Al-FATIHAH MENYUSUN STRUKTUR PERASAAN DAN FIKIRAN INSAN

Pujian yang seluas-luasnya hanya layak dipanjatkan kepada Allah SWT yang
telah menetapkan segala musabab sehingga sebab-sebab agar tercapainya sebuah
keinginan menjadi kenyataan. Allah SWT sahajahlah yang layak mendapat pujian
atas apa yang telah terlaksana. Sungguh diri mengakui kelemahan yang
hakikatnya tidak mampu mencapai apa-apa melainkan dengan persetujuan dan
ketentuan Allah yang Maha segala Maha.


Selawat dan salam tidak terlupakan untuk nabi Muhammad SAW yang sangat mulia
dengan akhlaknya. Kegigihannya menjalani kehidupan manusiawi sambil
mengemban amanat suci menjadi ingatan kita sepanjang hayat. Sabarnya baginda
sehingga rela menderita asalkan risalah ini sampai ke pangkuan kita. Allah
SWT dan para malaikat bersalawat ke atasmu ya Rasulallah..


Alhamdulillah, tiada kata yang mampu terucap melainkan ungkapan rasa syukur.
Siapa yang menyangka pada akhirnya sebuah buku berjaya disiapkan. Kami
sangat menyedari kelemahan diri, kekurangan ilmu dan ketumpulan analisa,
namun kami masih memaksakan diri untuk berani menulis. Semoga Allah
menghadiahkan kami 'tawfiq  dalam amal, setelah usaha memahami dan
memahamkan dilaksanakan. Semoga Allah menjadikan kami seorang yang semakin
tersuluh sinar hidayah dengan ilmu dan bukan yang semakin jauh dari Allah
karena ilmu. *Manizdada 'ilman lam yazdad hudan lam yazdad minallahi illa
bu'dan! Wal 'iyazubillah!*


Surah Al-Fatihah bukanlah sebuah surah yang asing bagi kita umat Islam.
Lafaznya lancar mengalir dari lidah kita. Keseringan kita melantunkan
ayat-ayat surah ini sehingga 17 kali sehari seharusnya menghantarkan kita
kepada sebuah keadaan yang menginsafkan kita dan menjadikan kita terkesima
akan keagungan makna yang terkandung disebalik ayat-ayatnya yang tersurat.
Namun adakah lantunan yang mengalir dari lidah kita itu menyapa minda untuk
merenung dan menyirami hati agar segar bertenaga!?



Pernah suatu ketika Ustaz Amru Khaled, seorang dai terkemuka di Timur Tengah
melaksanakan solat berjemaah di masjid. Seorang pemuda disebelahnya menangis
ketika sedang solat. Penuh kekhusyukan. Usai solat beliau bertanya,
"Sahabat, apa yang menyebabkan anda menangis ketika solat tadi?" Pemuda itu
menjelaskan dengan semangat, "Saya ingin menikmati khusyuk di dalam solat,
maka saya hadirkan ke dalam minda peristiwa yang mampu membuatkan saya
menangis seperti peristiwa kelakuan dosa yang pernah saya lakukan, dengan
harapan Allah SWT memperhatikan kesungguhan ibadah saya.." Beliau diam
seketika sebelum menjawap. "Sahabat, bukan begitu caranya kita menimbulkan
perasaan khusyuk di dalam solat. Allah SWT sengaja mensyariatkan agar imam
memperdengarkan bacaannya ketika solat. Pensyariatan itu pasti mempunyai
sebab dan tujuan yang tertentu." Al-Quran adalah kalamullah sedangkan solat
adalah sebuah bentuk interaksi yang formal bersifat ritual antara Allah dan
manusia. Maka, ketika disyariatkan kita membaca kalamullah dalam solat, ia
seakan-akan menyuruh kita untuk mendengar dan menyimak apa yang Allah
perkatakan kepada kita dalam interaksi formal kita dengan Allah. Bagaimana
mungkin ketika imam membacakan ayat mengenai pembahagian harta warisan lalu
kita sebagai makmum membayangkan tentang dosa dan menangis! Adakah itu yang
dinamakan khusyuk!?


