Utusan Online - 8 March 2010:
Rasulullah manusia istimewa
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
 
SELAKU umat Islam, kita meyakini dan mempercayai bahawa Nabi Muhammad SAW ialah 
manusia yang harus berlaku ke atas Nabi SAW apa yang harus ke atas manusia yang 
lain.
 
Ia seperti mengalami hal-hal yang mendatang dan ditimpa penyakit yang tidak 
mengurangi kewibawaan baginda SAW sebagai seorang nabi dan tidak menyebabkan 
orang menjauhkan diri daripadanya.
 
Nabi Muhammad SAW juga adalah seorang hamba Allah SWT yang tidak memiliki 
kekuasaan pada dirinya untuk menolak sebarang kemudaratan atau mendatangkan 
manfaat, memati atau menghidupkan atau membangkitkan, kecuali apa yang 
dikehendaki oleh Allah SWT.
 
Allah SWT berfirman: Katakanlah, "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi 
diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan 
kalau aku mengetahui (perkara-perkara) yang ghaib, tentulah aku akan 
mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan 
(tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh 
Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita 
gembira bagi orang-orang yang beriman. (al-A'raf: 188)
 
Sesungguhnya Nabi SAW telah menyampaikan risalah dengan sempurna, menunaikan 
amanah, menasihati ummah, menghapuskan dukacita dan berjihad di jalan Allah 
sehingga kewafatan baginda SAW. Kemudian baginda kembali ke hadrat Tuhannya 
dalam keadaan reda dan diredai, sebagaimana firman Allah SWT:
 
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad!) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga 
akan mati. (al Zumar: 30)
Sifat 'ubudiyyah (perhambaan) adalah semulia-mulia sifat baginda SAW. Oleh 
kerana itu, baginda amat berbangga dengannya sebagaimana sabdanya: 
"Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah".
 
Allah SWT telah menyifatkan nabi SAW sebagai hamba-Nya, pada setinggi-tinggi 
kedudukan ketika Allah menceritakan anugerah Isra' kepada baginda sebagaimana 
firman-Nya: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya…(al-Isra: 1)
 
Begitu juga firman Allah: Dan sesungguhnya tatkala hamba Allah (Nabi Muhammad 
SAW) berdiri mengerjakan ibadat kepada-Nya, mereka (golongan jin yang mendengar 
bacaan ayat al-Quran baginda di dalam solatnya) hampir-hampir menindih satu 
sama lain mengerumuninya. (al Jin: 19)
 
Sifat manusiawi Nabi SAW inilah merupakan mukjizat baginya. Baginda SAW adalah 
manusia seperti manusia yang lain, tetapi baginda jelas jauh berbeza daripada 
manusia umum; tanpa ada seorang manusia pun yang dapat menandinginya atau 
menyamainya.
 
Baginda SAW sendiri pernah bersabda di dalam hadis sahih mengenai keistimewaan 
dirinya: "Sesungguhnya aku tidak seperti keadaan kamu. Aku tidur di sisi 
Tuhanku dalam keadaan diberi makan dan minum".
 
Dengan ini, jelaslah bahawa menyifatkan Rasulullah SAW sebagai manusia biasa 
wajib disertai dengan keistimewaannya yang membezakannya daripada manusia umum; 
dengan menyebut keistimewaannya yang tersendiri dan biografinya yang terpuji.
 
Tuntutan ini bukan sahaja khusus terhadap Rasulullah SAW, bahkan terhadap 
nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain supaya pandangan kita terhadap mereka 
bersesuaian dan layak dengan martabat dan kedudukan mereka.
Jika kita memandang mereka hanya sebagai manusia biasa semata-mata, tanpa 
mengaitkannya dengan ciri-ciri khusus atau istimewa mereka sebagai nabi dan 
rasul, maka kita telah terjerumus ke dalam tradisi dan sikap orang jahiliah.
 
Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh hal tersebut. Antaranya, 
perkataan kaum Nabi Nuh a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan 
oleh Allah dalam firman-Nya: Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir daripada 
kaumnya, "Kami tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia 
seperti kami". (Hud: 27)
 
Ayat yang lain adalah perkataan kaum Nabi Musa a.s dan Harun a.s mengenai nabi 
mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: Sehingga 
mereka berkata (dengan angkuhnya), "Patutkah kita beriman kepada dua manusia 
seperti kita, sedangkan kaum mereka (Bani Israel) menjadi orang-orang suruhan 
kita?" (al-Mukminun: 47)
 
Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh kaum Thamud kepada nabi mereka, 
iaitu Nabi Saleh a.s, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah dalam al-Quran: 
Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda 
(mukjizat) jika betul engkau daripada orang-orang yang benar. (al-Syu'ara': 154)
 
Hal yang sama pernah juga dilakukan oleh kaum Nabi Syuaib a.s yang memandang 
nabi mereka sebagai manusia biasa, bahkan sebagai seorang pendusta, sebagaimana 
yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya: Mereka berkata, "Sesungguhnya 
engkau adalah dari kalangan pelaku sihir. Dan engkau hanyalah seorang manusia 
seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini daripada orang-orang yang 
dusta. (al- Syu'ara': 185)
 
Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh orang musyrikin terhadap Nabi 
Muhammad SAW. Mereka hanya memandang nabi SAW sebagai manusia biasa, 
sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: Dan mereka pula 
berkata, "Mengapa Rasul ini makan, minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti 
manusia yang lain)?" (al-Furqan:7)
 
Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan dalam sabdanya tentang kemuliaan yang 
dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya dengan semulia-mulia sifat dan pelbagai 
perkara yang mencarik adat (mukjizat) yang membezakannya daripada manusia yang 
lain.
 
