*
Diterbitkan dan diedar secara percuma oleh:
DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu, Kelantan.
Tel: 09-7645816

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas
junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para
sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan
tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali.
Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut
sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar,
dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan
harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat
Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang
diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak
panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian
darinya adalah seperti berikut,

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda
berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan
antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama
seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang
membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala
malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu
malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan
supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang
tarawih pada malam ini.

· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa
A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih
sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat
hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..

· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang
ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama
tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil,
semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam
kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi,
ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu
(maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan
bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga
ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak
mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya
didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan
berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan
amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya
tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama
ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang
dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang
mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat
sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas
namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori,
Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat
Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi
S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal
ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib
dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari
seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W.
menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim.

Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi
orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka
hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia
sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka
dia termasuk dalam ancaman ini.

Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas
Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang
bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan
serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain.
Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek
perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata:
Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama
orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah
syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan
atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan
mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain
melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin
untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita
sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang
yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi
Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya
berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya
adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan
sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang
menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih
contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam
ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah
diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan
sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang
bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka
saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak
mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak
mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan
bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang
yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun
siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain
dari meneliti sanad perawinya ialah :

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi
kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W.
atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi
untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang
datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan
dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah
lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang
dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat
sebagaimana tersebut
dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi
Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi
sepertimana yang terdapat dalam
hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai
dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa
hadis-hadis yang dimulai
dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang
lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti
institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya
prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul
yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam
janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan
dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan
Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu
amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa
besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal
dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

*

--
Posted By Lenggang Kangkung to TAZKIRAH at 8/09/2010 08:21:00 AM

Reply via email to