Mungkin beliau mengatakan hal sebegini kepada pemuda itu atas dasar mereka
memang berbangsa arab. Tidak pelik jika ada ulamak yang sangat menekankan
pemahaman bahasa Arab bagi masyarakat muslim bahkan ada diantara mereka yang
mewajibkan. Perbincangan mengenai hal di atas sangat relevan. Bagaimana
mungkin  ayat-ayat Allah akan memberikan kesan kepada manusia jika ia dibaca
tanpa pemahaman?


Sudut pandang inilah yang pada mulanya memberikan inspirasi untuk menyumbang
sesuatu kepada diri sendiri. Maka usaha meningkatkan pemahaman mengenai
Al-Fatihah dilakukan. Demi mencapai tujuan ini, kami dengan sukarelanya
telah menawarkan kepada sahabat-sahabat untuk mengkongsikan hasil usaha ini
bersama mereka. Maka, terbentuklah sebuah halaqah kecil membahaskan
ayat-ayat Al-Fatihah di sebuah markaz milik Akademi Al-Quran Medik Malaysia
yang berada di sebuah sudut kota kaherah. Ayat demi ayat diperbincangkan.


Suatu yang agung yang tidak dimiliki surah-surah lain adalah kelengkapan
makna yang terkandung di dalam surah ini. Maha suci Allah yang telah
meletakan surah ini di urutan pertama Al-Quran. Maka tepatlah ia dengan
namanya iaitu Fatihah atau pembuka. Ia seakan-akan menjadi pintu kepada
segala topik yang diperbincangkan Al-Quran. Tidak hairanlah jika ia turut
digelar ummul furqan atau ummul kitab kerana ia umpama jantung yang
memainkan peranan yang cukup besar dalam keseluruhan (holistik) sebuah
Al-Quran. Hal ini jelas terasa ketika diperintahkan membaca ayat-ayat yang
termampu dari Al-Quran setelah bacaan Al-Fatihah dalam solat. Wujud
keterkaitan yang nyata antara Al-Fatihah dan apa saja ayat dari Al-Quran.


Persoalan yang timbul, adakah ke-holistik-an Al-Fatihah dan kesinambungannya
dengan segala topik perbincangan di dalam Al-Quran, disedari dan dihayati
oleh setiap individu yang membaca Al-Fatihah? Atau, Al-Fatihah masih lagi
menjadi sebuah mantera yang hanya perlu dibacakan tanpa perlu memahami isi
kandungannya?

Buku ini, masih membicarakan Al-Fatihah dengan segala maknanya yang
terkandung di dalam kitab-kitab tafsir yang terkemuka. Usaha saya disini
bukanlah menghadirkan makna atau pemahaman baru di dalam Al-Fatihah. Tetapi
apa yang menjadi fokus adalah bagaimana Al-Fatihah yang selama ini kita
pahami ini, memberikan sebuah suntikan baru sehingga membentuk sebuah
kitaran yang saling terkait antara satu dengan yang lain. Keterkaitan kita
selaku makhluk yang dicipta tidak pernah terlepas dari Zat yang mencipta
kita. Keterkaitan kita sebagai hamba yang bertugas mempersembahkan tidak
akan terpisah dari Zat yang selayaknya menerima persembahan itu. Keterkaitan
kita antara kehendak dan ketentuan atau ketetapan. Keterkaitan-keterkaitan
yang tanpa penghujung ini perlu disatukan kemudian disusun sehingga menjadi
sebuah tatanan yang jelas di mana permulaannya dan di mana pula
penghujungnya.


Ke-holistik-an Al-Fatihah menjadikan usaha menyusun struktur itu menjadi
mudah dan tepat kerana *big picture* itu dirumus dalam satu formula yang
sederhana, ringkas tanpa mengurangkan mana-mana aspek atau menggugurkan
mana-mana inti. Maha suci Allah yang memperlihatkan sisi *'ijaz*nya Al-Quran
di sini.


