Kharaj bawa banyak maksud

Oleh: ASTORA JABAT
Kharaj adalah perkataan Arab yang bererti keluaran iaitu apa yang keluar daripada bumi seperti hasil, pemberian rezeki dan kebaikannya.

Dalam al-Quran disebut kharaj adalah pemberian seperti disebut dalam ayat: ''Kerana kharaj (pemberian) Tuhanmu lebih baik dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.'' (al-Mu'minun: 72)

Dari segi istilah agama pula kharaj mempunyai banyak maksud dan digunakan oleh Rasulullah s.a.w., para sahabat dan tabiin dalam pelbagai konteks sebelum mempunyai istilah yang diterima pakai pada hari ini.

Salah satu istilah kharaj digunakan bagi menamakan harta yang diambil negara yang dibuka oleh orang Islam tanpa perang. Sejarah Islam ada menyebutkan kharaj pertama diambil oleh Rasulullah s.a.w. ialah kharaj dari negeri Bahrain.

Kharaj juga bermaksudkan bayaran atau gaji yang diberi oleh pemerintah kepada pekerja dan kaki tangannya. Bayaran atau gaji itu mungkin merupakan wang atau makanan dan lain-lain. Kharaj jenis ini dipanggil kharaj tauzif (kharaj pekerjaan).

Bayaran atau upah yang diberi oleh tuan kepada hamba lelaki dan hamba perempuan untuk mengelak masing-masing daripada mencuri dan melacur diri adalah juga dipanggil kharaj.

Malah kharaj juga dalam penggunaan ulama-ulama dahulu kala bermaksud jizyah, fi' dan itawah yang kesemuanya bermaksud sejumlah wang yang diwajib ke atas orang bukan Islam membayarnya kepada pemerintah Islam.

Bagaimanapun, kharaj yang diguna pakai oleh para ulama pada zaman mutakhir bermaksud cukai tanah dan cukai hasil tanah.

Sebenarnya terdapat tiga kewajiban kewangan yang perlu ditanggung oleh bukan Islam dalam negara Islam pada masa lalu.

Pertama, jizyah atau cukai kepala, kedua, kharaj dan, ketiga, cukai perniagaan. Jizyah adalah sejumlah wang yang sangat kecil diambil daripada bukan Islam yang tinggal di negara Islam. Orang bukan Islam yang dikenakan bayaran jizyah ini tergolong dari golongan ahli zimmi, iaitu mereka yang perlu diberi perlindungan oleh negara Islam.

Dikenakan bayaran jizyah ini adalah sebagai ganti zakat yang kenakan ke atas orang Islam.

Di pihak lain jizyah juga dikenakan juga ke atas bukan Islam sebagai bayaran perkhidmatan negara memberi perlindungan kepada mereka serta sebagai ganti tidak diwajibkan mereka berkhidmat dalam tentera seperti diwajibkan ke atas orang Islam.

Ini bererti jika bukan Islam turut berkhidmat dalam tentera, maka jizyah terhapus daripada mereka. Begitu juga jika negara tidak dapat memberi perlindungan kepada bukan Islam, jizyah terhapus daripada mereka.

Ini jelas bayaran jizyah itu adalah berkaitan dengan menjaga keselamatan bukan Islam itu sendiri. Dalam erti kata lain mereka dituntut membayar jizyah yang kecil itu adalah sebagai sumbangan mereka dalam membiayai kerajaan menjaga keselamatan negara.

Kadar bayaran jizyah itu pula terserah kepada kemampuan seorang. Umar bin Al-Khattab mengenakan jizyah bagi orang berada kelas atasan sebanya 48 dirham, orang berada kelas pertengahan sebanyak 24 dirham dan orang berada kelas bawah sebanyak 12 dirham.

Penulis tidak dapat membandingkan kadar pertukaran wang zaman Khalifah Umar dengan zaman sekarang, tetapi amatlah kecil.

Bayaran jizyah itu pula hanya dikenakan kepada lelaki yang berkemampuan dan tidak dikenakan ke atas budak, wanita dan orang tua.

Itu berhubung jizyah atau cukai kepala yang sama dengan zakat fitrah yang orang Islam membayar setahun sekali itu.

Tidak ada negara-negara Islam yang mengenakan bayaran jizyah ini kerana bukan Islam pada zaman moden ini mempunyai hak dan tanggungjawab dalam negara termasuk berkhidmat dalam tentera yang menjadi salah satu punca pembatalannya.

Kedua, kharaj, iaitu cukai tanah dan cukai hasil tanah. Kharaj dikeluarkan mengikut kadar hasil yang diperoleh bukan Islam. Kharaj ini sama dengan zakat harta yang wajib dibayar oleh orang Islam setiap tahun itu.

Dalam konteks hari ini kharaj adalah cukai hartanah dan cukai hasil penggunaan tanah sama ada untuk bertanian atau pun kegiatan-kegiatan ekonomi lain.

Ketiga, cukai perniagaan seperti yang pernah dilaksanakan oleh Umar bin Al-Khattab terhadap bukan Islam.

Kadar bayaran cukai perniagaan ini adalah mengikut kadar yang digunakan di negara-negara yang ada pada zaman itu. Sebagai contoh Khalifah Umar mengenakan cukai sebanyak 10 peratus terhadap bukan Islam dari golongan ahli harbi (golongan yang tidak diberi perlindungan oleh negara Islam) kerana negara-negara bukan Islam juga pada zaman itu juga mengenakan kadar itu terhadap ahli perniagaan Islam yang berniaga di negara mereka.

Kesimpulannya, kharaj adalah amat kecil berban-ding segala bentuk cukai yang dikenakan ke atas bukan Islam pada hari ini.

Kirim email ke