BERITA MALAYSIA


November 02 , 1999 14:44PM

 

SEMBILAN GURU DIKENA TINDAKAN KERANA BERKELAKUAN BURUK

 

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan telah mengenakan tindakan terhadap sembilan orang guru antara 1995 dan November 1999 kerana melanggari Peraturan-peraturan Pegawai Am, Kelakuan dan Tatatertib 1993.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Khalid Yunus berkata empat orang guru yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana menampar atau memukul murid telah dikenakan tindakan amaran, denda atau turun gaji.

"Tiga orang guru juga dikenakan tindakan buang kerja kerana merogol pelajar," katanya ketika menjawab soalan Badrul Hisham Abdul Aziz (BN-Hulu Langat) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata dua orang guru masing-masing telah dikenakan tindakan buang kerja dan turun pangkat kerana mencabul kehormatan pelajar.

Menurutnya, terdapat juga kes-kes yang diselesaikan di luar mahkamah dan tidak dilaporkan kepada kementerian.

Setiausaha Parlimen Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Datuk G. Palanivel pula memberitahu persidnagan itu bahawa kes membabitkan juvana yang dibicarakan di mahkamah seluruh negara semakin meningkat iaitu 4,211 kes pada 1996, sebanyak 4,590 kes pada 1997 dan 6,338 pada 1998.

"Kementerian telah mengambil langkah-langkah bersepadu dengan melaksanakan program bercorak pemulihan dan pencegahan bagi membendung fenomena ini daripada berterusan," katanya ketika menjawab soalan Asmat Nungka (BN-Beluran).

Menjawab soalan tambahan Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Batang Lupar), Palanivel berkata kementerian telah membelanjakan RM5 juta sepanjang 1997 hingga suku pertama tahun ini bagi membiayai program-program yang bermatlamat menangani masalah sosial di kalangan juvana.

-- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke