*Maslan Yusoh*
Mon | Jul 30, 07 | 06:21:42 PM

*KOTA BHARU, 30 Julai (Hrkh) – * Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Dato'
Mohamad Shukri Mohamad mengajak orang ramai menyokong usaha dilakukan
kerajaan Kelantan kembali menggunakan wang hakiki iaitu dinar dan dirham.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau
www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan
telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Beliau berkata, dinar emas sebagaimana diketahui umum tidak dipengaruhi
keadaan politik atau kedudukan ekonomi sesebuah negara.

"Dinar dan dirham juga boleh digunakan sebagai mas kahwin, hantaran,
cenderamata dan hadiah yang unik dan bernilai," katanya ketika membentang
kertas kerja pada Seminar dan Pelancaran Emas Dinar Kenang-Kenangan sempena
ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan kali ke-57 di Balai Islam di sini,
hari ini.

Seminar tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam,
Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa.

Menurutnya biar pun penggunaan dinar emas sebagai mata wang hanya di bawah
bidang kuasa Bank Negara, namun dinar boleh dijadikan medium penyimpanan dan
pelaburan.

Kata beliau dinar emas wajar dijadikan rakyat Kelantan sebagai sesuatu yang
boleh meningkatkan tahap ekonomi dan kewangan.

Menurutnya mata wang dalam bentuk syiling digunakan pada zaman Rasulullah
saw secara sunnah taqririyyah.

Al Maqrizi menjelaskan pada era Saiyidina Abu Bakar al Siddiq penggunaan
mata wang serupa diteruskan ketika pemerintahannya.

"Begitu juga pada pemerintahan Umar al Khattab tahun 18 Hijrah, dirham Islam
digunakan. Pada era Uthman ibn 'Affan masih menggunakan mata wang dirham
model yang diperkenalkan Umar.

"Begitu juga pada era Umawiyyah menggunakan mata wang hampir sama sifat dan
bentuknya di penghujung al Khulafa' al Rasyidin," katanya.

Bagaimanapun katanya pada 1914 Turki dan negara-negara lain mengisytiharkan
penerimaan sistem kewangan baru yang berasaskan kertas sehingga berakhir
kegemilangan mata wang emas dan perak.

Mohamad Shukri juga memberitahu dinar emas dan perak digunakan di Tanah
Melayu sejak abab ke-14 dengan penggunaan kijang emas dan kupang Kelantan.

Pada 1850 Kijang Mas dicetak sebagai duit emas kesultanan Kelantan ketika
pemerintahan Che Siti Wan Kembang.

Seorang akauntan, Nik Mahani Mohamad yang juga membentang kertas kerja pada
seminar itu berkata, sekiranya tanpa halangan peraturan yang ditetapkan di
peringkat pusat, Kelantan mungkin negeri pertama di negara ini yang
mewujudkan Bank Islam.

"Ini kerana bekas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan, Dato' Nik
Sulaiman Nik Daud telah mencadangkan Bank Islam ditubuh di Kelantan,
kira-kira 25 tahun lalu.

"Namun hasrat itu tidak dapat dilaksanakan kerana ia di bawah bidang kuasa
kerajaan Pusat," katanya.

Beliau juga mendedahkan pada 1945 sebanyak 44 negara hadir pada mesyuarat di
Brettonwoods di Amerika Syarikat telah menerima cadangan mengguna Dollar
Amerika menggantikan emas dan perak.

Menurutnya, ketika itu kebanyakan negara sudah menggunakan wang kertas,
namun disandarkan kepada nilaian emas dan perak.

Bagaimanapun pada 1971 Amerika Syarikat telah mengisytiharkan Dollarnya
tidak lagi bersandarkan kepada nilai emas.

Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
berkata, sejak Emas Dinar Kelantan dilancarkan pada 20 September 2006
nilaian yang dibeli orang ramai berjumlah lebih RM600,000.

"Ini menggambarkan masa depan dinar dan dirham begitu cerah sekali dan lebih
berjaya sekiranya diperluaskan ke peringkat antarabangsa," katanya.

Pelancaran Emas Dinar Keputeraan disempurnakan Sultan Kelantan, Tuanku
Ismail Petra. Hadir sama Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul
Hamid, Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan
pegawai kanan kerajaan negeri.

Sempena pelancaran itu orang ramai menawarkan tender Emas Dinar Keputeraan,
di mana tertinggi dimenangi Low Ching Ang sebanyak 30 keping pada harga
RM30,000.

Kedua, Dato' Tan Liang Chong 18 keping pada harga RM27,000 dan Ketua Pegawai
Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Wan Yahya Wan
Salleh 16 keping (RM24,000).

Pada 25 dan 26 Julai lalu, Institut Kajian Strategik dan Penyelidikan
Kelantan (KRISS) menganjurkan seminar antarabangsa ekonomi Dinar Emas
bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. - mj

Kirim email ke