Intan Abdullah | Foto Nasir Sudin 
Wed | Feb 06, 08 | 12:51:34 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Hrkh) - Lebih 1,000 pemimpin PAS pelbagai peringkat hadir 
dalam majlis taklimat Manifesto Pilihan Raya PAS di Dewan Dato' Fadzil Mohd 
Nor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, dekat sini, pagi tadi. 

Dengan bertemakan 'Negara Beramanah, Bersih, Adil dan Berkebajikan', majlis 
pelancaran dan taklimat khas manifesto ini disampaikan oleh Timbalan Presiden 
PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr 
Dzulkefli Ahmad. 
Dalam majlis yang sama, para pemimpin PAS peringkat pusat, negeri dan kawasan 
diberi peluang untuk turut sama berkongsi pendapat serta membincangkan intipati 
manifesto tersebut. 
Dalam merealisasikan hasrat PAS membentuk negara berkebajikan, PAS antara lain 
menawarkan penurunan harga bahan bakar (petrol dan diesel) dengan pendekatan 
'subsidi' bagi menangani inflasi harga barang keperluan dan perkhidmatan. 
Selain mendedahkan 32 tawaran yang lain, di sektor pendidikan, PAS menawarkan 
penghapusan semua pinjaman tertunggak PTPTN, mengembalikan pendidikan percuma 
di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam serta pemberian biasiswa. 
Turut dijangka mendapat perhatian, pelaksanaan Akta Gaji Minima serta Skim 
Pembiayaan Kesihatan Nasional, penghapusan sistem Penilaian Tahap Kecekapan 
(PTK) serta Akujanji di kalangan kakitangan kerajaan. 
Menurut Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, majlis taklimat pada hari ini adalah 
untuk tujuan penjelasan di peringkat jentera parti, manakala pelancaran 
manifesto tersebut kepada umum akan dibuat dalam jangka masa terdekat ini. 
Majlis penutup dilaksanakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi 
Awang tengahari tadi. Turut hadir, Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang; Ketua 
Penerangan, Mahfuz Omar serta Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' 
Mustafa Ali serta AJK PAS Pusat dan Dewan-dewan. 
PAS mendahului parti-parti politik yang lain dalam menyiapkan manifesto pilihan 
raya yang sekaligus menggambarkan keseriusan dalam melaksanakan agenda 
perubahan dalam negara khususnya untuk memberi manafaat kepada rakyat. 
Sebelum ini, banyak pihak termasuk pemimpin Umno-BN memberi ulasan terhadap 
konsep negara berkebajikan yang akan dibawa oleh PAS. - mks 





Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com


      __________________________________________________________
Sent from Yahoo! Mail - a smarter inbox http://uk.mail.yahoo.com

Reply via email to