Di antaranya ialah sabda Rasulullah SAW mengenai peribadinya di dalam hadis 
sahih: "Kedua-dua mataku tidur, tetapi hatiku tidak tidur".
 
Di dalam hadis sahih yang lain, nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya aku dapat 
melihat kamu dari belakangku sebagaimana aku melihatmu dari depanku".
 
Baginda SAW juga bersabda: "Aku dianugerahkan kunci-kunci perbendaharaan bumi."
 
Meskipun pada fizikalnya, baginda SAW telah wafat, tetapi baginda masih hidup 
dengan kehidupan Barzakhiyyah (di alam barzakh) secara sempurna. Baginda SAW 
dapat mendengar perkataan orang yang masih hidup di dunia dan mendengar salam 
mereka serta menjawabnya.
 
Bahkan, disampaikan kepada baginda SAW setiap selawat yang diucapkan kepada 
Baginda SAW dan juga diperlihatkan kepadanya segala amal perbuatan umatnya.
 
Keampunan
 
Baginda SAW berasa senang dan gembira dengan amal soleh orang-orang yang baik, 
dan sentiasa meminta keampunan bagi umatnya yang melakukan dosa. Sesungguhnya, 
Allah SWT telah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad nabi SAW yang 
sentiasa terpelihara daripada sebarang kerosakan dan pemusnah yang terdapat di 
dalam bumi.
 
Diriwayatkan daripada Aus ibn Aus r.a, beliau berkata: Sabda Rasulullah SAW: 
"Sesungguhnya, di antara hari kamu yang paling mulia ialah hari Jumaat. Pada 
hari itulah, Nabi Adam a.s diciptakan dan pada hari itu juga beliau diwafatkan. 
Pada hari Jumaat juga, terjadinya tiupan sangkakala, dan pada hari itu juga 
terjadinya so'iqah (petir dahsyat atau Kiamat). Maka perbanyakkanlah membaca 
selawat kepadaku pada hari itu kerana selawat kalian akan dipersembahkan 
kepadaku". Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah selawat kami 
akan dipersembahkan kepadamu, padahal kamu telah binasa?" Baginda SAW bersabda, 
"Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi ini daripada memamah jasad para 
Nabi". (riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban di dalam Sohihnya 
dan Imam Hakim mensahihkannya.)
 
Al Hafiz Imam Jalaluddin al Suyuti r.a menulis risalah khusus mengenai perkara 
ini yang bertajuk Anba' al Azkiya' bi Hayah al Anbiya' (Perkhabaran Orang 
Cerdik Pandai Mengenai Kehidupan Para Nabi).
 
Diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud r.a, daripada Rasulullah SAW yang bersabda: 
"Kehidupanku adalah baik bagi kamu, kamu berbicara (bertanya masalah dan hukum 
kepada Baginda SAW) dan dibicarakan bagi kamu (dengan wahyu dan syariah 
daripada Allah melalui perantaraan Baginda SAW). Kewafatanku juga adalah baik 
bagi kamu kerana dibentangkan amalan kamu ke atasku. Apa yang aku lihat dari 
amalan itu baik, maka aku memuji Allah dan apa yang aku lihat dari amalan itu 
jahat, aku memohon keampunan kepada Allah untuk kamu". (Al Haithami mengatakan 
bahawa hadis ini diriwayatkan oleh al Bazzar, dan rijalnya adalah sahih)
 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tiada 
seorang pun yang mengucapkan salam ke atasku kecuali Allah mengembalikan 
kepadaku rohku, sehingga aku (dapat) menjawab salamnya". (riwayat Abu Daud dan 
Imam Ahmad)
 
Menurut sebahagian ulama, maksud Allah mengembalikan rohku adalah: "Allah 
mengembalikan kepadaku kemampuan berbicara".
 
Diriwayatkan pula daripada 'Ammar ibn Yasir r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW 
bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT mewakilkan pada kuburku malaikat yang 
diberikan nama-nama makhluk kepadanya. Maka tidak ada seorang pun yang membaca 
selawat ke atasku hingga hari kiamat, melainkan dia menyampaikan kepadaku nama 
orang tersebut beserta nama ayahnya, "Ini Fulan ibn Fulan telah berselawat ke 
atasmu". (riwayat al Bazzar dan Abu al Sheikh Ibnu Hibban).
 
Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa meskipun baginda telah wafat, 
tetapi kemuliaan, kedudukan dan pangkatnya yang tinggi di sisi Tuhannya tetap 
kekal dan tidak diragui lagi di sisi orang yang beriman.
 
Menganggap Nabi SAW sama sahaja dengan manusia yang lain pada semua keadaan dan 
sifat-sifat mereka adalah suatu tanggapan yang jelas salah dan kejahilan yang 
ditolak sama sekali oleh dalil-dalil yang sahih dari al-Quran dan sunnah.
 
Jika Nabi SAW tidak mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus, apakah hikmah dan 
faedah terpilihnya mereka menjadi nabi dari manusia yang lain? Tidak ada 
salahnya kita memuliakan dan memuji baginda SAW. Malah sememangnya kita 
digalakkan memuji dan memuliakan nabi SAW lebih-lebih lagi pada bulan kelahiran 
baginda SAW ini selagi ia tidak sampai menyamatarafkan baginda SAW dengan 
sifat-sifat ketuhanan.
 
Wassalam.
 
AFFINBANK  -  "BANKING WITHOUT BARRIERS"
 
Noorshamsudin Hj. Mohd Darus
IS Audit, Group Internal Audit
1st Floor Menara AFFINBANK
80 Jalan Raja Chulan, KL
 
Tel:  03-27315246 (Ofis) / 012-2923403 (H/P) / 03-61040412 (Home)


      

Kirim email ke