PETiKAN : http://laman-seri.blogspot.com
 Berlumba-lumba mengerjakan
kebaikan<http://laman-seri.blogspot.com/2010/03/berlumba-lumba-mengerjakan-kebaikan.html>

<http://4.bp.blogspot.com/_oV1RUxbNq84/S5Yb8m2h9qI/AAAAAAAADoc/8ydVkepL0xc/s1600-h/globe3.jpg>
Assalamualaikum warahmatullah,

Semangat untuk berlumba-lumba mengerjakan kebaikan adalah di antara perkara
yang perlu dicambahkan di dalam jiwa setiap muslim yang beriman kepada Allah
SWT kerana dengan cara demikian sahaja manusia boleh mendekatkan diri kepada
Allah tuhan rabbul jalil. Selain daripada itu semangat berlumba-lumba juga
merupakan suatu tujuan yang paling mulia dan paling utama. Di samping itu
juga kita bertanggungjawab pula agar berusaha untuk menghilangkan atau
mengurangkan amalan-amalan hina yang membawa kepada dosa dan murka Allah
SWT.

Demikianlah dua tujuan besar bagi setiap individu yang beragama Islam iaitu
berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dan berusaha untuk membuang dan mengikis
segala maksiat kepada Allah SWT. Segala perintah Allah adalah kebaikan dan
setiap larangan-Nya adalah maksiat yang perlu dihindari oleh semua manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya
(sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam
berbuat) kebaikan, di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan
kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas
tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Perintah Allah SWT ini adalah berbentuk umum, semua yang beriman kepada-Nya
tidak kira di mana ia berada dan apakah bidang yang diceburi, maka hendaklah
ia berlumba-lumba mengerjakan kebaikan mengikut keadaan masing-masing. Seorang
pedagang hendaklah berbuat baik semasa menjalankan dagangannya. Begitu juga
dengan petani yang sepatutnya berlumba-lumba melakukan kebajikan melalui
hasil pertaniannya. Islam memerintah agar berbuat baik mengikut bakat dan
bidang masing-masing.

Islam menganjurkan kepada ummatnya agar meletakkan sikap berlumba-lumba di
dalam kebajikan sebagai kiblat atau tujuan utama kerana dengan sikap
demikian segala kejahatan akan terhindar dengan sendirinya. Di situ akan
lahir berbagai-bagai kebaikan yang akan membina keselamatan dan
kesejahteraan menuju ke arah perpaduan ummat yang sejati yang akhirnya akan
membentuk sebuah tamadun manusia yang maju dan berjaya, sesuai dengan firman
Allah SWT yang bermaksud, "Dan berbuat baiklah kamu mudah-mudahan kamu akan
memperoleh kejayaan." (Surah al-Hajj ayat 77)

Di dalam ayat-ayat yang lain juga diterangkan bahawa Allah SWT menggalakkan
manusia melakukan perkara-perkara yang baik seperti yang terkandung di dalam
surah Al Anbia' ayat 73 yang bermaksud, "Dan kami wahyukan kepada mereka
supaya mengerjakan kebaikan-kebaikan, mendirikan solat, menunaikan zakat dan
benar-benar beribadat kepada kami."

Begitu juga dengan apa yang terdapat di dalam ayat yang ke 90 dari surah
yang sama, mafhumnya, "Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu
berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan dan selalu berdoa kepada kamu
dalam keadaan suka mahupun duka. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk
kepada kami."

Perbuatan baik yang diperintah ini mencakupi semua aspek kebaikan seperti taat
kepada Allah, ikhlas beramal semata-mata kepada-Nya, bermuamalah dengan baik
sesama manusia bahkan apa saja yang dianggap baik oleh manusia dan tidak
bertentangan dengan prinsip-prinsip agama dan akal yang sihat.

Ganjaran istimewa dari amal kebaikan

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Tidak ada satu hari yang terbit
mataharinya melainkan ada di kiri kanan matahari itu: dua Malaikat yang
menyerukan seruan yang didengari oleh semua makhluk Allah selain dari
manusia dan jin, katanya: "Wahai sekalian manusia! Marilah kamu semua
berusaha mengerjakan amal bakti kepada Tuhan kamu, kerana sesungguhnya
pendapatan-pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia
adalah lebih baik daripada pendapatan-pendapatan yang banyak serta
melalaikan bekalan akhirat; dan tidak masuk matahari melainkan ada di kiri
kanannya dua Malaikat yang menyerukannya seruan yang didengarinya oleh semua
makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: "Ya Tuhan kami!
Berikanlah ganti yang berganda-ganda kepada orang yang mencurahkan
nikmat-nikmat yang dikurniakan kepadanya pada jalan yang diredhai Allah, dan
timpakanlah kerugian yang besar ke atas orang yang menahan nikmat-nikmat
Allah itu daripada mengeluarkannya pada jalan yang dituntut oleh
Allah."(Abu ad-Dardaa' r.a.)

Dalam menghadapi kehidupan dunia manusia mestilah berwaspada, *jangan mudah
terpedaya dengan perkara yang melalaikan diri daripada berusaha mengerjakan
amal kebaikan* lebih-lebih lagi perkara yang berhubung dengan harta benda
dan cara membelanjakannya. Dalam hadis ini Rasulullah SAW menyatakan bahawa
pada tiap-tiap hari terdapat dua malaikat yang menyeru manusia supaya:

   - Mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang untuk
   mencapai keredhaan Allah.
   - Mengambil ingatan bahawa pendapatan seharian yang diperoleh meskipun
   sedikit tapi mencukupi keperluan hidup di dunia yang meliputi harta benda
   dan nikmat-nikmat yang lain sebenarnya adalah lebih baik daripada pendapatan
   yang banyak tetapi melalaikan manusia itu daripada mengerjakan amal ibadat
   dan kebajikan sebagai bekal untuk mencapai kebahagiaan yang kekal di akhirat
   kelak.

Sesungguhnya manusia yang membelanjakan harta benda, ilmu pengetahuan dan
tenaganya di jalan Allah akan sentiasa didoakan oleh malaikat semoga Allah
memberikan balasan yang berganda-ganda untuk dirinya, sebaliknya bagi yang
bakhil, didoakan agar ditimpa kerugian yang besar.

Renung-renungkan dan selamat beramal!


--
~ 睡眠不足のママ ~
http://laman-seri.blogspot.com
http://little-kiosk.blogspot.com
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing
himself. – Leo Tolstoy

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan
dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya
untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak
dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka
mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat
Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.
Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih
tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga
kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya
seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul
mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah
segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat
Muslim)
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Reply via email to