KES 3

Mengaku salah mencekik


Didapati bersalah: Abdul Ghani dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana menyebabkan kematian isterinya. - Gambar NSTP.

MAHKAMAH Tinggi Johor Baharu, pada 15 Oktober lalu, menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara ke atas seorang pegawai kastam setelah dia mengaku salah mencekik isterinya hingga mati dalam satu pergaduhan selepas isterinya menuntut cerai April tahun lalu.

Abdul Ghani Mohd Hashib, 41 tahun, yang berkhidmat selama 22 tahun dengan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja mengaku salah terhadap tuduhan pindaan membunuh tanpa niat dengan mencekik isterinya, Cik Zawiyah Hassan, 40 tahun, di rumah mereka di Jalan Jelatang, Taman Megah Ria, Masai, dekat Johor Baharu pada 4 April 1998.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Sulong Matjeraie, berkata walaupun beliau menganggap kes itu sebagai tragedi, namun kematian Cik Zawiyah dilakukan secara kejam dan patut dikutuk.

"Perbuatan mencekik seseorang sampai mati be nar-benar kejam, apatah lagi si mangsa itu wanita yang menjadi isterinya dan ibu kepada anak-anaknya.

"Selepas dipukul dengan pasu (bunga) kenapa tertuduh cekik lagi? Ini sungguh kejam," demikian Hakim Sulong ditukil sebagai berkata oleh akhbar Utusan Malaysia pada 16 Oktober lalu.

Menurut beliau, berdasarkan penjelasan pihak pembela, mahkamah mendapati berlaku keretakan dalam rumahtangga pasangan terbabit selepas Cik Zawiyah berkenalan dengan suami orang melalui perniagaan jualan terus.

Cik Zawiyah kemudian menuntut cerai kira-kira dua bulan sebelum kejadian itu.

Tetapi peguambela, Encik R.K. Menon, memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak mahu menceraikan isterinya kerana memikirkan soal kebajikan tiga orang anak mereka. -- BHM.

selasa2-8.jpg

Kirim email ke