BERITA MALAYSIA


November 01 , 1999 19:55PM

 

ADA KELOMPOK BERSEDIA MEMBUNUH SAYA, KATA ANWAR

 

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau dimaklumkan mengenai adanya satu kelompok orang tertentu yang bersedia melakukan apa sahaja termasuk membunuhnya.

Katanya beliau diberitahu mengenai perkara itu oleh Norazman Abdullah atau Baginda, pembantu Datuk Sng Chee Hwa, anggota Parlimen dari Sarawak, pada akhir Jun atau awal Julai 1998.

"Saya dapat keterangan daripada Baginda, yang menggesa saya supaya saya berhati-hati kerana kelompok ini bersedia untuk melakukan apa sahaja ... fitnah, rekacipta bahkan menggunakan perkataan membunuh sekalipun," katanya.

Anwar, bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan, berkata demikian ketika membela diri atas tuduhan meliwat bekas pemandu isterinya Azizan Abu Bakar.

Anwar, 52, dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, dituduh meliwat Azizan, 39, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar di sini pada satu malam, pukul 7.45 antara Januari dan Mac 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan, juga dituduh bersubahat dengan Anwar untuk meliwat Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar, di tempat dan pada masa yang sama.

Semasa menjawab pertanyaan peguam bela utamanya Christopher Fernando mengenai bilakah perbualan mengenai konspirasi itu dibangkitkan, Anwar berkata Baginda memberitahunya yang beliau (Baginda), Sng dan Ummi Hafilda Ali baru pulang daripada bercuti di London.

(Ummi Hafilda ialah adik bekas setiausaha sulit Anwar, Azmin dan merupakan penulis surat "Perihal Salahlaku Timbalan Perdana Menteri" yang dihantar kepada Perdana Menteri bersama surat pengakuan bersumpah Azizan yang mendakwa diliwat Anwar.)

Anwar berkata dalam pertemuannya dengan Baginda yang berasal dari Sarawak itu, lelaki berkenaan memaklumkannya bahawa daripada maklumat yang diperolehi daripada Ummi Hafilda, wanita itu mempunyai hubungan dengan Tun Daim Zainuddin (kini Menteri Kewangan Pertama).

"Beliau (Ummi Hafilda) telah menghubungi pengarang buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM" iaitu Khalid Jafri dan pembantunya Khairuddin Hassan, juga beberapa tokoh politik Umno yang lain terutama Tengku Adnan Mansor, proksi kepada Tan Sri Vincent Tan, yang sekarang ini setiausaha eksekutif Umno Malaysia," katanya.

Anwar ketika memberikan keterangan itu memegang kepalanya seperti menahan kesakitan dan Hakim Datuk Ariffin Jaka bertanya sama ada beliau boleh meneruskan keterangannya.

Arifin memintanya memaklumkan mahkamah sekiranya beliau tidak dapat meneruskan lagi keterangan setelah Anwar berkata beliau akan cuba menjawab satu dua soalan lagi.

Ketika meneruskan keterangannya Anwar berkata hampir keseluruhan perbincangannya dengan Baginda "berlegar sekitar helah untuk menjatuhkan saya bahkan (kelompok itu) menggunakan istilah membunuh."

Pada peringkat ini orang awam yang mengikuti perbicaraan itu ketawa setelah Arifin yang mencatatkan keterangan Anwar bertanya kepada Anwar mengenai perkataan "istilah" yang didengarnya seperti "Ziela".

Arifin secara berseloroh berkata beliau teringat nama berkenaan kerana sering disebut.

(Ziela Jalil ialah isteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob yang didakwa Anwar sebagai teman Ummi Hafilda).

Setelah menjawab satu soalan daripada Fernando, Anwar memberitahu Arifin bahawa beliau tidak dapat meneruskan keterangannya kerana sakit kepala tetapi bersedia berbuat demikian sekiranya diminta.

Bagaimanapun Arifin berkata mahkamah tidak akan memaksanya. Sebelum keterangan mengenai Baginda, Anwar berkata beliau berbincang dengan Azmin berkaitan Ummi Hafilda buat pertama kalinya pada 1997 setelah Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan surat yang dikatakan dikirimkan oleh Ummi Hafilda kepada Perdana Menteri melalui Megat Junid.

Katanya dalam perbincangan itu, Azmin menjelaskan bahawa antara beliau dengan Ummi Hafilda ada masalah kerana adik perempuannya itu tidak berpuashati disebabkan beliau tidak membantu perniagaannya.

Anwar juga berkata perbincangannya dengan Azmin berkaitan Ummi Hafilda juga berlangsung pada tahun 1998 dan bekas setiausaha sulitnya itu ada memberitahu tentang adik perempuannya yang telah terlanjur kerana menerima ganjaran.

Azmin juga memaklumkan Anwar bahawa Ummi Hafilda memberitahu Azmin yang Megat Junid telah mendrafkan suratnya yang dihantar kepada Perdana Menteri termasuk surat pengakuan bersumpah Azizan.

Anwar berkata Azmin juga memberitahunya bahawa Ummi Hafilda telah menemui Daim, Tan Sri Rahim Tamby Chik (bekas ketua menteri Melaka), Datuk Aziz Shamsuddin (setiausaha politik Dr Mahathir) dan Ziela dalam usaha konspirasiitu.

Perbicaraan disambung esok. -- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke