55 calon hilang wang pertaruhan

KUALA LUMPUR, Selasa - Lima puluh lima calon yang bertanding pada pilihan raya umum ke-10 semalam, hilang wang pertaruhan berjumlah RM229,000 selepas gagal mendapat lebih satu perlapan daripada jumlah undi yang diperoleh.

Daripada jumlah itu, 31 adalah calon Bebas, 18 daripada Parti Demokratik Malaysia (MDP), tiga calon Parti Keadilan Nasional (Keadilan), dua dari Angkatan Kemajuan Insan Malaysia (Akim), manakala masing-masing satu calon Berjasa dan Pas.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata 32 daripada 55 calon yang hilang deposit itu adalah mereka yang bertanding bagi kerusi Parlimen, manakala bakinya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Antara yang hilang wang pertaruhan ialah calon Pas bagi kerusi DUN Kuala Kurau, Asman Ismail dan calon Keadilan kerusi Parlimen Kapit, Nor Azman Abdullah @ Beginda," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Nor Azman adalah salah seorang saksi dalam kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkaitan peristiwa merakam perbualan Ummi Hafilda dengan ahli perniagaan, Datuk S'ng Chee Hwa di London.

Bagaimanapun, Sng yang juga ahli perniagaan digugurkan daripada senarai calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) untuk bertanding kerusi Parlimen Julau kali ini.

Wang pertaruhan bagi kerusi Parlimen ialah berjumlah RM5,000 manakala DUN RM3,000.

Sementara itu, Speaker DUN Johor, Datuk Mohd Ali Hassan (BN) yang bertanding bagi kerusi Parlimen Tebrau memperolehi majoriti terbanyak, iaitu 35,527 undi, manakala bagi kerusi DUN pula ialah calon BN, Datuk K S Balakrishnan (Pasir Gudang), iaitu 17,307

Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang yang bertanding bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera tetapi tewas kepada calon yang memperoleh majoriti paling sedikit iaitu 104, manakala calon Keadilan, Mohd Jafri Ab Rashid memenangi kerusi DUN Cini hanya dengan majoriti lima undi.

Wan Ahmad berkata, secara keseluruhan, kira-kira 71.1 peratus pemilih keluar mengundi, terutama di sekitar pantai Timur Semenanjung.

"Parlimen Besut menunjukkan jumlah pengundi paling tinggi iaitu kira-kira 88.52 peratus, diikuti Parlimen Langkawi (88.44) dan Parlimen Peringat (88.05)," katanya.

Katanya, pada pilihan raya umum semalam, jumlah undi yang ditolak adalah kecil iaitu kira-kira 2.1 peratus bagi kerusi Parlimen dan 2.5 peratus bagi kerusi DUN

Reply via email to