TAMPIN 16 April - Masyarakat disaran supaya tampil menghulurkan sumbangan bagi 
membantu penghuni-penghuni Rumah Lindungan Kasih di Taman Suria dekat sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, sebarang bantuan sama ada dari 
segi kewangan atau barangan keperluan harian amat dialu-alukan.

Selain itu, katanya, orang ramai boleh membantu dengan berkhidmat secara 
sukarela sebagai pembimbing kepada seramai 16 penghuni yang terdiri daripada 
bayi, kanak-kanak dan remaja di pusat jagaan tersebut.

''Saya berharap lebih ramai anggota masyarakat akan tampil memberi sumbangan 
kepada Rumah Lindungan Kasih," katanya.

Osman berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan dan 
lawatan ke Rumah Lindungan Kasih di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Manan Mohd. Hassan dan 
Pegawai Daerah Tampin merangkap Pengerusi Rumah Lindungan Kasih, Datuk Mohd. 
Yusof Yunus.

Sementara itu, kata Mohd. Yusuf, Rumah Lindungan Kasih yang mula beroperasi 
pada 1 Januari tahun lalu merupakan sebuah pusat jagaan yang menempatkan 
penghuni perempuan sahaja.

''Terdapat dua kategori penghuni di Rumah Lindungan Kasih iaitu anak yatim dan 
miskin serta remaja yang pernah terjerumus dalam masalah sosial.

''Kemasukan ke pusat jagaan tersebut adalah secara sukarela, terbuka kepada 
semua kaum serta tiada bayaran dikenakan," jelasnya.

Tambahnya, pada masa ini, Pusat Lindungan Kasih memerlukan sumbangan perabot 
bagi membolehkan kesemua penghuni menjalani kehidupan dalam suasana lebih 
selesa.

Utusan Malaysia 17 April 2009
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_07.htm
 



      

Kirim email ke