hati contoh cara perubahan sempadan Kepong yang 
dialami di kawasan beliau dan banyak kes-kes yang lain yang perlu dibawakan ke 
mahkamah. Beliau secara berseloroh menyatakan Chin Peng juga membawa kesnya - 
hak kembali ke Malaysia ke mahkamah.   Autonomi universiti, AUKU
  Turut bercakap dalam diskusi ialah wakil dari Solidariti Mahasiswa Malaysia, 
iaitu Mohd Nazri Mohd Yunus. Beliau membangkitkan tentang kehilangan kuasa 
autonomi universiti dan terikatnya mahasiswa dengan AUKU yang menyebabkan 
mahasiswa bahkan tenaga pengajar terpenjara di menara gading.   Akibatnya, 
walaupun bertambah jumlah universiti tidak lahir bakat-bakat kepimpinan dari 
kalangan mereka. Pemimpin-pemimpin tajaan biasanya teruji dan patah 
diperjalanan. Kalangan tenaga pengajar yang pada satu masa dahulu berani 
mengeluarkan fikiran dan pandangan kepada masyarakat dan pernah menjadi 
pemimpin pelajar kini membisu dan kelu. Beliau mhau akta dan sistem pendidikan 
sekarang dikaji agar ianya dapat memberi faedah kepada rakyat dan negara, bukan 
bagi menjamin kepentingan penguasa secara sementara.   Kesimpulan
  Sebagai kesimpulan dapatlah dibuat rumusan dari berbagai-bagai pendapat di 
atas bahawa:   Sistem pilihan raya yang telah berjalan selama lebih dari 
setengah abad itu perlu kepada perubahan dan perombakan agar Akta dan Peraturan 
Pilihan Raya menjadi lebih lengkap dan semperna dan pilihanraya menjadi lebih 
telus dan adil. Pembaikan peraturan pilihan raya ini dapat dilakukan dengan 
penubuhan Suruhanjaya Bebas yang terdiri dari pakar-pakar perundangan, 
wakil-wakil parti politik, kalangan NGO, para professional dan individu 
berkedudukan dan dihormati masyarakat.   Sebagai Suruhanjaya Bebas ianya 
hendaklah terpisah daripada kekuasaan politik pemerintah dan bertanggungjawab 
langsung kepada Yang di-Pertuan Agong.   Badan ini diberi kuasa perundangan 
yang boleh menegur kesalahan dan penyelewengan yang berlaku di dalam pilihan 
raya. Kes-kes kesalahan pilihan raya boleh dibawa ke saluran mahkamah pilihan 
raya dan diputuskan oleh mahkamah pilihan raya.   Rakyat hendaklah diberi
 kefahaman berterusan betapa pentingnya sistem pilihan raya yang dapat 
mengangkat, mengekalkan sesuatu pemerintahan negara dan menurunkannya dengan 
menggantikan dengan yang lain. Rakyat hendaklah dididik agar menggunakan kuasa 
yang ada pada mereka secara bebas dan sebaik mungkin.   Media seharusnya 
bersifat bebas dan tidak berpihak. Pihak berkuasa seharusnya tidak menguasai 
media. Peluang yang sama harus dinikmati pembangkang dan orang awam.   
Perjalanan pilihan raya hendaklah benar-benar bersifat bersih dan telus. Rakyat 
dan pegawai-pegawai kerajaan tidak dipaksa dan diugut di dalam membuat pilihan. 
Larangan keras dari rasuah politik dan kewangan hendaklah dilakukan sama ada di 
dalam parti, maupun menggunakan peruntukan kewangan kerajaan bagi 
kawasan-kawasan parti seperti pernah ditimbulkan perkara ini di dalam parlimen 
(2.4.2007 , Peruntukan RM3 juta bagi satu kawasan parlimen parti kerajaan). 
Hukuman sewajarnya hendaklah dikenakan terhadap pertubuhan politik dan mereka
 yang terbabit   Pemerintahan secara `Care Taker Government` hendaklah 
dilaksanakan secara telus dan jujur dari masa perletakan jawatan kerajaan yang 
memerintah sebelum diambil alih pemerintahan kerajaan yang baharu.   Autonomi 
universiti hendaklah dikembalikan dan AUKU hendaklah ditarik balik. Kalangan 
akademik dan mahasiswa diberi hak menyuarakan pendapat termasuk di dalam bidang 
politik. Bangi, 17 R. Awal 1428, 5 April 2007. - lanh

       
---------------------------------
Food fight? Enjoy some healthy debate
in the Yahoo! Answers Food & Drink Q&A.

Reply via email to