hari ini dalam sejarah

Pelajar harus jadi kuasa ketiga

Hari Isnin kelmarin adalah hari penamaan calon bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di semua universiti-universiti awam di Semenanjung Malaysia kecuali Universiti Teknologi Mara (UiTM). Besok, Khamis 19 Disember, adalah hari membuang undi.

Ini bermakna bahawa mahasiswa yang mencalonkan diri dan para penyokong masing-masing hanya punya masa selama lebih kurang empat hari untuk berkempen secara rasmi.

Namun kempen secara tidak rasmi telah bermula semenjak berminggu-minggu yang lalu. Surat-surat layang, penyibaran risalah-risalah yang bersifat fitnah, kempen berbisik-bisik berlaku dengan rancak dan ada kalanya agak melampau hingga menimbulkan kerunsingan kerana wujudnya gejala-gejala kurang sehat.

Tetapi tabiat berkempen sedemikian bukanlah perkara baru di kalangan para pelajar terutama di universiti-universiti yang sudah established. Tak banyak bezanya dengan tabiat dan amalan di tahun-tahun yang lalu sekurang-kurangnya di beberapa universiti tertentu jika tidak di semuanya.

Seperti di tahun-tahun lalu juga, secara am gaya mereka berkempen mirip dengan kecenderungan kegiatan-kegiatan bawah tanah, di samping berkempen secara terbuka melalui ceramah dan risalah serta poster dan sepanduk. Jadi, tak banyak bezanya dengan apa yang dilakukan oleh parti-parti politik semasa pilihan raya kebangsaan atau pilihan raya kecil. Satu persamaan lain dengan apa yang berlaku di tahun-tahun yang lalu ialah mengenai perkara-perkara yang dijadikan isu atau isu-isu yang diperjuangkan.

Yang menjadi masaalah utama mengikut sesetengah pihak ialah kurangnya kepekaan para aktivis/pemimpin pelajar dalam mengenal pasti atau memilih isu. Sehubungan dengan masalah kepekaan mengenal pasti isu itu ialah masaalah kemahiran merumuskan isu.

Yang menjadi kegemaran biasanya ialah mengkritik dan menyalahkan Akta Universiti secara am tanpa penilaian yang objektif dan terperinci terhadap pelbagai fasal dan peruntukan. Selain kritikan terhadap akta itu yang menjadi kegemaran ialah tuduhan-tuduhan dan kenyataan anti-establishment yang terlalu umum sifatnya.

Akibatnya ramai pemerhati yang mendapat kesan bahawa secara umum isu-isu yang diketengahkan atau yang diperjuangkan oleh pergerakan pelajar adalah kabur dan tak jelas atau berserabut dan tidak bernas atau kurang relevan dan tak tepat prioritinya.

Itu adalah satu tanggapan (atau tuduhan?) terhadap sebahagian besar para pemimpin pelajar di kebanyakan universiti. Manakala di kalangan sebahagian besar pelajar-pelajar yang lain terdapat sikap apathy atau tak peduli terhadap apa yang berlaku, juga tak banyak beza dengan tahun-tahun terdahulu.

Oleh kerana keadaan yang demikian - isu yang kurang jelas dan perumusannya yang kurang fokus - maka terdapatlah kecenderungan menghubungkaitkan politik kampus dengan politik kepartaian di luar kampus.

Ini menimbulkan kesan dan tanggapan (atau tuduhan?) seakan-akan pemilihan bakal-bakal pemimpin MPP itu adalah persaingan proksi parti-parti politik di luar kampus, iaitu persaingan kumpulan pelajar yang pro-parti pembangkang dengan mereka yang pro-parti pemerintah.

Itulah kesan orang yang memandang dari dalam kampus atau yang memerhatikan dari jauh. Dan yang mendukacitakan ialah para pelajar berkenaan, baik pemimpin mahu pun pengikut, baik yang pro mahu pun yang anti-establishment seakan-akan membenarkan persepsi sedemikian. Tidak ada usaha yang sungguh-sungguh daripada mereka untuk menonjolkan diri sebagai kuasa ketiga yang bebas daripada menjadi bayang-bayang tenaga politik di luar kampus.

Dalam suasana kampus Universiti Malaya sedang ghairah dengan pilihan raya sekarang, saya telah bercakap secara rambang dengan seramai lebih kurang 25 orang mahasiswa untuk meninjau persepsi dan pendapat mereka.

Mereka tak segan-segan mengaku tak tahu sama sekali perkara-perkara yang menjadi isu atau yang patut dijadikan isu dalam pilihan raya kampus sekarang. Dan mereka menyalahkan para aktivis (pemimpin pelajar) kerana tidak memberitahu atau tidak menjelaskan kepada mereka. Sedangkan di pihak diri sebahagian besar para pelajar itu sendiri tidak pula ada inisiatif untuk memikirkan dan mengenal pasti isu-isu berkenaan.

Oleh kerana itu tidaklah menghairankan jika peratusan pelajar yang keluar mengundi setiap kali pilihan raya kampus, senantiasa rendah.

Kesimpulannya, masalah yang dihadapi oleh gerakan atau kepimpinan pelajar sekarang, pada hemat saya ialah: (a) apathy di kalangan sebahagian besar, (b) membenarkan diri menjadi bayang-bayang kuasa politik luar kampus di kalangan segelintir yang aktif, (c) kurangnya kepekaan dalam mengenal pasti isu, (d) kurangnya kemahiran dalam merumuskan isu, dan (e) kurangnya kebijaksanaan dalam menentukan urutan keutamaan.


Do you Yahoo!?
Free online calendar with sync to Outlook(TM).

Reply via email to