Lagi kisah kehidupan @ www.ceria.com.my


KISAH 
sebelum ini menarik perhatian Puan Shana turut sama memberikan pandangan 
berdasarkan pengalaman yang hadapi kini. Katanya, memang tepat kata orang 
tua-tua berumah tangga tidak semuanya berjalan lancar seperti sungai 
mengalir.

Kalau 
cerita Norzie suaminya banyak melebihkan keluarganya, demikian juga yang 
dihadapi oleh Shana, malah yang lebih teruk lagi, suaminya tidak menyukai 
keluarga sebelahnya, hinggakan untuk memberikan ibunya duit setiap bulan pun 
dilarang, inilah masalah besar yang sentiasa berlengkar dalam 
kehidupannya.

Bukan setakat itu, nak balik kampung pun ada jadual, tak 
boleh balik sesuka hati, malah kenduri-kendara mahupun majlis perkahwinan 
saudara mara dipilih-pilih malah dia tidak galakkan pergi, kalau pergi pun cuma 
saya seorang, demikian cerita Shana dalam e-mel kepada penulis, dan ketika kami 
berbual di telefon, katanya dia sering diugut akan diceraikan kalau tidak mahu 
mengikut kehendak dan kemahuannya.

``Saya tak tahu pengalaman orang lain, 
tetapi pahit maung yang saya lalui selama berumah tangga selama 8 tahun ini 
amat 
membebankan perasaan dan menekan jiwa saya. Walaupun kini sudah mempunyai 2 
orang anak, boleh dikira dengan jari bilangan saya balik kampung dalam setahun, 
biarpun kampung saya dalam negeri yang sama.

``Masa mula-mula kahwin 
dahulu, suami saya Eddy memberitahu, rancangan masa depannya terhadap rumah 
tangga kami dan bagaimana kami boleh memiliki rumah sendiri dengan tidak payah 
menyewa rumah lagi. Rancangannya kalau diikut memang bagus, tetapi malangnya 
tidak berjalan lancar seperti yang dia sendiri susun.

``Rancangnya saya 
mesti serahkan gaji saya semuanya kepada dia kemudian dicampur dengan duit 
gajinya, kami boleh beli rumah dan kereta lebih baik daripada yang dia ada pada 
waktu itu. Sementara mencari lokasi taman perumahan yang elok dan dekat dengan 
tempat kerja kami, maka kami terpaksa menyewa rumah dahulu, saya mengikut 
saja.

``Dari sebulan setahun rumah masih tak ditemui, kalau ada pun rumah 
yang sesuai, lokasi tak baik, tak jadi beli. Kadang tu lokasi sesuai, tetapi 
kawasan perumahan tak cantik tak beli juga. Alasannya, kalau salah pilih 
setahun 
rumah dah roboh, buat apa! Ada juga kawasan tak sesuai kerana selalu banjir dan 
sesak dengan kereta pun dia tak beli.

``Tapi yang peliknya rumah sewa 
kami memang di kawasan sesak dengan kereta setiap pagi hingga ke malam dia tak 
kisah pulak, alasannya kerana rumah sewa. Kini sudah tujuh tahun kami duduk di 
tempat yang sama, dan sesak tapi dia tak pulak jadi masalah kepadanya. 
Bagaimana 
kereta kami kini sudah dua kali bertukar.

``Saya tak kisah kalau dia 
cerewet pasal beli rumah, kerana seleranya tinggi, tapi saya bimbang semakin 
lama bertangguh, harga semakin mahal dan pasti rumahnya bukanlah dekat bandar 
lagi, tentu jauh dari KL. Kalau pun ada harganya sekali lipat.

``Namun 
yang memeningkan kepala saya ialah bab menguruskan rumah semua dia nak buat, 
kalau tak mahu beli perabut saya tak kisah, tak tukar langsir empat lima tahun 
pun saya boleh sabar, sebab tak ada siapa nak datang ke rumah saya, saudara 
mara 
saya jauh sekali mahu datang. Kalau datang pun keluarga dia nak malu pun rumah 
tak cantik dia sendiri bukan saya, sebab saya tak ada duit dan tak ada kuasa 
dalam rumah sendiri.

``Semua Eddy tentukan. Perabut rumah kami yang ada 
cuma yang perlu sahaja, kerusi meja, peti sejuk, dapur, meja makan, set bilik 
tidur semasa saya kahwin dulu, itu sahaja. Permaidani pun tak ada, alasan Eddy 
ia berhabuk tak baik untuk kesihatan. Kipas angin saya ambil dari rumah emak 
sebab tak tahan panas, begitu juga pinggan mangkuk periuk belanga hadiah emak 
semasa saya pindah lepas kahwin dahulu.

