BERITA MALAYSIA


November 02 , 1999 16:10PM

 

SEMUA BANDUAN AKAN DIBERI TILAM

 

KAJANG, 2 Nov (Bernama) -- Semua banduan akan diberi tilam berikutan langkah kerajaan untuk memperbaiki mutu kehidupan dalam penjara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Ong Ka Ting hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah mengarahkan Jabatan Penjara melaksanakan pembelian tilam untuk banduan.

"Mengikut amalan lama, banduan baru tidak mendapat tilam tetapi kita mengambil keputusan untuk memperbaiki standard minimum ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kumpulan wang hadiah pegawai penjara di Penjara Kajang di sini.

Ong berkata Jabatan Penjara menjadi perhatian kerana berhadapan dengan pelbagai isu mencabar bermula dari kes Lim Guan Eng, kes bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara enam tahun dan laporan wakil International Parliamentarian Union (IPU).

Keistimewaan dalam bentuk bilik lebih selesa yang diberi kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga mendapat pandangan yang pelbagai dan bercanggah dari beberapa pihak.

Ong berkata dalam menanggani isu ini, Jabatan menghadapi tekanan dan cabaran untuk membuat keputusan kerana jika tersilap langkah, maka imej dan kredibiliti jabatan akan ditohmah sebagaimana dihadapi oleh sebuah daripada agensi di bawah kementerian itu.

"Saya memohon kerjasama semua pihak supaya tidak menjadikan layanan ke atas Anwar sebagai isu yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti Jabatan Penjara," katanya.

Selain melaksanakan tugas berdasarkan Akta Penjara 1995, Jabatan Penjara juga perlu mematuhi Piawaian Antarabangsa yang termaktub di bawah "United Nations Standard Minimum Rules", katanya.

Pada majlis itu, 12 pegawai penjara menerima kumpulan wang hadiah ini atas kejayaan mereka menghalang penyeludupan wang dan dadah ke dalam penjara.

-- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke