PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Peluang berbakti kepada penduduk

SIK -- Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad (kanan) berkata kemenangan beliau atas tiket PAS terhadap Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman bagi kerusi Parlimen Sik, adalah satu proses untuk beliau melakukan sesuatu untuk penduduk daerah itu.

"Kemenangan bukan matlamat utama, tetapi dapat melakukan sesuatu adalah yang paling utama," katanya kepada pemberita di pusat penjumlahan undi di sini.

Beliau berjanji akan bekerja keras membantu rakyat Sik.

Mengulas kemenangan dengan majoriti hanya 478 itu, Datuk Shahnon berkata beliau tidak berapa kisah dengan jumlah itu kerana lawannya bukan sebarangan, sebaliknya merupakan orang ternama dan dikenali ramai.

Datuk Shahnon mendapat 13,504 undi sementara Datuk Abdul Hamid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendapat 13,026 undi.

Datuk Abdul Hamid pula berkata keputusan itu sunguh tidak disangka kerana pada sepanjang tempoh kempen sambutan orang ramai terhadap Barisan Nasional (BN) cukup baik.

Selain gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sik, BN juga gagal mempertahankan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen itu, iaitu Belantek dan Jeneri.

Calon BN bagi Belantek, Cik Siti Meriam Salleh tewas kepada Encik Mohd Isa Shafie dengan majoriti 492 sementara Encik Mohd Hadzir Mohd Jaafar tewas kepada Encik Yahya Abdullah (PAS) dengan majoriti 393 bagi kerusi Jeneri. -- Bernama.

Kirim email ke