PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Nik Aziz kekalkan Exco

"Kita mempunyai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang menjadi wakil kepada kerajaan pusat dan sekiranya peruntukan itu disalurkan kepada kerajaan negeri, semua pembangunan dapat dibuat." - Nik Aziz Nik Mat.


Kekal kuasa: PAS, pimpinan Nik Aziz Nik Mat, mengekalkan kuasa di Kelantan dengan majoriti dua pertiga selepas memenangi 41 daripada 43 kerusi Dewan Undangan Negeri.

KOTA BAHARU -- Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, bercadang mengekalkan barisan anggota Exco negeri ekoran kejayaan PAS terus menguasai Kelantan pada pilihan raya umum ke-10 kelmarin.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana kemenangan besar PAS di Kelantan adalah hasil daripada sumbangan dan kerjasama yang diberikan semua anggota Exco di bawah kepimpinannya.

Kecuali Datuk Abdul Halim Mohamed yang tidak bertanding kali ini, anggota Exco PAS berkenaan ialah Timbalan Menteri Besar Abdul Halim Abdul Rahman (DUN Kijang) yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Sains dan Teknologi; Muhammad Daud (DUN Kenali) -- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan Dakwah dan Penerangan; Omar Muhammad (DUN Perupok) -- Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa; dan Ahmad Yakub (DUN Pasir Pekan) -- Pengerusi Perdagangan Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia.

Datuk Nik Aziz dijangkakan hanya akan membuat sedikit pertukaran terhadap portfolio barisan Exco itu termasuk mengisi kekosongan jawatan Encik Abdul Halim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pentadbiran Awam.

Semasa bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini Mursyidul Am PAS itu berkata kemenangan PAS, bagi membolehkan parti itu kekal tiga penggal berturut-turut sebagai kerajaan negeri, telah dimaklumkan kepada pihak Istana.

PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dengan majoriti dua pertiga selepas memenangi 41 daripada 43 kerusi Dewan Undangan Negeri. Dua lagi kerusi dimenangi oleh calon BN iaitu di kawasan Galas dan Paloh.

Datuk Nik Aziz sendiri mempertahankan kerusi negeri Chempaka. Katanya, beliau dan barisan pemimpin PAS sedang menunggu perkenan Sultan Kelantan dan majlis angkat sumpah "akan dibuat pada bila-bila masa".

Nik Aziz juga berkata beliau telah menyampaikan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pagi semalam melalui seorang pegawai persekutuan berikutan kemenangan BN.

Beliau secara berjenaka berkata Dr Mahathir juga patut memberikan ucapan tahniah kepadanya kerana berjaya mengekalkan kerajaan Kelantan.

Ditanya mengenai kekalahan kesemua menteri pusat dari Kelantan pada pilihan raya ini, Nik Aziz berkata ia tidak akan menjejaskan usaha pembangunan di negeri ini kerana PAS boleh melaksanakannya. -- Bernama.

Reply via email to