BERITA MALAYSIA


October 12 , 1999 21:26PM

 

AZIZAN SEORANG HIPOKRIT, KATA PEGUAM ANWAR

 

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Azizan Abu Bakar, saksi utama pendakwaan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah seorang hipokrit, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Christopher Fernando berkata ini berikutan kejadian terbaru dalam hidup Azizan apabila beliau disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Syariah di Alor Gajah, Melaka kerana berkhalwat dan cuba melakukan persetubuhan haram dengan Norhayati Saad, yang kemudian dikahwininya.

Beliau berkata Azizan, dalam testimoninya kepada mahkamah berkata beliau membuat pengakuan diliwat oleh Anwar dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja demi kepentingan agama dan maruahnya.

"Itu adalah dakwaan mustahil yang dibuatnya. Kata-kata itu pasti bergema di telinga Yang Arif," kata Fernando kepada Hakim Datuk Arifin Jaka pada perbicaraan kes itu, yang masuk hari ke-59 hari ini.

"Kini kita dapat lihat bahawa daripada kejadian itu adalah lelaki yang berani membuat dakwaan yang segelintir daripada kita berani lakukannya kerana kita mempunyai kelemahan manusia biasa, tetapi bagi lelaki yang membuat dakwaan dan meletakkan dirinya ke tahap itu, beliau sekali lagi telah menunjukkan dirinya sebagai seorang penipu," katanya.

Fernando berkata dalam testimoninya pada perbicaraan itu, Azizan telah menunjukkan dirinya sebagai seorang yang menganggap dirinya betul, memberitahu semua orang bahawa beliau orang yang baik dan seorang yang mendapati kesalahan seksual adalah seuatu yang sangat dibencinya.

Beliau berkata daripada bahasa yang digunakan dalam keterangan bersumpah itu, sesiapa pun yang tidak mengenali Azizan akan berpendapat beliau adalah seorang yang alim.

"Beliau cuba menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang sangat alim tetapi kemudian telah ditahan dalam keadaan tanpa seluar dengan tidak membuat sebarang pembelaan," kata Fernando.

Di kandang orang salah ialah Anwar, 52, dan adik angkatnya, Sukma, 38, yang didakwa meliwat Azizan, 39, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini pada suatu malam, pukul 7.45, antara bulan Januari dan Mac, 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan, juga didakwa bersubahat dengan Anwar yang juga bekas menteri kewangan, untuk melakukan kesalahan itu terhadap Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar di tempat dan pada masa yang sama.

Fernando berkata demikian selepas Arifin memerintahkan pembelaan supaya meneruskan penghujahan mereka mengenai kewibawaan Azizan setelah mahkamah mengetepikan permohona kedua mereka untuk memanggil saksi itu untuk soal balas.

Peguam itu berkata isu kewibawaan Azizan memang tidak dapat dipertikaikan lagi kerana perkara yang paling penting untuk diputuskan mahkamah terhadap kes pendakwaan Anwar dan Sukma bergantung kepada keterangan beliau.

Beliau berkata Azizan telah gagal ujian berkembar kewibawaan dan oleh itu, keterangan beliau tidak boleh diterima oleh mahkamah.

"Tiada orang yang sewajarnya, tiada orang yang berfikiran lurus akan mengatakan bahawa Azizan adalah seorang saksi yang boleh dipercayai dan saksi yang jujur," katanya.

Menurutnya Azizan juga tidak memandang berat kepada sesuatu sumpah yang dibuat oleh seseorang saksi di mahkamah.

Azizan bukan sahaja mengelirukan dirinya malah telah melakukan sumpah bohong lebih daripada sekali, kata Fernando.

Fernando berkata undang-undang memerlukan mahkamah, yang apabila mendapati seorang saksi penting membuat pelbagai kenyataan berbeza di waktu-waktu lain perlu, meletakkan mereka dalam kategori khas saksi-saksi yang tidak boleh dipercayai.

"Di sini kita mempunyai bukti daripada tiga sumber; keterangan yang diberi pada perbicaraan awal (kes rasuah), keterangan yang diberi pada perbicaraan ini dan keterangan yang diperolehi daripada Mahkamah Syariah bersama-sama dengan pengakuannya terhadap kedua-dua tuduhan itu," katanya.

