BERITA MALAYSIA


September 27 , 1999 20:20PM

 

EKSEKUTIF PETRONAS DIKEHENDAKI DALAM KES BUNUH CEDERA PARAH

 

KUALA TERENGGANU, 27 Sept (Bernama) -- Seorang ahli geologi Petronas Carigali, yang dicari polis berhubung pembunuhan seorang wanita di Kuala Lumpur Sabtu lepas, cedera parah dalam satu kemalangan jalanraya di KM121 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kertih hari ini, menurut polis.

Lelaki berusia 39 tahun itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan setelah kereta yang dipandunya terlanggar bahagian tepi kanan sebuah lori tangki dan terperosok ke bawah lori tangki berkenaan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kemaman C/Insp A. Pamneswaran berkata semasa kejadian, kereta lelaki itu adalah dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu dan cuba memintas lori tangki itu.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu, lelaki itu tersepit di bahagian pemandu dan satu pasukan bomba dari Chukai, Kemaman dipanggil untuk mengeluarkan mangsa dalam kejadian pukul 9 pagi itu.

Lelaki itu dilapor menghilangkan diri selepas mayat Faezah Mohd Arshad, 37, seorang eksekutif di Jabatan Sumber Manusia Petronas di Menara Kembar Petronas, ditemui di rumahnya di Bukit Damansara.

Faezah ditemui mati dengan 14 kesan tikaman di bahagian badan, hampir seluruh muka, perut dan tangan dan paru-paru, pada pukul 3.40 petang.

Lelaki itu, yang memandu kereta jenis Citroen, dipercayai berasal dari Terengganu.

Beliau kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil manakala pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan, kata Pamneswaran. -- BERNAMA
-------------------------------------------------

Berita terdahulu

Eksekutif Petronas dibunuh -- Suami mangsa, ahli geologi Petronas Carigali menghilangkan diri

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Seorang eksekutif pentadbiran Petronas ditemui mati dengan 14 kesan tikaman di bilik mandi rumahnya di Bukit Damansara dekat sini, petang semalam.

Mangsa, Faezah Mohd. Arshad, 37, dipercayai masuk ke bilik air tingkat bawah rumah untuk mandi kira-kira pukul 3.40 petang.

Pembunuhan itu dikatakan berlaku selepas perselisihan faham dengan suaminya.

Suami mangsa, berusia 39 tahun yang merupakan ahli geologi Petronas Carigali, anak syarikat Petronas yang berpejabat di Menara Berkembar Petronas menghilangkan diri sejak kejadian itu.

Polis kini sedang melancarkan gerakan mencari suami mangsa, Mohd. Suhaimi Abdul Aziz untuk membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II, Mat Zain Ibrahim yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan sama ada ia berunsur cemburu atau sebagainya.

Dalam pada itu jurucakap polis ketika dihubungi berkata: ''Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat ditikam 14 kali di bahagian badan, hampir seluruh muka, perut dan tangan.

''Laporan bedah siasat juga mengatakan yang punca kematian mangsa ialah tikaman di bahagian paru-paru.''

Jelas beliau, suami mangsa dikatakan menendang pintu bilik air sehingga pecah.

Menurut beliau, ketika kejadian pembantu rumah mangsa, seorang warganegara Thai berumur dalam lingkungan 30-an berada di dalam kediaman tersebut bersama-sama tiga anak pasangan berkenaan iaitu Mohd. Faris, 8, dan Mohd. Shafiq, 3, dan Sarah, 6.

Katanya, perbuatan suami mangsa disedari oleh anak perempuan mereka yang mendengar suara jeritan ibunya dan kanak-kanak itu terus memanggil pembantu rumah.

Beliau berkata lagi, pembantu rumah terbabit meninjau bahagian dapur selepas mendengar kanak-kanak itu meminta bantuan dan ternampak majikannya sedang memegang pisau.

''Pembantu rumah terbabit kemudian terus berlari ke rumah jirannya untuk meminta pertolongan.

''Selepas pulang semula ke rumah bersama beberapa orang jiran, pembantu rumah terbabit nampak mayat terkulai di bilik air dengan berlumuran darah,'' kata beliau.

Menurutnya lagi, ketika itu suami mangsa telah pun menghilangkan diri dan dipercayai ketika melarikan diri dia telah merempuh pagar rumahnya dengan kereta jenis Citroen berwarna kelabu.

Difahamkan jiran yang turut melihat mangsa terus menghubungi polis untuk melaporkan kejadian.

Mayat Faezah kemudian dibawa ke Hospital Universiti, Petaling Jaya untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada petang ini.

 

 

blue.gif

bernamasmall.gif

Kirim email ke