Bajet rakyat menjelang undiBELANJAWAN Malaysia kali ini memang untuk rakyat. Pelbagai insentif ditawarkan -- potongan cukai, tambahan subsidi bagi golongan miskin dan kenaikan perbelanjaan bagi prasarana. 'Durian runtuh' ini dinikmati hampir semua sektor tanpa sebarang cukai baru dikenalkan. Ia dijangka membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara itu yang kian beransur pulih. Apakah matlamat utama di sebalik belanjawan tersebut? Ternyata sekali ia ada kaitan dengan rancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, untuk mengadakan pilihan raya umum tidak lama lagi.Kerajaan campuran Barisan Nasional tentu arif betapa penting sokongan lanjut pengundi untuk kekal berkuasa setelah tercabar akibat pemecatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi, belanjawan itu tampak cuba memancing undi. Sebagaimana digariskan di Dewan Rakyat, RM78.03 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan tahun depan dengan defisit mencecah RM12.97 bilion, atau 4.4 peratus daripada Hasil Kasar Negara (GNP). Paling beruntung ialah golongan berpendapatan rendah dan menengah. Beban kewangan mereka diringankan menyusuli kenaikan pelepasan cukai peribadi kepada RM8,000 daripada RM5,000 sebelumnya; manakala bonus sebulan, termasuk kenaikan 10 peratus gaji asas dan elaun perumahan, diberi bagi kakitangan awam -- semuanya pasti diharap akan diterjemah menjadi undi. Dengan membolehkan sebahagian simpanan dalam Tabung Simpanan Pekerja (EPF) dikeluarkan bagi membiayai pendidikan peringkat tinggi, kerajaan berniat merangsang peralihan paradigma daripada ekonomi berteras daya penghasilan kepada ekonomi berteras ilmu. Buat tahun ketiga berturut-turut, kerajaan diramal mencatatkan defisit besar belanjawan. Begitupun, ia dapat ditanggung kerana lebihan akaun semasa sekitar RM11 bilion tahun ini. Ekonomi Malaysia masih terlalu bergantung pada permintaan luar. Mujurlah suasana ekonomi dunia kini teguh. Namun ia tetap mahu meneruskan langkah kawalan modal dan mata wangnya. Walau langkah kontroversial ini dikatakan berjaya mencapai matlamatnya, wajarkah ia diteruskan terutama apabila ia tidak sejajar dengan semangat globalisasi? Apa jua persoalannya, belanjawan terbaru ini memang pragmatik -- demi ekonomi dan kelangsungan politik Malaysia. |