KES 2
Dilanggar ketika suami undurkan kenderaan
KUALA LUMPUR -- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Oktober lalu, menetapkan perbicaraan terhadap bekas pengurus besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Datuk Mahfar Sairan, 55 tahun, yang dituduh membunuh isterinya di rumah mereka di Gombak Jun lalu, didengar selama 10 hari bermula 15 November ini. Hakim Datuk Kang Hwee Gee menetapkan ahli perniagaan itu dibicarakan setelah peguam beliau, Encik Muhammad Shafee Abdullah, memohon tarikh perbicaraan awal. Datuk Mahfar, yang juga pengerusi Starhill Golf and Country Club, didakwa membunuh Datin Faridah Abdul Rahman, 55 tahun, kira-kira 6.30 petang di rumah mereka di Taman Setia, Gombak, pada 23 Jun lalu. Datin Faridah dilaporkan cedera parah setelah dipercayai dilanggar suaminya, Datuk Mahfar, ketika beliau sedang mengundurkan keretanya. Isteri ahli perniagaan itu meninggal dunia beberapa jam selepas dimasukkan ke hospital. Datuk Mahfar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rawang pada 24 Ogos lalu, atas tuduhan yang sama tetapi tiada pengakuan direkodkan. Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan. Datuk Mahfar didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Pengadu dalam kes ini ialah abang mangsa, Mohd Ahyahudin Abdul Rahman, yang membuat aduan di Balai Polis Gombak tiga jam selepas kejadian tersebut. Tertuduh kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh. -- BHM. |

selasa2-7.jpg