PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Pengekalan Wan Mokhtar selaku MB jadi isu

KUALA LUMPUR -- Seorang daripada Menteri Besar yang disebut-sebut digugurkan dari sena rai calon Barisan Nasional (BN) ialah Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Jika bukan sebab lain, beliau telah menerajui kerajaan negeri yang kaya dengan minyak itu selama 25 tahun, tempoh masa yang lebih lama daripada mana-mana pemimpin yang pernah menyandang jawatan tersebut dalam sejarah negara.

Cakap-cakap mengenai BN akan menukar beberapa ketua eksekutif negeri bertambah hangat berikutan kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, bahawa BN akan memperkenalkan kira-kira 30 peratus muka baru dalam senarainya bagi menghadapi pilihan raya.

Tetapi apa yang mengejutkan dan mengecewakan banyak pihak, terutama di kalangan ahli politik Umno di Terengganu dan mereka yang bercita-cita menjadi Menteri Besar, ialah pengekalan Tan Sri Wan Mokhtar dalam senarai itu.

Seorang ahli politik veteran Umno Terengganu berkata anggota-anggota Umno di Terengganu itu merasa seperti "tidak dapat bergerak" berikutan Tan Sri Wan Mokhtar "enggan memberi laluan".

"Wan Mokhtar sudah pasti adalah satu faktor pada pilihan raya ini.

"PAS juga menjadikannya sebagai satu isu dan adalah sukar bagi sesiapa pun untuk mempertahankan kedudukannya atau memberi alasan mengenai tempohnya yang lama menyandang tugas itu," katanya.

Menurut ahli politik itu, Tan Sri Wan Mokhtar, seorang graduan Pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir dilihat menggambarkan bahawa beliau 'penting' dalam usaha menentang pengaruh kuat Parti Islam (PAS) di negeri itu, yang diketuai timbalan presidennya Haji Abdul Hadi Awang.

Gambaran yang diberikan ialah tanpa kehadiran beliau, PAS dengan mudah menggoyah kubu kuat Umno di Terengganu pada pilihan raya, dan memberi anggapan bahawa parti itu sudah lama berazam untuk mengambil alih kuasa.

Namun apa yang amat dibimbangkan ahli politik itu sudah pun berlaku awal pagi semalam apabila PAS, dalam cara yang mengejutkan, mengambil alih kuasa di Terengganu, yang dipegang oleh BN menerusi Umno selama 35 tahun. Sebelum itu, PAS berkuasa selama satu penggal dari 1959.

Kemenangan PAS sungguh besar sehingga melangkaui jangkaan. Ia menunjukkan peralihan sokongan beramai-ramai pengundi dari BN kepada PAS.

Parti tersebut memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding tujuh kerusi pada pilihan raya 1995.

PAS juga tidak memberi peluang langsung kepada BN untuk memenangi kerusi Parlimen dari negeri ini apabila parti itu memenangi tujuh kerusi manakala satu lagi dimenangi oleh Parti Keadilan Nasional.

Sebelum ini, BN mempunyai tujuh kerusi Parlimen dan Encik Abdul Hadi ialah satu-satunya anggota Parlimen PAS dari negeri itu.

Berdasarkan rungutan dan 'tentangan' secara senyap terhadap keengganan beliau memberi laluan, ramai yang mungkin tidak terkejut apabila Wan Mokhtar sendiri menyatakan rasa terkejut dan tidak percaya dengan kekalahan teruk BN dalam pilihan raya di negeri ini.

Menurut beberapa pihak, kekalahan teruk Wan Mokhtar di kerusi DUN Chukai, yang dikuasainya selama satu generasi, dan dengan keruntuhan kerajaan negeri BN, mungkin satu 'peringatan' kepada kepimpinan parti supaya 'lebih sensitif kepada suara akar umbi', terutama apabila ia berkaitan dengan pemilihan calon pilihan raya. -- Bernama.

Kirim email ke