Title: AGAMA JADI ALAT HANCUR UMATAGAMA adalah lebih penting dari segala
AGAMA JADI ALAT HANCUR UMAT
AGAMA adalah lebih penting dari segala-galanya dalam hidup manusia, sama ada agama Islam
mahupun agama-agama
lain. Ia dianggap menjadi hikmah ilahiyyah (hikmat Allah) yang dijadikan segala agama itu
untuk dianuti oleh umat manusia.
Kerana agama mengimbangi kehidupan manusia dan menjadi punca survivalnya.
Selain menganjurkan manusia supaya berbuat baik dan meninggalkan kejahatan yang menjadi
tonggak pengimbangan
kehidupan manusia dan survivalnya itu, agama juga berfungsi sebagai penawar atau doktor
bagi segala penyakit hati
(amradul qulub) dan penyakit jiwa (amradul nafs) seperti disebut dalam al-Quran dan hadis.
Sebagai contoh manusia yang tiada agama atau kosong pengajaran rohani seperti yang
terdapat di kalangan ramai penduduk
negara-negara Barat yang mengamal sekularisme yang menyeleweng, sama seperti yang berlaku
dalam blok kapitalis
mahupun yang berlaku dalam blok sosialis (dulu) lemah daya kekebalan diri mereka dan mudah
terjerumus dalam segala
bentuk penyakit hati dan penyakit jiwa.
Maka itulah sebabnya negara-negara Barat itu paling serius dilanda gejala bunuh diri.
Begitu juga merebaknya ajaran agama
sesat dan menyeleweng yang menganjur kepada membunuh diri seperti yang dilakukan oleh
beberapa kumpulan cult.
Ini membuktikan bahawa dalam peringkat penganut, agama yang mempunyai fungsi yang baik
boleh menjadi bahaya apabila
disalahgunakan oleh pengikut- pengikutnya. Dan penyalahgunaan agama yang membawa bahaya
ini boleh terjadi apabila
terlalu ramai orang yang jahil agama atau mengasingkannya dari kehidupan harian seperti
yang terjadi di Barat. Dalam
sesebuah negara terdapat pula puak-puak dan kumpulan-kumpulan tertentu, sama ada puak dan
kumpulan politik mahupun
kumpulan yang mengamalkan ajaran sesat memperalatkan agama.
Jika ditinjau peranan agama dalam peringkat negara, kita akan mendapati bahawa agama yang
disalahgunakan oleh
negara-negara tertentu sejak zaman-berzaman di mana ia menjadi punca berlaku pelbagai
perselisihan, perbalahan dan
perang.
Sebagai contoh banyak peperangan yang besar-besar meletus pada masa lalu adalah disebabkan
oleh penyalahgunaan
agama seperti perang Salib.
Kerana menyedari dan insaf terhadap penyalahgunaan agama pada masa lampau, anak cucu orang
Kristian yang pernah
terlibat dalam perang Salib yang terdiri daripada pelbagai pertubuhan Kristian di Barat
telah melancarkan perarakan
memohon maaf di Eropah untuk menuju ke negara-negara yang pernah dilanda perang termasuk
di Asia Barat.
Perarakan yang bertujuan untuk meminta maaf kepada orang Islam, Yahudi dan bangsa-bangsa
lain yang pernah menjadi
mangsa perang Salib telah tiba di Lebanon dua bulan lepas.
Sementara itu apa yang berlaku di bumi Palestin yang kini dibahagi kepada dua, iaitu
Israel dan kuasa autonomi terbatas
Palestin adalah juga berpunca daripada penyalahgunaan agama.
Kaum Yahudi dari pelbagai bangsa di seluruh dunia melancarkan rancangan politik untuk
menguasai bumi Palestin
berdasarkan dakwaan agama mereka bahawa bumi yang pernah melahirkan ramai nabi dan rasul
itu adalah pemberian Allah
menganggap mereka merupakan bangsa pilihan-Nya.
Orang Kristian juga mendakwa mempunyai hak ke atas bumi Palestin. Ini kerana kebanyakan
wilayah di Palestin seperti
Baitulmaqdis, Nazareth, Tiberius, Hebron (kesemua kini di bawah Israel), Beitlehem (di
bawah kuasa Palestin) adalah
bandar Kristian atau ada kaitan dengan Nabi Isa a.s. Semua wilayah ini dianggap sebagai
tempat-tempat suci agama
Kristian dan orang Kristian menunaikan tuntutan agama mereka di situ.
Orang Arab, sama ada yang beragama Islam mahupun yang beragama Kristian juga menganggap
bumi Palestin itu tanah
suci mereka. Selain daripada kebanyakan nabi dan rasul muncul dari bumi Palestin, orang
Arab juga menganggap datuk
nenek mereka adalah kaum terulung menduduki wilayah itu.
Pokoknya bumi Palestin secara am dan Baitulmaqdis secara khasnya adalah dianggap menjadi
punca segala perang agama
atau perang yang berpunca dari agama sejak beribu tahun itu.
Perang politik
Malah ada ulama berpendapat, di situ bermula agama dan perang dan di situ juga akan
bermula perang akhir zaman dan
kiamat.
Perbalahan antara Arab dan Israel yang mencetuskan beberapa kali peperangan di rantau itu
kini berubah menjadi perang
politik dalam istilah yang dipanggil sebagai proses damai adalah berpunca dari dakwaan
agama yang bercampur aduk
dengan nasionalisme dan pelbagai kepentingan di rantau Asia Barat.
Sepatutnya orang Islam, Kristian dan Yahudi yang menganut ketiga-tiga agama dari langit
ini yang mempunyai asal-usul yang
sama dapat bertolak ansur terhadap bumi Palestin itu agar bumi itu tidak dijadikan sebagai
asas pemisahan wilayah dan
penubuhan negara yang berasingan seperti masa lalu.
Penyalahgunaan agama juga menjadi punca negara-negara Arab dan negara- negara Islam di
Asia Barat bertelagah sesama
sendiri hingga berbunuhan dan
perang sesama Arab dan Islam sama seperti yang berlaku di Algeria, Lebanon, Iraq, Iran,
Afghanistan, Sudan dan Mesir.
Usah kita membincang mengenai semua penyalahgunaan agama yang berlaku di negara-negara
tersebut di atas. Tetapi
memadai dengan membincangkan penyalahgunaan agama yang berlaku di Algeria.
Algeria kehilangan kira-kira 70,000 jiwa dari kalangan puak pemberontak, kerajaan dan
orang awam akibat daripada
keganasan puak pelampau agama dan tentera kerajaan sejak tahun 1992.
Keganasan puak pelampau mula berlaku selepas tentera membatalkan keputusan pilihan raya
yang dimenangi oleh Barisan
Penyelamat Islam (FIS), akibatnya meletuslah perang sesama agama dan bangsa yang
berpanjangan selama tujuh tahun
sehingga sekarang. Peperangan itu masih lagi berlaku di Algeria, tetapi tidak sehebat
dulu.
Semua itu adalah berpunca daripada mempolitikkan agama yang dilakukan oleh para pemimpin
Islam yang tidak mempunyai
wawasan, pendek akal dan tidak mengetahui kekuatan lawan (tentera) yang mendapat sokongan
dan bantuan dari luar
terutama Perancis. Mereka tidak dapat mengawal orang- orangnya sendiri yang kemudian
berubah menjadi kaum pelampau
agama yang bertindak ganas tidak menentu termasuk orang awam. Puak pelampau agama Algeria
ini pula mengamal ajaran
agama yang menyeleweng yang jarang diamal oleh mana-mana pergerakan pelampau agama di
negara-negara Arab lain.
Puak pelampau ini melancarkan perang besar-besaran di Algeria untuk menggulingkan kerajaan
yang dianggap kafir.