``Eddy tak galakkan saya pegang 
duit takut saya boros dan membazir, kalau nak beli pakaian saya dan anak-anak 
dia ikut sama dan tentukan yang mana sesuai untuk kami. Tudungsaya pun dia 
pilihkan. Biasalah kami beli pakaian setahun sekali dekat 
raya.

``Selepas lima tahun kahwin, saya rasa sudah tidak selesa lagi, 
janji beli rumah entah di mana saya sendiri tidak pegang duit gaji saya kecuali 
diberikan duit makan semasa di pejabat. Namun yang lebih membuatkan saya 
memberontak dalam hati ialah bila saya meminta duit daripada Eddy untuk 
diberikan kepada ibu bapa saya dia tak bagi. Alasannya kalau duit selalu keluar 
mana cukup nak beli rumah.

``Saya jelaskan kepadanya, kalau sebelum 
kahwin saya bagi emak bapak saya paling kurang RM200 sebulan, takkan sekarang 
RM100 sebulan pun tak boleh. Saya pujuk lagi gunakan duit saya itu bagi emak 
setiap kali hari raya dan hujung tahun waktu bukan sekolah untuk membantu 
adik-adik, itu pun dia tak bagi. Kadang tu selepas menangis dua tiga hari baru 
dia bagi RM100 setahun sekali. Mana cukup.

``Akhirnya bila uisa meningkat 
saya beranikan diri simpan duit sendiri dan saya beritahu Eddy saya akan 
uruskan 
makan minum, susu anak dan sebagainya, saya tak mahu beri duit padanya lagi, 
kerana saya kira duit gaji saya yang disimpannya selama 5 tahun sudah cukup 
untuk membayar duit muka rumah yang dirancang untuk dibeli 
itu.

``Perubahan sikap saya tentulah menjadi kemarahannya, dia merajuk 
tak balik rumah beberapa hari hinggakan saya terpaksa naik teksi dan bas ke 
tempat kerja. Akhirnya dengan bantuan kawan-kawan saya menumpang mereka dan 
selesai satu masalah. Mulai bulan itu juga saya kirimkan duit untuk emak setiap 
bulan. Dan saya masih ada simpanan lagi. Amuk Eddy tak pernah surut, selagi 
saya 
tak menyerahkan duit gaji saya padanya.

``Namun saya sudah nekad tidak 
akan berganjak dari keputusan yang dibuat. Eddy mengugut, katanya isteri yang 
engkar pada suami tak cium bau syurga, tapi saya lebih yakin bahawa syurga di 
bawah tapak kaki ibu.

``Saya cuba jelaskan kepadanya, kalau saya berbakti 
kepada emak saya dan bagi emak saya duit pun cuma beberapa tahun ini sahaja, 
paling lama 10 atau 15 tahun, lepas itu entah ibu bapa saya ada lagi atau 
tidak. 
Sebab mereka dah tua. Tetapi saya akan terus berbakti atau menjadi kuli kepada 
suami saya hingga ke akhir hayat, kalau tidak kena cerai mungkin 30 atau 40 
tahun lagi, jadi mengapa marah kalau saya ingin berbakti dan memberi sedikit 
duit kepada ibu bapa saya. Tak lama!

``Lagi pun saya fikir bila lagi saya 
dapat membalas jasa ibu bapa saya yang selama ini membanting tulang membesarkan 
saya, suami mengambil saya sebagai isteri setelah saya dewasa, berkerja dan 
memberi hasil kepadanya, dia tidak bersusah payah menjaga saya, sebaliknya saya 
yang selama ini membantunya. Kalau saya sakit pun belum tentu dia boleh menjaga 
saya dengan baik seperti ibu menjaga saya dulu.

``Lebih penting, saya pun 
tak tahu jodoh dan kasih sayang saya dengannya, mungkin panjang mungkin tidak, 
mungkin dia kahwin lagi, atau mungkin saya dimadukan siapa tahu? Tapi kasih ibu 
kepada anak tak pernah padam. Saya katakan juga kalau saya tak pernah bertanya 
berapa banyak duit yang diberikan kepada emaknya setiap bulan mengapa hak saya 
dipertikaikan?

``Lebih memberatkan hati saya untuk menguruskan duit gaji 
sendiri setelah hubungan saya dengan ibu bapa dan adik-beradik saya cuba 
dibataskan, sebagai contoh, nak balik kampung di sekat, kenduri kahwin saudara 
mara kalau balik pun cuma saya sendiri, sedangkan dia tak suka berhubung rapat 
dengan keluarga saya.

``Kalau balik kampung saya semasa Hari Raya pun 
selepas tiga raya, tidur semalam esok balik tak sempat jumpa adik-beradiksaya, 
sebab mereka sudah balik ke rumah masing-masing, nak pergi ke rumah mereka, 
Eddy 
tak mahu. Belum pernah saya balik kampung pada raya pertama, sebab Eddy tak 
suka 
bergaul dengan ipar duai atau biras saya, lebih penting dia tak mahu keluar 
duit. Ialah takkan balik tangan kosong tak mahu beli daging sekilo ke, bagi 
duit 
raya pada anak-anak saudara ke, atau kepada ibu bapa saya!

