Menurut kebanyakan pendapat, penyampaian ucapan atau ceramah yang baik 
bergantung pada tiga perkara utama:

Siapakah yang menyampaikan? 
Bagaimanakah maklumat tersebut disampaikan? 
Apakah yang disampaikan? 

Jika diteliti, faktor orang yang menyampaikan diletakkan paling atas sekali 
dalam senarai. Mengapa? Lazimnya, apabila dimaklumkan bahawa akan ada satu 
ceramah di tempat anda, apakah perkara pertama yang akan anda tanya? Soalannya 
pasti "Siapa penceramahnya?" Identiti penceramah sangat penting kerana identiti 
merupakan daya penarik bagi penganjur untuk menarik lebih banyak penonton. 

Walaupun terdapat hanya seorang penceramah yang terkenal dan penceramah lain 
ialah penceramah biasa yang belum dikenali, daya tarikan dan reputasi 
penceramah utama tadi mampu untuk menarik kehadiran penonton.

Situasi yang sama juga berlaku dalam penganjuran sesuatu konsert. Apabila tiket 
konsert mula dijual, penganjur akan meletakkan nama penyanyi yang paling 
terkenal di atas untuk menarik perhatian peminat. Penganjur juga akan membuat 
berbagai-bagai helah untuk memastikan penonton tidak meninggalkan konsert lebih 
awal dengan meletakkan penyanyi pujaan mereka di akhir konsert. 

Sebagai bukti penyanyi tersebut hadir, mereka mungkin akan menampilkannya pada 
permulaan rancangan dengan janji bahawa beliau akan muncul semula. Dengan ini, 
peminatnya tidak mungkin akan berganjak. 

Begitulah pentingnya daya tarikan yang ada pada seseorang penyampai yang baik. 
Semua ini merupakan reputasi yang dibina sejak awal pembabitan dalam bidang ini 
dan digilap oleh pengalaman. 

Faktor kedua pula ialah cara maklumat disampaikan. Dua orang yang berlainan 
boleh menyampaikan ceramah dengan menggunakan teks ucapan yang sama tetapi 
kesannya kepada penonton sudah pasti berbeza. 

Bagi topik dan ayat yang sama, sebenarnya boleh disampaikan dengan pelbagai 
lenggok bahasa, penekanan suara pada perkataan tertentu dan gerak-geri badan 
yang mengiringi penyampaian tersebut. Situasi ini banyak berlaku kepada pemandu 
pelancong kerana bagi setiap destinasi, mereka mempunyai skrip untuk bercerita 
tentang latar belakang tempat yang dilawati kepada pelancong. Bagaimanakah 
maklumat tersebut disampaikan? Penuh semangat, sambalewa ataupun bersahaja? 

Cara penyampaian sangat penting kerana hal ini boleh menimbulkan mood yang 
berbeza kepada pelancong. Lawatan ke Tugu Negara misalnya boleh menjadi satu 
pengalaman yang biasa ataupun boleh menjadi sesuatu yang menarik dan menyentuh 
perasaan. 

Pada satu lawatan ke Tugu Negara, terdapat dua kumpulan daripada dua agensi 
pelancongan yang berbeza. Bagi kumpulan pertama, pemandu pelancong tersebut 
memberikan penerangan kepada pelancong mengenai Tugu Negara, tahun Tugu Negara 
dibina, simboliknya dan sejarah yang membawa kepada pembinaannya. 

Cara penyampaian adalah sangat bersahaja sehinggakan memberikan impresi bahawa 
Tugu Negara hanyalah salah satu daripada banyak tugu lain di Malaysia yang 
tidak ada keistimewaannya. Tidak ada seorang pun pelancong yang berminat untuk 
mengetahui perihal tugu tersebut dengan lebih lanjut lagi. 

Berlainan pula dengan kumpulan yang kedua. Pemandu pelancong memulakan 
pengenalan kepada Tugu Negara sebagai sebuah tugu peringatan yang banyak 
memberi erti kepada negara. Cara penyampaian yang agak melankolik sungguh 
menyentuh hati dan pelancong yang datang turut menghargai pengorbanan 
askar-askar Melayu yang berjuang habis-habisan pada zaman sebelum kemerdekaan. 
Mereka turut tersentuh oleh semangat cinta akan negara yang ditunjukkan oleh 
askar-askar yang terkorban dalam memelihara kedaulatan negara. 

