KUALA KANGSAR, 19 April (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini
bertitah bahawa seseorang raja sebenarnya berada di atas politik dan tidak
boleh turun untuk berdebat dengan terbuka dalam memberi jawapan dan
penerangan untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh
kumpulan politik tertentu.

Baginda bertitah tindakan kumpulan politik berkenaan yang sampai ke
peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain turut mencemar
institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja merupakan
satu perbuatan 'menyalakan api dalam sekam' yang amat berbahaya dan boleh
memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

"Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh
dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan
menghalalkan cara.

"Betapa kumpulan politk tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta
memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan
diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada
sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang diketepikan atas
matlamat untuk mendapatkan kuasa," titah baginda pada istiadat menghadap
sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena
ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di Istana Iskandariah di sini, Ahad.

Sultan Azlan bertitah pada hemat baginda, negara kini telah terlalu
berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej
negara di kaca mata antarabangsa.

"Dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini,
aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa ini
tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi
mangsa terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian," titah
baginda.

Baginda bertitah oleh itu para pemimpin yang mewakili kumpulan politik yang
berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama di antara
mereka demi kepentingan negara dan warga.

Sultan Azlan bertitah sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan
negara, diakui bahawa berlakunya kepincangan dan salah laku serta insiden
penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir negara.

"Beta sendiri dari masa ke masa turut menzahirkan teguran, pandangan dan
nasihat baik secara terbuka mahupun secara tertutup akan perkara-perkara
yang tergelincir dari dasar dan garis perundangan.

"Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa indivIdu atau yang berpunca
dari kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa
berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh
mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

"Barang dijauhkan Allah dari bangsa menghadapi nasib malang 'menang sorak
kampung tergadai', akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri," titah
baginda.

Sultan Azlan bertitah anggapan salah bahawa raja berperlembagaan adalah
sekadar lambang tanpa sebarang kuasa merupakan tafsiran yang perlu
diperbetulkan.

Titah baginda, raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta
penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara
yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran
dan pertuturan raja pemerintah.

"Perlu ditegaskan bahawa raja berpelembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak
untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan
dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran."

Sultan Azlan bertitah raja berpelembagaan bertindak tertakluk kepada kuasa
yang termaktub di dalam perlembagaan tetapi adalah satu kesilapan untuk
memikirkan bahawa peranan seorang raja pemerintah itu sama seperti seorang
presiden yang terbatas semata-mata kepada apa yang tersurat.

"Peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan
perlembagaan. Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam
memastikan bahawa semangat perlembagaan , falsafah di sebalik setiap
undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara perlu
sentiasa dilindungi," titah baginda.

Baginda bertitah berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu,
raja-raja mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan,
kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam,
melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain.

"Perkara-perkara ini adalah asas persefahaman yang telah tercapai dan
merupakan resipi kejayaan terbentuknya sebuah negara bangsa yang merdeka
lagi berdaulat, membolehkan warganya hidup rukun lagi bersatu," titah Sultan
Perak.

-- BERNAMA

Salaam & Regards
Amri el Wahab
Jemput ke laman blog saya di http://hembusan-amal.blogspot.com

Kirim email ke