JAKARTA, 12 Okt (Bernama) -- Presiden B.J.
Habibie hari ini mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhirnya
sebelum ia dibubarkan Khamisini bagi memberi laluan kepada pemilihan
presiden baru di Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) pada 20 Okt. Mesyuarat satu setengah jam yang bermula pada pukul 11
pagi itu diadakan di Dewan Utama, Bangunan Sekretariat Republik
Indonesia di kawasanIstana Merdeka di sini.
Tugas terakhir
beliau sebagai presiden ialah menyampaikan "Ucapan
Bertanggungjawaban" yang menggariskan pelbagai langkah dan tindakan
yangdiambil beliau untuk pembangunan negara selama memegang jawatan
itu.
Habibie, 64, mengambilalih jawatan presiden daripada
Suharto, 78, pada 21 Mei tahun lalu berikutan tunjuk perasaan awam
dan penuntut universiti secara besar-besaran yang mahukan
pemerintahan Suharto selama 32 ditamatkan semasa kemuncak krisis
ekonomi yang melanda wilayah dan negara itu.
Sejurus selepas
dilantik, Habibie membariskan 37 tokoh terkemuka negara untuk
menyertai Kabinetnya yang beliau sebut "Kabinet Reformasi",
sesuaidengan tuntutan perubahan dalam pelbagai bidang negara ini.
Bagaimanapun pada Mei tahun ini, dua daripada anggota
Kabinetnya yang terdiri daripada ketua parti berasingan terpaksa
melepaskan jawatan untuk berkempen pada pilihan raya 7 Jun lalu.
Peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia tidak
membenarkan seseorang anggota Kabinet berkempen dalam pilihan raya.
Lima lagi anggota Kabinet memilih untuk meninggalkan jawatan
mereka baru-baru ini kerana dilantik menjadi anggota MPR.
Satu kejayaan besar Habibie, seorang jurutera kapalterbang
lulusan Jerman, ialah memperkenalkan bentuk baru demokrasi di
Indonesia melalui pilihan raya paling terbuka dalam sejarah negara
ini pada 7 Jun lalu, dan menjamin kebebasan akhbar.
Beliau
akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan jawatan presiden di
MPR mewakili Parti Golkar.
Dua tokoh lain yang dijangka kuat
menentang beliau ialah Megawati Sukarnoputri, Ketua Partai
Demokratik Indonesia-Perjuangan, PDI-P dan pemimpin persatuan Islam
terbesar Indonesia, Nahdatul Ulama, NU, Abddurrahman Wahid atau Gus
Dur, yang dicalonkan oleh kumpulan politik yang menamakan diri
mereka sebagai "Poros Tengah".
-- BERNAMA
|