``Sebab itulah 
saya bertindak menguruskan duit sendiri sebab saya tak nampak perubahan Eddy 
kepada kebaikan. Lebih menyakitkan hati saya bila di tanya berapa jumlah 
simpanan sekarang dah cukup ke untuk bayar duit muka rumah, jawapannya adalah 
sikit, tak banyak. Dia tak pernah beritahu saya jumlah sebenar, mengapa mesti 
sembunyikan jumlahnya daripada pengetahuan saya, bukankah kita berkongsi 
menyimpannya, jadi saya pun berhak tahu. Setiap kali bertanya ia akan 
mencetuskan pertengkaran, mula-mula dulu memang saya takut bertanya, tapi lama 
kelamaan saya dapati ketakutan saya itu menjadi senjata kepadanya supaya saya 
tak berani bertanya pada dia lagi.

``Betul kata Eddy bukan tanggungjawab 
saya beri duit pada ibu dan bantu persekolahan adik-adik. Tetapi apa 
tanggungjawab saya sebagai anak kepada ibu bapa yang susah, tergamakkan saya 
melihat adik-adik terkial-kial nak bersekolah?

``Saya bukan buta hati dan 
buta perut, sebagai anak saya rasa itu satu dari tanggungjawab saya. Inilah 
sahaja bakti saya kepada ibu bapa saya sebelum mereka meninggal dunia. Saya 
mahu 
mereka senang hati, emosi dan fizikal di hujung-hujung usia mereka. 

``Malangnya niat baik saya ini telah membawa masalah besar dalam 
kehidupan saya, kalau dahulu Eddy nampak gembira setiap kali balik ke rumah, 
tetapi sejak saya uruskan duit sendiri, dia tidak mahu lagi melayan saya dan 
anak-anak dengan baik, ada-ada sahaja yang salah terhadap diri saya. Saya faham 
semuanya kerana saya tidak serahkan duit gaji saya padanya setiap 
bulan.

``Bagaimana pun jika saya kembali seperti dulu menyerahkan gaji 
saya kepadanya, hati dan jiwa saya pula tidak tenteram, saya boleh berkorban, 
tapi sampai bila, sedangkan baru dua setengah tahun saya menguruskan duit 
sendiri, saya sudah boleh menyimpan hampir RM4,000 dan saya rasa Eddy sudah 
pasti menyimpan lebih banyak lagi kerana dia begitu berkira dalam berbelanja, 
baik soal rumah mahupun makan minum kami.

``Boleh dikatakan setahun 
sekali kami pergi berkelah ke Port Dickson pun susah, kalau pergi pun kami bawa 
bekalan makanan dan minuman, tak pernah makan di restoran. Kalau keluar belanja 
pun cuma duit minyakdan tol. Tapi saya tak kisah asalkan anak-anak gembira. 
Kebiasaannya kami cuma 
berhibur dan makan angin ke Taman Titiwangsa atau ke sungai-sungai perkelahan 
di 
pinggir kota. Tentu Eddy banyak simpan duit!

``Walau pun hubungan kami 
agak kurang mesra, tetapi hati saya tenang, saya rasa tak salah simpan duit 
sendiri. Benar saya mesti bersyukur kerana Eddy benarkan saya bekerja, tetapi 
kalau tidak bekerja, mampukah Eddy sendirian? Beli rumah dan kereta? Belum 
tentu 
lagi! Sepatutnya Eddy bersyukur sebab saya membantunya, tapi Eddy kedekut 
dengan 
keluarga saya kerana dia mahu simpan duit dan mahu cepat kaya. Eddy janganlah 
kedekut sangat!"

Demikian luahan rasa Shana terhadap suaminya, katanya 
dengan mencurahkan isi hatinya, walaupun Eddy tidak membaca ruangan ini, tetapi 
jiwanya tenang. Malah ketika kami berbual di telefon Shana memberitahu hatinya 
terasa lega sekali, bebas dari bebanan besar yang terpaksa dipikulnya selama 
ini.

Kata orang tua-tua berjimat cermat dan beringat tentang masa depan 
kita boleh senang, tetapi kita akan menjadi lebih senang, mewah dan mendapat 
keberkatan Allah jika kita banyakkan bersedekah, menghulurkan bantuan kepada 
mereka yang memerlukan, bermula dalam keluarga sendiri, ibu bapa, adik-beradik 
juga saudara mara yang susah. Hidup kita juga akan mendapat keberkatanNya di 
dunia dan di akhirat.
 - MAIMUNAH 


      

Kirim email ke