Jangan abai solat berjemaah

*Apakah kedudukan masjid dalam Islam dan kelebihan Masjidil Haram dan Masjid
Nabawi?*

*Shaikh Ismail:* Masjid adalah tempat yang mempunyai kedudukan yang tinggi
dalam Islam. Ia juga adalah salah satu daripada syiar agama kita yang Maha
Agung ini.

Malah ada hadis yang menyebut, "bandar yang di dalamnya terdapat lebih
banyak masjid daripada gedung perniagaan adalah lebih diberkati".

Tentang Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ini, Rasulullah SAW bersabda: *Pahala
solat di masjidku ini adalah 1,000 kali lebih baik daripada solat di
lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram*. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam satu riwayat Jabir bin Abdullah r.a. Rasulullah SAW bersabda, *"Solat
di masjidku ini lebih afdal dari 1,000 solat di masjid lainnya kecuali
masjid Haram, dan solat di masjid Haram lebih afdal dari 100,000 solat di
masjid lainnya". *(riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

*Dalam ayat 35 surah al-Hajj dijelaskan bahawa apabila disebut nama Allah
maka gementarlah hati mereka. Bagaimana nak mencapai tahap ini?*

*SHAIKH ISMAIL:* Ini adalah antara ciri tujuh golongan yang mendapat
perlindungan Allah di akhirat kelak. Iaitulah orang yang sentiasa
menunggu-nunggu waktu solat yang akan datang setiap kali selepas selesai
solat.

Untuk mencapai tahap begini, ia perlukan kepada didikan dan asuhan sejak
kecil. Dalam hal ini, peranan ibu bapa sangat penting. Anak-anak hendaklah
sentiasa dididik melalui pendekatan dakwah bil hal iaitu melalui contoh oleh
ibu bapa.

Jika ke masjid jangan lupa bawa bersama anak-anak. Kerah mereka jangan pula
hanya ibu bapa ke masjid anak-anak dibiarkan di rumah.

Kalau di sekolah, guru-guru boleh memainkan peranan. Wajibkan mereka solat
berjemaah di surau atau masjid di institusi pengajian tinggi pun serupa.
Lagipun, mereka yang berjaya selalunya adalah golongan yang istiqamah dalam
ibadat terutama solat berjemaah.

Didikan yang berterusan pada usia kanak-kanak selalunya berjaya memupuk
budaya cintakan masjid. Sebab itu, ada kejayaan sekolah-sekolah berasrama
dalam membentuk remaja yang kekal solat berjemaah di masjid atau surau.

*Salah satu perkara yang terus menjadi perbahasan ialah mengasingkan
kanak-kanak daripada bapa semasa solat. Ini adakalanya menjadi penghalang
proses mentarbiah anak-anak ke masjid. Apakah pendekatan terbaik dalam hal
ini?*

*SHAIKH ISMAIL:* Kaedah fikah telah menetapkan kedudukan saf dalam berjemaah
iaitu lelaki, kanak-kanak dan kemudian wanita. Ini bermakna kita
mengalu-alukan kanak-kanak datang berjemaah.

Ibu bapa pula perlu memberi nasihat kepada anak masing-masing supaya menjaga
adab dan disiplin di masjid agar tidak mengganggu jemaah lain beribadat.
Barangkali umur paling sesuai membawa anak ke masjid ialah 7 tahun sebagai
mana hadis Rasulullah yang menyuruh ajarkan anak kamu solat ketika umurnya 7
tahun.

Kalau masih terlalu kecil, elok mereka dilatih di rumah dahulu tentang adab
solat berjemaah dan tidak bising semasa kita solat.

Kita sentiasa mengalu-alukan ibu bapa yang membawa anak-anak yang sudah
diasuh tentang adab dan tingkah laku berada di majlis. Apa yang menjadi
masalah kepada para pegawai masjid ialah sikap sebilangan ibu bapa yang
lepas tangan dan biarkan sahaja anak mereka berlari-lari membuat bising di
masjid.

Banyak masjid kini menyediakan pelbagai program ilmu sama ada fardu ain atau
fardu kifayah. Malah kita juga suka kalau anak-anak datang bermain di
kawasan masjid seperti main bola, sepak takraw. Cuma mereka mestilah menutup
aurat dan apabila masuk waktu solat hendaklah sama-sama tunaikan solat
secara berjemaah.

