BERITA MALAYSIA


November 02 , 1999 17:12PM

 

PERDANA MENTERI SETUJU BINA UNIVERSITI KALAU BN MENANG, KATA KU LI

 

KOTA BAHARU, 2 Nov (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah berkata Perdana Menteri telah bersetuju supaya sebuah universiti dibina segera di Kelantan sekiranya Barisan Nasional dapat membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya umum akan datang.

Katanya persetujuan itu diberikan ketika beliau menemui Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebulan lepas bagi mengemukakan kertas kerja mengenai cadangan penubuhan universiti itu.

"Kita telah mempunyai nama bagi universiti iaitu Univeriti Darul Naim yang akan menawarkan bidang pengurusan dan teknologi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya kampus tetap universiti akan dibina di Tangok, Bachok di kawasan seluas 280 hektar, membabitkan perbelanjan antara RM800 juta dan RM1,000 juta.

Tengku Razaleigh berkata kerajaan juga bersetuju supaya Maktab Perguruan Kota Baharu dijadikan kampus sementara universiti itu sementara kampus tetapnya siap, yang dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap.

"Kita boleh buka universiti di Kelantan serta-merta dan membuat pengambilan pertama 700 pelajar tanpa masalah," katanya.

Beliau berkata kertas kerja pembinaan universiti itu dibuat secara bersama oleh pensyarah yang terdiri daripada anak Kelantan yang berkhidmat di pelbagai universiti sebagai usaha melihat Kelantan mempunyai sebuah universti.

Menurutnya pembinaan universiti yang akan turut dibuka kepada pelajar dari negeri-negeri lain itu wajar kerana pada masa ini 40 peratus daripada pelajar di universiti tempatan dan 23 peratus tenaga pengajarnya adalah anak Kelantan.

-- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke