Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas
junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para
sahabatnya.

Di antara cuti umum yang ditetapkan oleh pihak kerajaan Malaysia ialah
pada 12hb. Rabiul Awwal kerana ia dianggap sebagai hari kelahiran Nabi
Muhammad SAW (Maulidur Rasul).

Pihak Darul Quraan Was Sunnah berasa bertanggungjawab untuk
membincangkan persoalan ini demi memperbetulkan tarikh lahir Baginda
SAW yang ditetapkan sebagai cuti umum itu kerana tidak ada ertinya kita
merayakan sesuatu hari jika ia tidak menepati hari yang dimaksudkan itu
dengan tepatnya. Apalagi kalau diterima juga tarikh wafat Nabi SAW
sebagaimana dipercayai umum pada 12hb. Rabiul Awwal.

Keadaan ini tentunya menimbulkan satu konflik di dalam jiwa masyarakat
yang mana di satu pihak mereka merayakan kelahiran Nabi SAW dan
bergembira kerananya sedangkan di pihak lain pula pada hari yang sama
sepatutnya mereka bersedih dan tidak boleh merayakan hari tersebut
kerana ia juga merupakan hari kewafatan Nabi SAW. Jadi di manakah
adanya kewajaran masyarakat merayakan Maulidur Rasul yang juga
merupakan hari
perkabungan-nya?

Di samping itu angka 12 yang dipilih untuk hari lahir dan hari wafat
Nabi SAW berkemungkinan besar berpunca daripada Syiah Imam Dua Belas.
Justeru angka 12 ini bagi mereka merupakan angka sakti yang mereka
kaitkan sekian banyak keistimewaan dengannya. Apalagi jika orang yang
mula-mula mempopularkan tarikh ini adalah Ibnu Ishaq yang juga seorang
Syiah. (Taqribut Tahdzib, Al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, jld. 2, hal.
144)

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi SAW dilahirkan pada 12hb. Rabiul
Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah
kerana ia berpunca daripada Ibnu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan
oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya.

Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai
seorang syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya.
Imam Nasa'i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan
hadisnya tidak boleh menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, "Dia
adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu'tazilah."

Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Sa’id Al-Qatthan
dan Imam Malik mengatakan dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik
pernah berkata, "Dia seorang dajjal". (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi,
jld. 3, hal. 468-475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad
tempat ambilannya.

Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada
hari Isnin, 9hb. Rabiul Awwal Tahun Gajah. Di antara ulama yang
berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu
Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abul Khattab
Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan
Badruddin 'Aini. (Al Bidayah wa An Nihayah, jld. 2, hal. 260-261).

Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang
ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh
gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi SAW
hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak
mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan
bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan Rabiul
Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan
untuk menyokong hasil kajiannya.

Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:

· Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah SAW iaitu Ibrahim
wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan
Nabi Muhammad SAW ketika itu berusia 63 tahun.

· Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari
yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari
632M pukul 8.30 pagi.

· Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke
belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi SAW jatuh pada
tahun 571M. Berdasarkan
kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabiul Awwal menepati 12hb.
April 571M.

· Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi SAW,
walau-bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada
hari Isnin bulan Rabiul Awwal.

Mereka hanya berselisih tentang tarikh di antara 8 hingga 12 haribulan
dalam bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari
Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ini
menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di
atas. Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini
ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam Nurul Yaqin (hal. 6),
Safiyyul Rahman Al Mubarakpuri di dalam Ar Rahiqul Makhtum (hal.
54), 'Allamah Sibli Nu'mani di dalam Siratun Nabi (jld. 1, hal. 176),
Maulana Abul Kalam Azad di dalam Rasul Rahmat (hal. 37) dan lain-lain.

Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad SAW pula, beberapa perkara
yang telah diterima oleh ulama hadis dan sirah perlu diletakkan
dihadapan untuk menentukan tarikhnya iaitu:
· Tahun kewafatan Baginda SAW ialah 11H.
· Dalam bulan Rabiul Awwal.
· Antara 1hb. hingga 12hb.
· Hari Isnin. (Sahih Muslim, jld. 8, hal. 51-52).
· Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada' pada 9 Zulhijjah tahun ke 10H
jatuh pada hari Jumaat. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld.
2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll).
· Daripada hari itu (wuquf) sampai kepada hari wafatnya Nabi Muhammad
SAW adalah 81 hari. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2,
hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j. 11 hal. 139, Tafsir
Baghawi, Fathul Bari).

Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para ulama
tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda SAW seperti
berikut:
1. Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai
30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi diandaikan mungkin
juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb. Rabiul Awwal.
2. Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar
mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari
Isnin menepati 2, 9 atau 16hb. Rabiul Awwal.

Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih
tepat bagi kewafatan Nabi SAW ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awwal
tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M

Berdasarkan fakta-fakta yang telah kami kemukakan, pihak kami berharap
agar ketetapan hari lahir Nabi Muhammad SAW yang ditentukan sebagai
hari cuti umum itu dikaji dan diubah kepada tarikhnya yang sebenar
kerana amatlah malang dan memalukan sekali kita orang-orang Islam jika
kita merayakan suatu hari yang kononnya hari kelahiran Nabi SAW padahal
ia bukanlah harinya yang sebenar.

(Dipetik dari Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was Sunnah
dengan sedikit pindaan)

*

--
Posted By Lenggang Kangkung to TAZKIRAH at 2/23/2010 08:26:00 AM

Kirim email ke