Ijok medan pertarungan Khalid vs Parthiban dan Anwar vs Najib             
                                Mohd Rashidi Hassan      
         Mon | Apr 23, 07 | 12:17:32 AM                          IJOK, 23 April 
(Hrkh) -  Barisan Nasional (BN) semakin 'panas' di Ijok! Ijok bukan sahaja 
menjadi medan pertarungan calon Keadilan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan 
calon BN, K R Parthiban, tetapi ia menjadi gelanggang debat Anwar - Najib!

 

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan 'lawan beliau' 
Dato' Seri Mohd Najib sering berbalas hujah setiap hari sejak hari penamaan 
calon 19 April lepas hingga ke hari ini.

 
Anwar vs Najib! Kedua-dua pemimpin dilihat begitu rajin mengempur Dun Ijok 
bukan sahaja untuk berkempen untuk calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan 
Negeri, malah seolah-olahnya Ijok sudah menjadi garisan survival politik 
masing-masing.

 
Di mana-mana sahaja Anwar atau Najib dijadualkan berucap, rakyat Ijok beserta 
petugas dan pemerhati politik akan memberikan sepenuh tumpuan terhadap ucapan 
kedua-dua mereka.

 
Isunya tidak lain tidak bukan berkaitan dengan model warga Mongolia yang 
didakwa dibunuh anggota UTK dengan menggunakan bom peledak C4 tahun lalu, 
berhampiran kawasan perumahan Puncak Alam, yang hanya beberapa kilometer sahaja 
dari Ijok.

 
Sejak awal tahun, Anwar beberapa kali mengadakan sidang media dan berucap di 
beberapa tempat sehingga ke Batu Talam dan Pekan baru-baru ini, mempersoalkan 
hubungan Najib dengan beberapa orang tertuduh yang terbabit dalam kes Altantuya.

 
 "Akhirnya di Ijok dia (Najib) jawab juga," kata Naib Presiden Keadilan, 
Mohamed Azmin Ali.

 
"Ijok bukan sahaja mendapat perhatian dan liputan wartawan dari seluruh dunia 
termasuk, Amerika Syarikat dan England, malah orang-orang Mongolia pun mahu 
tahu," sambung beliau dalam ceramah di Markaz PAS Bukit Badong malam tadi.

 
Anwar yang ditemui selepas menunaikan solat di Masjid Awwabin di pekan Batang 
Berjuntai dekat sini berkata, beliau tidak pernah berhasrat menyentuh fakta kes 
yang sudah menjadi urusan mahkamah.

 
 Tetapi katanya, beliau amat ragu tentang beberapa persoalan mengenai dakwaan 
bahawa ada kalangan yang tertuduh begitu rapat dengan Najib.

 
 "Ada banyak persoalan yang timbul khususnya dalam hal-hal yang membabitkan 
rasuah dan  penyalahgunaan kuasa, komisyen penjualan kapal selam, ini semua 
harus dijelaskan oleh Najib," tegas beliau dalam ceramahnya.

 
Menurut Anwar beliau mahu rakyat Ijok mengundi calon Keadilan sebagai suatu 
titik tolak yang penting untuk perubahan besar dalam politik negara menjelang 
pilihan raya umum akan datang.

 
Dalam ucapannya juga Anwar turut mencabar Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr 
Khir Toyo memberikan butiran terperinci tentang pengumuman pembinaan jalan raya 
di Ijok sehingga mencecah RM36 juta.

 
 Tegas Anwar, beliau yakin kos sebenar pembinaan jalan lebih rendah daripada 
yang diumumkan.

 
"Saya cabar Khir Toyo jawab esok, jangan duk pasang video kononnya saya 
terbabit soal seks," tegas Anwar dalam ceramah di sebuah restoran Cina dekat 
pekan Batang Berjuntai.

 
Sementara Tan Sri Khalid, dalam ucapannya berkata, berdasarkan pengalamannya, 
beliau agak mudah untuk mentadbir dan memajukan agensi yang diterajuinya 
seperti Permodalan Nasional Berhad dan Guthrie dengan dana mencecah bilion 
ringgit.

 
"Namun pada saya begitu sukar untuk mendidik dan membentuk minda rakyat, supaya 
sedar bahawa wang yang dilaburkan begitu besar oleh kerajaan, khususnya dalam 
pilihan raya ini, bukan wang kerajaan, bahawa itu adalah wang rakyat.

 
 "Oleh sebab itu, semua kerajaan mesti bawa pembangunan menggunakan wang 
rakyat, bukan wang pemimpin-pemimpin politik," tegasnya.

 
Katanya, sebagai anak tempatan yang berasal dari Kampung Jeram, beliau melihat 
Dun Ijok masih banyak ketinggalan dari segi kemudahan asas dan infrastruktur.

 
"Mereka (BN) dan wakili kawasan ini sejak berpuluh tahun, tetapi masih tidak 
tahu membangunkan kawasan ini (Ijok), berikan kepada saya, insya Allah saya 
akan berusaha membangunkan Ijok," kata tokoh korporat tersebut.

 
Setakat tinjauan Harakah, rata-rata rakyat Ijok. khususnya dari kalangan Melayu 
dan Cina, begitu mengkagumi keperibadian dan ketokohan Khalid berbanding dengan 
calon BN.

 
Ramai yang ditemui ketika lawatan bersama Anwar dan Khalid di pasar malam Ijok 
dan kawasan kediaman kaum Tionghua, sedia memberikan komitmen untuk menyokong 
calon Keadilan.

 
"Saya baru jumpa orang-orang besar Umno, mereka juga tidak yakin BN boleh 
kekalkan kerusi Ijok," kata seorang rakan wartawan dari agensi berita 
antarabangsa yang ditemui semasa membuat liputan bersama.


       
---------------------------------
 Yahoo! Answers - Got a question? Someone out there knows the answer. Tryit now.

Kirim email ke