BERHATI-HATI MENJAGA HATI

الا وان في الجسد مضغة اذا صلحت صلح الجسد كله واذا فسدت فسد الجسد كله الا وهى
القلب
" Sesungguhnya didalam jasad manusia ada seketul daging, seandainya ia baik
maka baiklah anggota badannya, seandainya ia rosak maka rosaklah anggota
badannya, ketahuilah! ianya hati "( HR:Bukhari &Muslim )

Sepertimana penyakit zahir yang menyerang tubuh badan kita yang berpunca
dari bakteria, kuman dan virus secara perlahan dan berperingkat yang mampu
menjadi kronik dan akhirnya menjadi asbab kepada kematian.

Maka begitu jugalah dengan hati kita yang sentiasa diserang virus, bakteria
dan kuman dosa yang mampu menjadi tenat secara beransur-ansur dalam berbagai
peringkat sehinggalah mematikan hati kita.

Peringkat kuman dosa yang merosakkan hati :

1) Merasa bersalah bila berbuat dosa
Pertama kali melakukan dosa, hati rasa menyesal, bersalah dan resah, kerana
perbuatan jahat adalah sesuatu yang berlawanan dengan fitrah kejadian
manusia yang tercipta dalam kesucian.

2) Merasa biasa bila berbuat dosa
Namun rasa berdosa tidak bertahan lama apabila dosa diulang-ulang. Rasa
berdosa akan hilang sedikit demi sedikit dan hati sudah terbiasa dengan
kehadiran dosa. dulu, bila berdosa temannya airmata tapi sekarang alah bisa
tegal biasa. Hati rela dan tega dalam dosa.

3) Merasa seronok bila berbuat dosa
Dosa itu kuman disalut keindahan. Sesudah hati terbiasa dengan dosa maka
timbul rasa seronok melakukannya. Rasa ketagih, gian, kemaruk mengulangi
dosa. Dosa sudah bertukar dari racun menjadi nikmat. Dosa kini sudah
bertakhta didalam dada.

4) Menjadi pembela kepada Dosa
Inilah nafsu yang tak pernah puas, begitu juga syaitan yang berjuang
menghasut manusia tanpa kendur dan mundur. Dari rasa berdosa, kemudian biasa
dengan dosa, kemudian seronok berbuat dosa dan akhirnya menjadi pejuang dan
pembela dosa. Mereka sudah ditahap kritikal kerana mereka mempromosi,
menjadi duta kepada dosa. Jika ada ahli agama menegur, maka mereka sedia
bangun mempertahankan serta membela perlakuan dosa mereka.

" Hati semakin sakit, semakin keras, menjadi buta, menjadi barah membawa
virus munafiq, syirik dan kafir dan akhirnya hati mati "

" Oleh itu hendaklah kita berhati-hati menjaga hati "

Firman Allah : Al-Isra' ayat ; 72

ومن كان في هذه أعمى فهو فى الأخراة أعمى واضل سبيلا
" Dan sesiapa didunia ini buta hatinya, maka diakhirat nanti juga akan buta,
dan lebih sesat lagi jalannya "

By ustaz Amran

-- 
Tak guna ada mata kalau tak dapat melihat.Tak guna ada hati kalau tak tahu
menilai.......

Ya ALLAH!!
Manakala hati ini menjadi keras dan semua
jalanku terasa sempit, ku jadikan harapanku
kepada keampunanMu sebagai tangga
keselamatan.

Reply via email to