Pendekatan sebegini lama-kelamaan akan menarik mereka sentiasa mahu
berdamping dengan rumah Allah dan bukannya menjauhkan diri daripada masjid.

Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda, *Dan dari Aisyah r.a ia berkata,
Saya melihat Rasulullah menutupi saya waktu saya melihat orang Habsyah
bermain (pedang) di masjid*. (riwayat Bukhari dan Muslim)

*Kalau kita lihat di Masjidil Haram atau Nabawi, jemaah boleh beriktikaf
malah tidur di dalamnya. Adakah jika masjid-masjid kita turut membenarkan
perbuatan ini boleh menarik lebih ramai mengunjunginya?** *

*SHAIKH ISMAIL:* Masjid di negara kita pun memang benarkan tidur untuk
beriktikaf. Cuma jangan sampai ada yang mengambil kesempatan disebabkan
contohnya ada pendingin hawa maka dia datang ke masjid lalu tidur.

Kita suka kalau ramai yang beriktikaf di masjid, baca al-Quran dan tunaikan
solat-solat sunat setidak-tidaknya tahiyatul masjid. Itu memang bagus.

Lagipun di Masjid Negara ini kita sentiasa menerima lawatan pelancong, jadi
kalau umat Islam sentiasa ramai yang beriktikaf dan solat tahiyatul masjid,
barulah ada adab berada di rumah Allah.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW, *Apabila seseorang di antara
kamu masuk ke masjid, maka janganlah ia duduk sebelum ia solat dua rakaat*.
(riwayat Bukhari dan Muslim)

*Bolehkah datuk jelaskan ayat 18 surah at-Taubah Allah jelaskan kriteria
orang yang memakmurkan masjid?*

*SHAIKH ISMAIL:* Ayat itu bermaksud,* Hanyasanya yang layak memakmurkan
(menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan
tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang
tersebut), mudah-mudahan mereka menjadi dari golongan yang mendapat
petunjuk. *(at-Taubah: 18)

Antara faktor yang boleh mencapai tahap ini ialah menunaikan solat berjemaah
di masjid dan surau. Solat berjemaah juga menjadikan kita lebih peka kepada
rakan-rakan. Contohnya, apabila ada di antara rakan yang tidak hadir
berjemaah maka kita akan bertanya di manakah beliau, adakah sihat atau sakit
dan sebagainya.

Cuma yang nak saya sebutkan di sini ialah majoriti umat Islam di negara kita
menunaikan solat. Apa yang kurang diamalkan ialah solat berjemaah. Kita
sering lihat orang Islam solat di pasar raya semasa membeli-belah, di
kawasan rehat dan rawat lebuh raya dan juga di lapangan terbang.

Sayangnya, mereka pilih untuk solat bersendirian sedangkan solat berjemaah
itu pahalanya 27 kali ganda berbanding solat sendirian. Tambahan pula, solat
berjemaah itu hukumnya fardu kifayah.

Kalau kita lihat masyarakat Islam dahulu, mereka berkorban untuk
mengimarahkan masjid dan surau. Masjid dahulu kedudukannya agak jauh dari
rumah dan hanya menggunakan pelita atau lampu ayam. Orang tua-tua dahulu pun
majoritinya tidak mempunyai kenderaan tetapi mereka tetap berusaha datang
berjemaah.

Kini majoriti kita lebih mewah berbanding masyarakat dulu. Masing-masing
mempunyai kenderaan baik motosikal atau kereta. Jadi, tiada alasan untuk
kita tidak ke masjid solat berjemaah. Malah, Allah juga telah berjanji
bahawa setiap sen yang dibelanjakan untuk jalan-Nya akan diganti.

Lagipun, kalau bersendirian, adakalanya datang rasa malas untuk solat pada
awal waktu. Sebaliknya apabila berjemaah bukan sahaja kita solat di awal
waktu tetapi kita juga lebih khusyuk. Selepas solat, kita boleh pula
melakukan ibadat sunat yang lain seperti solat sunat atau membaca al-Quran.

*Datuk Shaikh Ismail Muhammad, Imam Besar Masjid Negara*

Kirim email ke