NORYATI Mohamad Yusop bersama suaminya Sulaiman Mohd. Ali di sidang akhbar di Melaka semalam. - Gambar ABDUL MOES MOHAMED YUSUF Hubungan sulit dengan Rahim bohong - NoryatiMELAKA 2 Nov. - Seorang wanita yang pernah dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, pada 1994 hari ini mendedahkan bagaimana dia diajar dan dipaksa bercakap bohong kepada Perdana Menteri dan pihak polis. Noryati Mohamad Yusop, 21, turut mendakwa seorang guru disiplin sekolahnya dan seorang doktor mengajarnya supaya mereka-reka cerita konon dirinya mempunyai hubungan sulit dengan Rahim sebelum dibawa bertemu Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. ''Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim pada bila-bila masa jua,'' kata Noryati ketika membacakan Akuan Berkanun pada sidang akhbar di sini hari ini. Akuan Berkanun itu bertarikh 2 September 1998 dibuat di hadapan Pesuruhjaya Sumpah Chong Yong Mok di Melaka. Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah suaminya, Sulaiman Mohd. Ali. Menurut Noryati, dia membuat pendedahan itu bagi menjelaskan kedudukan dirinya yang telah disentuh secara terbuka oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur yang kini sedang berjalan. Jumaat lepas, Anwar dalam keterangan bela diri menyatakan dia (Anwar) telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri kononnya seorang gadis mempunyai hubungan sulit dengan Rahim yang merujuk kepada dirinya (Noryati). ''Kenyataan tersebut tidak benar dan saya tampil hari ini untuk menyatakan apa yang sebenarnya berlaku kepada diri saya tanpa ditekan, diancam, dipujuk atau disuruh oleh mana-mana pihak,'' katanya. Noryati yang kini bekerja di sebuah kilang di Alor Gajah juga mendedahkan bahawa dia diculik dari Melaka dan disimpan selama dua minggu di Kuala Lumpur. Dalam Akuan Berkanun itu, Noryati menjelaskan dia pernah bertemu Rahim semasa menjadi Ketua Menteri Melaka untuk menerima bantuan wang pelajarannya. ''Semasa bersekolah di Melaka, seorang guru disiplin sekolah yang bernama Cikgu Zainal pada mulanya memaklumkan kepada saya untuk menukarkan saya ke sekolah Sri Putri Wilayah,'' katanya. Menurutnya, dua minggu sebelum bertukar ke sekolah itu, Zainal menyuruhnya mengikutnya (Zainal) ke Kuala Lumpur untuk berjumpa kawannya. Semasa di dalam kereta, kata Noryati, Zainal juga bertanya sama ada dia mengenali Ibrahim Jendol (bekas Ketua Pemuda Alor Gajah). Semasa sampai di Kuala Lumpur, dia kemudian dibawa berjumpa Dr. Maamor di sebuah klinik di Jalan Ampang dan tinggal di klinik berkenaan selama dua minggu. Dalam tempoh itu, dakwa Noryati, Zainal dan Dr. Maamor mengajarnya tentang cerita konon dia (Noryati) ada mempunyai hubungan sulit dengan Rahim. Selepas itu, katanya, dia dibawa berjumpa Perdana Menteri dan ketika pertemuan itu terdapat empat orang lagi yang dia tidak kenal. ''Zainal berkata bahawa saya telah mengadu kepadanya bahawa saya ada hubungan dengan Abdul Rahim dan selepas itu Zainal memandang saya dan saya mengiakannya dan menganggukkan kepala,'' katanya. Perdana Menteri ketika itu hanya berdiam diri dan mendengar apa yang dinyatakan kepada beliau tetapi selepas itu meminta mereka yang berada di dalam pejabatnya menyiasat dengan betul dakwaan berkenaan. Semasa dibawa ke Bukit Aman, kata Noryati, Zainal memaksanya membuat laporan mengenai hubungan sulit dengan Rahim. ''Saya tinggal kira-kira 50 hari di Bukit Aman dan dalam masa itu telah disoal oleh seorang pegawai polis, Deputi Supritendan (DSP) Chong,'' katanya. Menurut Noryati, Zainal dan Dr. Maamor yang menyuruhnya mereka-rekakan cerita bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan Rahim. ''Mereka berdua mengajar saya apa yang perlu dikatakan semasa berada di klinik Dr. Maamor dan menyuruh saya mengaku saya ada hubungan sulit dengan Rahim, " katanya. ''Kenyataan itu diambil oleh DSP Chong dan saya tahu kenyataan saya itu adalah fitnah,'' ujar Noryati. Sebelum itu, menurut Noryati, Zainal memberitahunya, beliau (Zainal) juga memberi kenyataan kepada DSP Chong tetapi tidak menunjukkan kenyataan itu kepadanya (Noryati). Bagaimanapun kata Noryati, semasa DSP Chong menyoalnya, dia merujuk kepada satu kenyataan dan pegawai polis itu juga memintanya mengaku sahaja dia mempunyai hubungan sulit dengan Rahim. ''DSP Chong menggunakan kenyataan dari cikgu saya untuk menyoal saya dan lepas itu dia suruh saya menandatangani kenyataan yang saya tidak baca,'' katanya. Menurut Noryati lagi, semasa berada di Bukit Aman, dia juga memberitahu bapa, nenek dan kakaknya yang melawatnya bahawa ada orang memaksanya membuat pengakuan mengenai hubungan sulitnya dengan Rahim. Katanya, neneknya Pendek Ahmad bagaimanapun tidak percaya dengan penjelasannya itu. Noryati juga menjelaskan semasa berada di Bukit Aman, dia berjumpa Dr. Abdul Rahman yang turut bertanyakan mengenai hubungannya dengan Rahim. ''Dia kata, kalau betul, dia mahu periksa saya. Saya kata saya ada perhubungan dengan Tan Sri dan dia kemudian bertanya terdapat apa-apa tanda yang ada pada badan Rahim,'' ujarnya. Kata Noryati, dia kemudian hanya mereka-reka sahaja sedangkan dia tidak tahu perkara itu. DSP Chong juga bertanyakan mengenai tanda-tanda pada badan Rahim dan sebelum itu Cikgu Zainal menyuruhnya menyebut tanda-tanda pada badan Rahim yang boleh dipercayai semasa mereka berada di klinik. Semasa ditahan di pusat pemulihan akhlak Taman Seri Puteri di Rembau, kata Noryati, dia juga memberitahu neneknya bahawa Zainal memaksanya memfitnah Rahim. Katanya, Noryati dalam pengakuan itu menyatakan dia pernah membuat surat pengakuan menafikan perhubungan sulit dengan Rahim sebelum ini kerana merasakan dirinya berada dalam keadaan serba salah. ''Tidak ada orang yang memaksa saya membuat pengakuan itu semasa saya berada di Taman Seri Puteri dan kandungan surat itu ditulis oleh saya dengan bantuan kakak,'' katanya. Semasa perbicaraan Lim Guan Eng yang menghadapi tuduhan hasutan di Mahkamah Tinggi Melaka, kata Noryati, peguam Lim, Karpal Singh bertanya sama ada dia telah membuat kenyataan kepada polis mengenai perhubungan sulit dengan Rahim. Ujarnya, dia menjawab "ya" semasa disoal oleh Karpal tetapi Karpal tidak bertanya soalan lain selepas itu. Selepas memberi keterangan di mahkamah, kata Noryati, dia kemudian membuat kenyataan akhbar bahawa tuduhan kononnya dia mempunyai hubungan sulit dengan Rahim adalah tidak benar. ''Saya membuat surat akuan ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah benar serta menurut Akta Berkanun 1960,'' katanya. Oleh: SOPHA SULAIMAN |