'*Al-Fatihah Menyusun Struktur Perasaan dan Fikiran
Insan*<http://i185.photobucket.com/albums/x314/attaqiyyubillahi/Untitled-1-2.jpg>'
yang diterbitkan oleh *Pelima Media Sdn
Bhd*<http://pelimamedia.blogspot.com/>ini, sangat sesuai untuk dibaca
oleh mereka yang bakal menempuh kehidupan
sebagai *mukallaf. *Ia insyaAllah berupaya membuka minda pembaca agar dapat
melihat di mana kedudukan dirinya di dalam sebuah *big picture* di hadapan
Allah. Atau dalam bahasa lain, ia memperkenalkan seseorang siapa dirinya dan
apa tujuannya dihidupkan. Al-Fatihah sendiri telah disifatkan oleh ramai
ulama sebagai 'manhajul hayat' yang menjaga corak dan pola kehidupan seorang
muslim. Maka, ia adalah suatu topik yang sangat baik dibaca oleh golongan
ini.


Selain golongan ini, golongan dewasa juga sesuai menjadikan buku ini sebagai
sebuah *tazkirah* yang segar. Ia mensajikan maklumat-maklumat yang pernah
kita dengar dengan sajian yang menarik dan dibahas dari sudut-sudut yang
pelbagai. Sebagaimana Al-Fatihah setiap kali ia dibaca menghadirkan makna
yang baru diminda kita sesuai dengan keadaan dan situasi yang kita alami.
Maka, buku ini juga menghadirkan rangsangan-rangsan itu kepada minda dan
hati sebagai wakil kepada fikiran dan perasaan.


Suka juga saya cadangkan jika buku ini dihadiahkan kepada mereka yang baru
ingin mengenal Islam. Ia akan menjadi sebuah buku yang tepat memandangkan
kandungan Al-Fatihah itu sendiri menyediakan maklumat yang padat dan
menyeluruh umpama wajah sempurna bagi Islam.


Kita perlu mengakui bahawa buku ini tidak tepat jika dikategorikan sebagai
buku tafsir. Buku tafsir mempunyai ciri-ciri dan kriteria-kriteria yang
khusus sehingga ia menjadi sebuah disiplin ilmu yang kukuh. Buku ini bukan
ditulis untuk tujuan itu. Maka, bagi mereka yang ingin membahas Al-Fatihah
dari sudut disiplin ilmu maka ini bukanlah buku yang tepat hanya saja buku
ini tidak kehausan mutiara ilmu pengukuh dan penguat isi kandungan yang
ingin diketengahkan.

Pada akhirnya sebagai penulis, saya perlu mengakui bahawa buku ini sangat
kaya dengan kekurangan dan cacat cela. Namun tanpa malu saya menadahkan
tangan kepada Sang Maha Pemberi petunjuk agar kebaikan yang sedikit yang
terkandung di dalam buku ini terpancar jelas sehingga menutupi kekurangannya
yang begitu banyak. *Allahumma amien*. Sungguh kepadaMu ya Allah kami
persembahkan usaha kecil ini. Semoga ia sentiasa menjadi pedoman bagi diriku
sebagai penulis yang mengemis hidayah dariMu sebagaimana besarnya harapan
kami agar ia menjadi manfaat kepada para pembaca. Semoga segala yang baik
terus mengalir dan memenuhi atmosfera kita ini umpama haruman kasturi yang
tersebar ke seluruh penjuru.

Semoga buah tangan yang  tak seberapa ini mengukir senyuman anda ketika
melangkah meninggalkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur
2010<http://www.kualalumpurbookfair.com/>.



Selamat membaca dan semoga peroleh manfaat!

attaqiyyubillahi
Nasr City, Cairo, Egypt
http://taqeyyabella.naemy.net

Reply via email to