Mereka membunuh orang awam yang dipercayai menyokong kerajaan atau salah seorang ahli
keluarga yang menjadi polis
atau tentera. Kadangkala mereka menahan penduduk yang keluarganya mereka anggap musuh
sebagai tawanan perang atau
hamba terutama kaum wanita. Mereka lebih melampau hingga menjadikan tawanan wanita sebagai
gundik.
Malah terdapat juga kes-kes kahwin mutaah dilaksanakan. Mereka memfatwakan kahwin mutaah
sah dari segi agama
kerana mereka berada dalam suasana perang.
Apabila negara dalam peperangan terdapat kejadian tentera kerajaan sendiri turut melakukan
keganasan dan pembunuhan
terhadap orang awam, tetapi mereka menuduh puak pelampau agama yang melakukannya.
Kini pengaruh perjuangan Islam semakin pupus di Algeria di mana penduduk tidak lagi
menyokong FIS dan berhati-hati
untuk memberi sokongan kepada puak-puak Islam yang lain.
Dalam pada itu pihak luar terutama kuasa besar yang berkepentingan sentiasa mencari jalan
untuk campur tangan di
negara-negara Islam dengan memperalatkan pergerakan-pergerakan agama dan pemimpin
tertentu.
Sebagai contoh pergerakan massa menentang Shah Reza Pahlavi di Iran menyebabkan Amerika
Syarikat memperalatkan
Imam Khomeini untuk memgambil tempat Shah Iran itu. Amerika menyediakan banyak peruntukan,
kemudahan dan orang
untuk menjayakan rancangan menjatuhkan Shah Iran.
Bagaimanapun, selepas meletus revolusi Iran pada 1979, Amerika tidak dapat mengawal
pengaruh Khomeini lagi dan
orangnya dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan tidak berdaya bertahan lagi. Qutub Zadeh
dibunuh dan Bani Sadr diusir
ke luar negara.
Amerika melihat perjuangan Islam dirangsang oleh revolusi Iran bukan lagi sebagai perisai
untuk menyekat bahaya
komunisme, tetapi ia sendiri yang menjadi punca bahaya kepada negara-negara Arab terutama
di rantau Teluk.
Kerana itulah Amerika meracuni pemikiran Presiden Saddam Hussein dan menyebabkan beliau
menyerang Iran.
Dalam Perang Teluk yang sangat hebat itu, Amerika dan semua negara Barat menjadi
penyumbang senjata kepada
kedua-dua belah pihak. Dari satu aspek mereka mendapat keuntungan yang besar daripada
perbuatan menjual senjata
kepada Iraq dan Iran, sementara dari satu aspek lain pula mereka berjaya memperhebatkan
lagi perpecahan antara orang
Islam Sunnah dan orang Islam Syiah.
Bagaimanapun, Amerika dan negara-negara Barat mendapati Iraq tidak menggunakan semua
senjata yang dibeli, sebaliknya
Iraq telah mengumpulnya untuk menjadi negara Arab terkuat dalam pemilikan senjata.
Matlamat Presiden Saddam ialah
untuk menjadi pemimpin Arab mengganti Mesir dan Arab Saudi. Perbuatan Iraq sudah pasti
menakutkan Amerika, lantas
Amerika menuduh Iraq mengumpul senjata untuk memerangi Israel.
Maka dari sini muncul satu lagi konspirasi lain untuk melumpuhkan kekuatan senjata Iraq di
mana AS menghasut Saddam
Hussein menyerang Kuwait pula.
Saddam yang termakan hasutan Amerika mengarah bala tenteranya menyerang Kuwait yang
mengakibatkan AS dan
negara-negara sekutu mengambil tindakan menyerangnya beberapa kali.
Konspirasi ini berjaya dilakukan dan kini terlaksanalah hasrat Amerika menghapuskan
senjata simpanan Iraq yang banyak
berlebih daripada peperangan dengan Iran dulu.
Presiden Saddam kini tidak mempunyai sandaran lain untuk terus berkuasa kecuali agama
Islam. Kini beliau ditonjolkan
sebagai pemimpin Islam yang unggul oleh media massa Iraq.