Contoh di atas merupakan contoh terbaik untuk membezakan dua penyampaian yang 
berbeza dengan menggunakan maklumat yang sama. Setiap fakta yang diberikan oleh 
pemandu pelancong bagi kumpulan kedua telah disebut oleh pemandu pelancong bagi 
kumpulan pertama. Yang membezakan hanyalah cara penyampaian, gaya suara dan 
elemen emosi yang ditunjukkan. 

Kebanyakan orang mungkin menyangka kandungan teks ucapan ialah faktor 
terpenting dalam memastikan sesuatu penyampaian berjaya. Tidak dinafikan 
kepentingannya tetapi seperti yang telah dijelaskan, dua individu mungkin 
menyampaikan teks yang sama tetapi cara penyampaian yang berbeza telah 
meletakkan satu ucapan itu pada tahap yang lebih baik daripada yang satu lagi. 

Penyampaian yang baik akan berjaya menarik minat penonton untuk terus mendengar 
tanpa jemu dan hal ini membantu ke arah memastikan mesej yang ingin disampaikan 
sampai kepada penonton. 

Namun, apakah yang dimaksudkan dengan 'penyampaian' atau 'delivery'? Adakah 
penyampaian satu perpindahan dari satu tangan ke tangan yang lain? Apabila anda 
membeli sebuah kereta, penjual kereta akan datang kepada anda dan memberikan 
kunci kereta berserta dokumen penjualan. Anda menerima semua perkara tersebut 
dan proses jual beli berakhir di situ. Adakah semudah itu dengan penyampaian 
sesuatu maklumat? 

Sarina merupakan seorang novelis yang terkenal dan pada satu majlis, Sarina 
telah diminta untuk menyampaikan satu ucapan pendek tentang masalah penjualan 
novel di negara ini. Sebagai seorang novelis yang telah banyak menghasilkan 
novel yang bermutu tinggi dan mendapat sambutan yang sangat baik, Sarina tidak 
pernah merasakan keperitan untuk memastikan semua novelnya terjual. Dia tidak 
pernah terfikir langsung tentang masalah tersebut yang bagi pendapatnya, 
langsung tidak wujud. 

Oleh sebab tidak terdapat sebarang kaitan antara perkara yang disampaikan 
dengan elemen emosi semasa Sarina menyampaikan masalah-masalah yang mungkin 
wujud, Sarina gagal untuk mengaitkan dirinya dengan topik tersebut. Akibatnya, 
penonton tidak dapat memahami mesej yang ingin disampaikan oleh Sarina kerana 
dia tidak mempunyai 'nyawa'. Ucapannya bukan hasil nukilan dari hatinya. Apa 
yang disampaikan hanyalah berdasarkan cerita-cerita yang didengarinya daripada 
media massa dan juga teman-teman seperjuangan yang tidak bernasib baik, tidak 
seperti dirinya. 

Yang dilakukan oleh Sarina bukanlah satu penyampaian. Hal ini kerana penonton 
tidak merasakan sesuatu mesej telah disampaikan kepada mereka dari hati dan 
dari minda penceramah ke hati dan ke minda mereka.

Oleh itu, penting bagi setiap penceramah untuk mengetahui cara untuk menarik 
perhatian penonton, tidak bercakap sambalewa dan lebih sistematik dalam 
penyampaian. 


1. Mulakan dengan sesuatu yang menarik perhatian penonton

Walaupun anda kurang bersedia dari segi penyediaan teks, anda masih boleh 
menyampaikan sesuatu mesej dengan baik sekiranya berpengetahuan dalam topik 
tersebut. Namun, pada permulaan ucapan, pengenalan yang diberikan haruslah 
cukup menarik untuk melakar imej yang positif terhadap diri anda. 

