PETALING JAYA, 12 Okt (Bernama) --
Jabatan Bomba dan Penyelamat merancang membeli rumah pangsa dan
teres baru bagi dijadikan kuarters untuk semua 8,700 anggotanya,
kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Ting Chew Peh.
Beliau berkata setakat ini kuarters yang dibina
untuk anggotanya hanya dapat menampung 30 peratus daripada keperluan
itu dan menjelang akhir tahun depan, angka itu dijangka meningkat
kepada 90 peratus.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat merancang
untuk menyediakan tempat tinggal kepada semua anggotanya menjelang
tahun 2001," katanya pada sidang berita selepas merasmikan Balai
Bomba dan Penyelamat Damansara hari ini.
Ting berkata
jabatan itu sedang berusaha mendapatkan 1,110 unit rumah di beberapa
pusat bandar seperti di Shah Alam, Wilayah Persekutuan, Pulau
Pinang, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Kuching, Miri, Johor Bahru
dan Kuala Terengganu.
"Sekarang ini ramai anggota bomba
terpaksa tinggal di luar dan ada yang terpaksa tinggal jauh dari
balai," katanya.
Kini terdapat 196 Balai Bomba dan
Penyelamat di seluruh negara dan 62 buah lagi akan dibina untuk
memenuhi keperluan semasa.
Mengenai unit udara bomba, Ting
berkata terdapat rancangan untuk membeli lebih banyak helikopter
terutama bagi Sarawak, Sabah dan Labuan dalam usaha mempertingkatkan
kecekapannya.
Jabatan itu kini mempunyai dua buah
helikopter.
Terdahulu ketika berucap merasmikan Balai Bomba
Damansara, Ting berkata berdasarkan statistik bagi Januari hingga
Jun tahun ini, sebanyak 6,828 kebakaran telah berlaku di seluruh
negara dengan kerugian RM291.5 juta.
Balai Bomba dan
Penyelamat Damansara dibina semula di tapak yang sama seluas 1.2
hektar dan turut mempunyai kuarters tujuh tingkat mengandungi 48
unit rumah dengan kos pembinaan berjumlah RM7.7 juta. --
BERNAMA
|