Pas diingat usah gopoh wujud kharaj

KUALA LUMPUR, Isnin - Kerajaan Pas Terengganu diingatkan supaya tidak tergesa-gesa melaksanakan kharaj - cukai kepada bukan muslim, semata-mata untuk menunjuk-nunjuk pelaksanaan dasar Islam di negeri itu.

Sebaliknya, kerajaan negeri itu diminta memberi penjelasan menyeluruh mengenai peraturan berkenaan bagi mengelak orang bukan Islam membenci Islam.

Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria berkata, sesuatu peraturan yang dibuat secara tergesa-gesa akan menyebabkan orang bukan Islam terkejut kerana tidak memahami tujuan sebenar peraturan berkenaan.

"Kharaj diperkenalkan kepada bukan Islam sebagai balasan atas tanggungjawab kerajaan melindungi orang bukan Islam, malah duit itu juga akan digunakan untuk membantu orang bukan Islam yang miskin," katanya.

Harussani bagaimanapun berkata, negara Islam juga memberi penekanan kepada keadilan terhadap semua bangsa yang bernaung di bawah negara Islam.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Syariah Terengganu Harun Taib, berkata Terengganu bercadang mengenakan kadar kharaj antara lima hingga 10 peratus daripada pendapatan bersih tahunan bagi aktiviti ekonomi.

Harun yang juga ketua jawatankuasa pelaksanaan dasar berkenaan berkata, cukai berkenaan tidak dikenakan kepada individu tetapi kepada mereka yang terbabit dalam aktiviti ekonomi saja.

Imam Majid Putrajaya, Tan Sri Abdul Kadir Talib, pula berpendapat soal cukai selalunya membawa masalah dan sekarang pun DAP, MCA dan Gerakan menentang peraturan yang hendak dilaksanakan kerajaan Terengganu.

"Oleh itu, pelaksanaannya bukan perlu sekadar menampakkan Islam, tetapi boleh dilaksanakan," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin berkata, perkataan kharaj perlu dijelaskan sama ada jenisnya sama seperti di dalam negara Islam dulu atau ada perubahan berdasarkan perkembangan semasa.

"Istilah itu boleh memberi kekeliruan kepada orang bukan Islam, malah orang Islam sendiri belum tentu faham konsep berkenaan," katanya.

Beliau menjelaskan kharaj merujuk kepada negara Islam awal yang mengenakan cukai kepada bukan Islam selepas berjaya memerintah sesebuah negara.

"Contohnya, tentera Islam dulu berperang dan berjaya menawan sebuah negara dan mereka membiarkan tanah pertanian terus dilaksanakan oleh bukan Islam tetapi mengenakan cukai tertentu.

"Harta rampasan selalunya dibahagikan di kalangan tentera, tetapi kini tidak lagi berlaku peperangan," katanya.

Sementara itu, Parti Progresif Rakyat Malaysia (PPP) meminta kerajaan Pas Terengganu menangguhkan cadangan mengenakan cukai baru itu terhadap perniagaan orang bukan Islam kerana bimbang ia mungkin memberi kesan tidak baik kepada negara.

Presidennya, Datuk M Kayveas berkata, kerajaan Pas tidak seharusnya bersikap terburu-buru dalam melaksanakan sesuatu dasar terutama yang membabitkan golongan masyarakat tertentu.

Katanya, tindakan sedemikian boleh merosakkan perniagaan kumpulan terbabit dan menyebabkan mereka tidak berminat untuk tinggal dan berniaga di negeri yang ditadbir kerajaan Pas.

Tambahan pula, katanya, soal cukai adalah hak Kerajaan Persekutuan dan cadangan kerajaan Terengganu memperkenalkan cukai baru itu mungkin bercanggah dengan akta percukaian dan Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan Pas perlu mengkaji perkara ini terlebih dahulu. Pas juga perlu mendapatkan pandangan masyarakat bukan Islam di negeri itu," katanya.

Kayveas berkata, sikap Pas yang melaksanakan sesuatu dasar atas nama Islam tanpa mengambil pandangan pihak lain adalah punca orang bukan Islam takutkan cara pentadbiran kerajaan Pas.

Katanya, jika Pas masih terus menggunakan pendekatan menakut-nakutkan, maka parti itu tidak layak mentadbir negeri lain yang mempunyai ramai rakyat bukan Islam.

Sementara itu, Karpal Singh, dalam kenyataan peletakan jawatannya sebagai pegerusi DAP Pulau Pinang, membidas tindakan Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor menyokong cadangan Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang untuk melaksanakan kharaj.

"Tindakan ini melanggar Perlembagaan yang melindungi penganut bukan Islam daripada hukuman menurut undang-undang Syariah.

"Sebagai contoh ialah bagaimana pasangan khalwat yang bukan penganut Islam tidak boleh didakwa di Mahkamah Syariah," jelas Karpal yang turut meminta Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah menyiarkan secara umum pandangannya berhubung isu itu.

Kirim email ke