Beliau berkata kewibawaan Azizan adalah "dikehendaki" dan oleh itu, tiada pensabitan boleh didasarkan kepada keterangannya kerana ini adalah prinsip kes-kes jenayah yang asas.

Fernando berkata bagi memanggil Anwar dan Sukma untuk membela diri, Arifin perlu memastikan dahulu bahawa Azizan adalah saksi yang boleh dipercayai.

"Sebelum ini, Azizan mungkin mengkagumkan Yang Arif sebagai seorang saksi yang jujur tetapi lihatlah dirinya sekarang," katanya.

Fernando berkata mahkamah tidak harus mengetepikan motif kemungkinan yang menyebabkan Azizan membuat dakwaannya terhadap Anwar dan Sukma kerana keadaan persekitarannya dengan kehidupan Azizan "berubah sekelip mata" iaitu daripada seorang pemandu menjadi pengurus jualan dan pentadbiran.

"Itu adalah faktor-faktor menarik yang menyebabkan beliau sanggup menjual maruah, kewibawaan dan harga dirinya. Tarikan itu begitu kuat hinggakan beliau tidak dapat menahannya. Kita tidak tahu apa lagi yang dijanjikan atau diberikan kepadanya," katanya.

Walaupun jika Azizan benar-benar diliwat, Fernando berkata saksi itu tidak perlu menunggu hingga lima tahun untuk memberitahu dunia mengenainya kerana harga diri, kehormatan, maruah akan menghalangnya daripada berbuat demikian.

"Tiada orang yang berfikiran waras akan berbuat demikian," katanya.

Fernando berkata Azizan telah menjual maruah dan prinsip dirinya serta membuat dakwaan kosong bahawa beliau adalah seorang yang alim sedangkan beliau sebenarnya bukan seorang yang bermoral.

"Siapa yang berbuat jahat akan menerima balasannya," katanya.

Fernando berkata pendakwaan berhujah bahawa kes mereka diasaskan kepada tujuh teras, tetapi memandangkan saksi utama mereka tidak boleh dipercayai dan tidak jujur, teras-teras itu ternyata diperbuat daripada straw yang menunjukkan ia sebenarnya lemah, bercanggah dan tidak boleh disokong.

Beliau mengingatkan hakim supaya tidak melupakan kes Rungit Singh, hakim mahkamah sesyen di Pulau Pinang yang dibebaskan daripada tuduhan kesalahan seksual setelah hakim perbicaraan itu enggan membuat pensabitan tanpa sebarang keterangan sokongan.

Seorang lagi peguam Anwar Karpal Singh berhujah bahawa mahkamah perlu memastikan sama ada ia boleh mensabitkan kedua-dua tertuduh berdasarkan bukti yang diperolehi setakat ini jika mereka memilih untuk berdiam diri.

Karpal Singh berkata mahkamah boleh membuat penghakimannya dalam kes liwat itu dengan bantuan rekod prosiding kes Azizan di Mahkamah Syariah kerana ia berkaitan dengan kewibawaan Azizan.

"Ini adalah satu kes yang klasik mengenai seorang lelaki yang tinggal di rumah kaca dan membaling batu kepada orang lain," katanya.

Karpal Singh berkata pensabitan Azizan di Mahkamah Syariah tiba pada masanya iaitu sebelum kes liwat itu tamat, yang berdasarkan kedudukan itu, kewibawaan Azizan nyata telah musnah.

"Hujah kami ialah teras utama kes pendakwaan ialah Azizan. Malahan, beliau adalah asas yang diperbuat daripada pasir tanpa simen. Dengan menyerang asas itu, teras itu tidak lagi dapat berdiri," katanya.

Karpal Singh kemudian merujuk mahkamah kepada prosiding Makhamah Syariah.

Karpal Singh menarik perhatian mahkamah kepada fakta kes itu dengan Norhayati mengaku bahawa beliau dan Azizan tidak melakukan persetubuhan pada malam mereka ditangkap tetapi pernah melakukannya sebelum ini.

Hadirin di mahkamah ketawa apabila Arifin berkata "mungkin tak sempat".

Perbicaraan disambung esok.

-- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke