BERITA MALAYSIA


November 01 , 1999 18:51PM

 

HADI SEDIA BINCANG ISU NEGARA ISLAM DENGAN KIT SIANG

 

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Timbalan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata beliau sedia berbincang dengan Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang mengenai kenyataannya baru-baru ini bahawa PAS akan meneruskan hasrat menubuhkan negara Islam walaupun perkara itu tidak disebut dalam manifesto pakatan pembangkang.

"Memang kita selalu bincang. Kita bersedia untuk berbincang apa sahaja untuk kepentingan bersama," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Abdul Hadi (PAS-Marang) diminta mengulas kenyataan Lim semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2000 di Dewan Rakyat hari ini bahawa beliau (Lim) sedia berbahas dengan Abdul Hadi berhubung beberapa pandangan dan dasar mengenai Islam.

Lim, Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, bagaimanapun berkata perbahasan itu tidak boleh dibuat semata-mata kerana wujudnya cabaran daripada anggota-anggota Parlimen Barisan Nasional (BN).

"Kalau Yang Berhormat Marang mahu berbahas mengenai teori Islam dengan saya, silakan. Tapi ia hendaklah dibuat bukan kerana disebabkan oleh cabaran daripada Datuk Sukri Mohamed (BN-Machang)," kata Lim.

Sebelum itu, Sukri bangun meminta penjelasan daripada Lim sama ada beliau bersetuju dengan hasrat PAS untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud.

-- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke