Kenyataan akhbar(2) Ketua Pembangkang Parlimen, Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen bagi kawasan Tanjong, Lim Kit Siang di Petaling Jaya pada 15 November 1999

Mencabar Mahathir Bersetuju Atas Penubuhan Majlis Bersama Barisan Nasional-Barisan Alternatif Mengenai Media Massa Untuk Mengawasi Liputan Harian Akhbar Tempatan Dan Asing Demi Memastikan Laporan Yang Adil, Bertanggungjawab Dan Beretika

Demi menjelaskan laporan media massa yang berat sebelah dan tidak adil tentang Barisan Alternatif, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah memberi satu definasi kebebasan berakhbar yang berlawanan, dan nampaknya kebebasan berakhbar adalah untuk memilih menjadi tidak bebas.

Semalam, beliau berkata: “Kebebasan berakhbar ialah kebebasan tidak melaporkan apa yang tidak ingin dilaporkan dan kami tidak pernah mengadu.”

Definasi sedemikian serupa dengan pernyataan kebebasan berakhbar bermakna “kebebasan berakhbar adalah untuk memilih menjadi tidak bebas”. Ini seperti tuan punya hamba abdi yang bercakap tentang hak asasi manusia yang termasuk hak asasi manusia untuk menjadi hamba abdi!

Sejak keputusan Mahathir untuk membatalkan perjalanannya ke Afrika Selatan untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) Selasa lalu demi membubarkan Parlimen dengan segera untuk mengadakan pilihan raya umum, kebanyakan media elektronik dan cetak telah menjadi alat propaganda Barisan Nasional (BN) untuk menentang parti-parti pembangkang – bukan sahaja tidak melaporkan ucapan dan pernyataan akhbar Barisan Alternatif, tetapi lebih teruk lagi, melaporkan perkara yang tidak benar dan pembohongan terhadap pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif.

Tindakan Mahathir memberi definasi kepada kebebasan berakhbar jelasnya akan memberi alasan yang baik bagi penyalahgunaan akhbar dari masa kini sehingga hari pengundian pada 29 November, dan menjadikan pilihan raya umum yang ke-10 yang “terkotor” dalam sejarah.

Saya percaya media massa tempatan akan mencapai rekod baru dalam sejarah akhbar Malaysia dengan menjadi akhbar yang tidak berprinsip, tidak beretika dan lebih teruk daripada akhbar murahan di dunia ini dalam percubaan mereka melanggari dasar kewartawanan asas untuk menjadi akhbar yang bertanggungjawab dan beretika.

Adakah Kesatuan Wartawan Nasional, Institut Akhbar Malaysia, Kelab Akhbar Malaysia dan persatuan-persatuan wartawan lain sedia menyeru liputan media massa tentang pilihan raya umum ke-10 yang beretika, bertanggungjawab dan waras?

Apabila Mahathir mengatakan “kebebasan berakhbar ialah kebebasan tidak melaporkan apa yang tidak ingin dilaporkan dan kami tidak pernah mengadu”, adakah beliau cuba mempersendakan kebebasan berakhbar di Malaysia, atau beliau berpendapat bahawa IQ rakyat Malaysia adalah antara yang terendah di dunia ini sehingga mereka percaya kepada sebarang pernyataannya?

Adakah Mahathir menjangka rakyat Malaysia akan mempercayai bahawa akhbar Malaysia mempunyai “kebebasan untuk tidak melaporkan apa yang tidak ingin dilaporkan dan kami tidak pernah mengadu”?

Apa yang telah berlaku ke atas ketua pengarang Utusan Malaysia, Berita Harian dan Berita TV3 tahun lepas apabila mereka berpendapat bahawa mereka mempunyai kebebasan sedemikian dan dapat mengamalkannya? Memang betul, tiada aduan. Tetapi, mereka telah dipecat.

Seperti yang sedia dimaklumkan, salah satu tugas Timbalan Menteri Dalam Negeri adalah untuk menjadi ketua kepada ketua pengarang yang bertanggungjawab menyemak liputan media massa harian, menelefon kepada pengarang akhbar untuk menukar laporan, tajuk utama dan tajuk kecil mereka!

Definasi Mahathir bagi kebebasan akhbar ialah contoh terkini salah satu sifat Mahathir yang luar biasa.

Semalam, Mahathir membidas media asing kerana memberi liputan meluas kepada pihak pembangkang dan langsung tidak memberi liputan kepada BN.

Mahathir tentunya membaca suatu edisi khas akhbar asing yang dijual kepada rakyat biasa.

Nampaknya, Mahathir berpendapat bahawa oleh sebab akhbar asing adalah berat sebelah dan bertindak tidak adil terhadap BN, maka adalah betul akhbar tempatan bersikap berat sebelah dan tidal adil terhadap Barisan Alternatif.

Adakah tuduhan Mahathir terhadap akhbar asing benar? Jika tuduhan Mahathir adalah benar, saya akan menyokong Mahathir untuk mengecam akhbar media yang berat sebelah dan bertindak tidak adil terhadap BN.

Saya mencabar Mahathir untuk bersetuju atas penubuhan Majlis Bersama Barisan Nasional-Barisan Alternatif Mengenai Media Massa untuk mengawasi liputan harian akhbar tempatan dan asing dari sekarang hingga ke hari pengundian untuk menghasilkan laporan harian tentang liputan media yang tidak adil dan berat sebelah.

Adakah Mahathir dan BN sedia mengambil cabaran ini? Saya pasti mereka tidak berani kerana DAP dan Barisan Alternatif dapat memberi bukti yang banyak tentang liputan media tempatan yang berat sebelah dan tidak adil, manakala BN susah untuk mencari bukti tentang liputan media massa asing!

Biasanya, liputan media tempatan yang tidak adil dan berat sebelah ialah laporan tentang pembohongan dan perkara yang tidak benar tentang Barisan Alternatif, dan media tempatan enggan  menerbitkan pernyataan pihak pembangkang yang menafikan dan mematahkan tuduhan sedemikian.

Contohnya, dalam akhbar hari ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik menyerang DAP sebagai “talam dua muka”, kerana menentang negara Islam sementara bekerjasama dengan PAS untuk menubuhkan negara Islam.

Liong Sik telah memberitahu perkara yang tidak benar tentang pemimpin-pemimpin DAP terutamanya saya, tetapi pernyataan saya untuk mematahkan tuduhannya tidak diterbitkan. Dua contoh sedemikian telah dilaporkan dalan akhbar The Star:

“Beliau (Kit Siang) memberitahu orang Cina bahawa beliau dapat menukarkan PAS dan parti (PAS) tidak akan menubuhkan negara Islam. Kemudiannya, pemimpin PAS seperti Hadi berkata bahawa mereka tidak akan mengubah matlamat mereka untuk menubuhkan negara Islam.

DAP menuntut bahawa ia menentang negara Islam, tetapi (Setiausaha Agung DAP) Lim Kit Siang berjumpa dengan (Presiden PAS) Datuk Fadzil Noor secara senyap-senyap untuk menyokong penubuhan negara Islam. Mereka sedang bermain dengan api, dan mereka akan membakar rumah mereka sendiri.”

Adakah Liong Sik yakin bahawa 99% orang Cina akan mengundi BN pada 29 November dengan sentiasa memberitahu perkara yang tidak benar tentang pemimpin-pemimpin DAP?

Reply via email to