Sebagai contoh, walaupun Sarina tidak bersedia kerana dia tidak mempunyai 
pengalaman seperti yang tertulis dalam topik di atas, dia masih berupaya untuk 
'bercerita' pengalaman yang pernah dialami oleh kawan-kawannya. 

Sarina boleh memulakan ucapannya dengan kenyataan yang menarik perhatian, 
seperti, "Dua minggu lepas, saya didatangi oleh rakan baik saya, yang juga 
merupakan novelis. Beliau banyak menulis cerita tentang percintaan kaum remaja. 
Dia datang dengan muka yang muram." atau Sarina boleh memulakan dengan satu 
soalan, "Berapa orang di sini yang membaca surat khabar hari ini?".atau "Berapa 
ramaikah di sini yang suka membaca novel?"

Walau apa-apa jua teknik yang digunakan, pastikan teknik tersebut mampu menarik 
perhatian penonton supaya terus mendengar. 


2. Pastikan penyampaian anda penuh bertenaga

Seperti yang telah disarankan sebelum ini, variasi suara amat penting. Pastikan 
kelajuan suara anda perlahan apabila memperkatakan sesuatu yang agak dramatik 
dan pastikan anda membayangkan keceriaan apabila menceritakan perkara yang 
menggembirakan. Jangan lupa untuk berhenti apabila perlu. Bercakap tanpa henti 
seperti kereta api ekspres tidak akan membantu anda menyampaikan mesej. 

Jangan hanya berdiri kaku di belakang rostrum tetapi berjalan ke hadapan 
apabila anda ingin menarik perhatian penonton dan berikan deskripsi dengan 
pergerakan tangan dan mimik muka anda. Pastikan setiap pergerakan mempunyai 
matlamat. Jangan mundar-mandir tanpa hala tuju kerana lambat laun penonton akan 
bosan. Sarina mungkin telah melakukan kesilapan kerana dia tidak bergerak dan 
tidak mencuba untuk memenangi hati penonton. Dia tenggelam dalam masalahnya 
sendiri yang merupakan konflik dalaman dirinya. 

Sebelum membuat ucapan, pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya beberapa 
jam sebelum masa yang dijadualkan. Mental dan fizikal yang cukup rehat sangat 
penting untuk mengelakkan rasa gugup. Anda juga harus memberikan perhatian pada 
perut anda. Kebanyakan penceramah hanya mengambil makanan yang ringan sahaja 
sebelum berucap. Jangan sekali-kali makan berlebihan kerana apabila perut 
terlalu kenyang, anda pula terpaksa berdiri untuk menyampaikan ucapan, 
peraliran darah akan tertumpu ke bahagian perut. Akibatnya, peraliran darah ke 
otak akan berkurangan dan hal ini menyebabkan anda lesu dan tidak boleh 
berfikir dengan baik. 

Oleh itu, elakkan makan dengan banyak. Selepas menyampaikan ucapan, anda boleh 
sambung kembali makan makanan yang dihidangkan.


3. Pastikan ucapan anda sistematik

Anda tidak perlu memerah otak untuk mencari idea yang banyak untuk membuat 
sesuatu pembentangan. Memadai dengan dua atau tiga idea yang baik. Susun idea 
berikut mengikut kepentingan dan sediakan fakta sokongan seperti contoh, 
definasi, testimonial atau statistik. 

Alat bantuan visual juga boleh disertakan sebagai daya tarikan yang sesuai. 
Bagi Sarina, dia hanya perlu menyampaikan tiga perkara iaitu:

1. Status penjualan novel setakat ini - penjelasannya boleh disokong dengan 
statistik penjualan novel yang boleh didapati daripada penerbit.

2. Masalah yang dihadapi oleh novelis - novel tidak laku disebabkan oleh 
faktor-faktor tidak ada kualiti, strategi pemasaran yang lemah, kurang promosi 
dan sebagainya. Untuk tambahan, Sarina boleh berkongsi cara penerbit buku 
membuat promosi dan pemasaran. 

3. Cara untuk mengatasi masalah ini - salah satu cadangan yang boleh Sarina 
utarakan adalah denganmenyarankan agar pihak kerajaan mengawal lambakan novel 
yang tidak berkualiti, tingkatkan kreativiti penulis agar mampu mengeluarkan 
novel mengikut kehendak orang ramai, penyelidikan tentang cita rasa pembeli dan 
sebagainya. 

Walaupun Sarina tidak pernah mengalaminya, dia sepatutnya arif tentang keadaan 
pasaran semasa yang agak lembap dan mengaitkan pengetahuan dan pengalamannya. 


4. Sertakan perkataan yang menunjukkan turutan

Perkataan-perkataan seperti "Pertama," "Kedua," atau "Akhir sekali," boleh 
menjadi petunjuk yang sistematik kepada penonton mengenai struktur ucapan anda. 
Hal ini boleh membantu mereka untuk mengikuti perjalanan ucapan anda. 

Perkataan-perkataan ini juga boleh membezakan pengenalan, isi dan penutup 
ucapan anda secara keseluruhannya. Dengan ini, ucapan anda akan lebih 
sistematik dan penonton dapat memahami objektif ucapan yang disampaikan dengan 
mudah. 


5. Ceritakan pengalaman anda

Teknik ini berkesan apabila anda membuat pembentangan terutama sekali dalam 
bidang teknikal. Lazimnya, bidang teknikal tidak begitu mudah untuk difahami, 
kecuali semua hadirin yang ada merupakan orang yang bekerja atau belajar dalam 
bidang ini. Untuk memudahkan pemahaman, anda boleh menceritakan pengalaman anda 
sendiri dengan bahasa yang mudah. 

Berdasarkan pengalaman yang dilalui, anda mampu mengaitkan pendengar secara 
emosi dengan fakta yang anda ceritakan. Hanya pengalaman peribadi dapat 
mencapai impak sedemikian. Apabila anda bercerita, ikutlah kronologi kejadian 
dengan memasukkan maklumat seperti orang yang terlibat, perkara yang terjadi, 
masa, sebab dan tempat. Jika anda menggunakan panduan ini, cerita anda tidak 
akan kekurangan fakta yang diperlukan untuk pemahaman. 

Sebagai menambah keunikan pembentangan anda, anda boleh menggunakan alat 
bantuan visual seperti tayangan video pendek, carta flip dan sebagainya. 
Sebelum itu, pastikan anda menonton dahulu visual tersebut dengan duduk di 
tempat penonton dan di belakang sekali. Pastikan penonton yang duduk di 
belakang sekali dapat melihat visual tersebut. 

Buat pengenalan kepada visual berkenaan dan jelaskan sebab visual itu dipilih. 
Jangan biarkan visual tersebut menjadi demontrasi bisu. Anda harus memberikan 
petunjuk pada setiap peringkat. Jangan berhenti bercakap langsung. Anda harus 
memandang ke arah hadirin, bukan visual tersebut. Apabila visual tersebut sudah 
tidak digunakan, tutup atau sembunyikan daripada pandangan penonton kerana 
visual tersebut boleh mengganggu konsentrasi mereka terhadap anda. 

Seandainya anda menyampaikan ucapan untuk memujuk penonton supaya membuat 
sesuatu, sebagai tambahan kepada pengalaman yang anda alami sendiri, masukkan 
juga testimonial daripada pakar yang dihormati dan dikenali oleh semua hadirin 
untuk membuktikan yang anda serius. 

Anda juga boleh memasukkan data statistik yang sahih. Sebagai contoh, sekiranya 
anda ingin membuktikan bahawa pendengaran penting untuk meningkat kualiti 
servis kepada pelanggan, anda boleh membentangkan statistik yang menyatakan 
kecekapan pendengaran manusia hanyalah sebanyak 25% sahaja walaupun kita 
menghabiskan lebih dari separuh masa kita berkomunikasi dengan mendengar. 


Maklumat lanjut berkenaan buku CARA MUDAH BERUCAP DI KHALAYAK ini boleh 
didapati di www.books.perintis.com.my. Harga senaskhah ialah RM16. Sila hubungi 
Cik Nor di talian 03-9019 5303 untuk keterangan lanjut.

Reply via email to