Cerita dongeng masih boleh dijadikan iktibar

BIASANYA cerita-cerita dogeng sangat digemari oleh kanak-kanak. Berbagai-bagai cerita seperti ini sering disampaikan kepada kami dulu terutama sebelum kami tidur atau barangkali memang tujuan supaya kami tidur. Selalunya begitulah, setelah mendengar cerita-cerita itu, kami akan terlena. Demikianlah bedtime stories di zaman kanak-kanak dulu. Saya tidak lupa dengan watak nenek Kebayan yang sering hadir dalam banyak cerita seperti itu.

Di antara cerita dogeng yang saya masih ingat ialah cerita seorang penjual songkok yang berhenti rehat dan tertidur. Ramai yang tahu cerita ini dan ada berbagai-bagai versi pula, mengikut cara penyampaian sesuai dengan peringkat pendengarnya. Tetapi isinya tetap sama.

Seorang penjual songkok yang telah jauh dan lama berjalan terasa penat. Dia duduk di pangkal sebatang pokok besar. Setelah meletakkan bungkusan yang berisi pelbagai jenis songkok itu di sebelahnya, dia pun menyandarkan badannya pada pokok itu. Tidak lama kemudian dia tertidur dengan lenyaknya.

Perbuatan si penjual itu diperhatikan oleh beberapa ekor monyet yang berada dan bergayut di dahan atas pokok itu. Apabila si penjual kelihatan tidak bergerak-gerak lagi, monyet-monyet itu pun turun dan membuka bungkusan itu. Setelah membongkar seketika, mereka membawa beberapa biji songkok naik ke atas pokok.

Monyet-monyet itu sungguh gembira dan kelihatan seperti tidak tahu apa yang hendak dilakukannya. Ada yang membelek-belek sambil cuba menyiat-nyiatkannya dan ada juga yang meletakkan di kepalanya. Jelas sekali, monyet-monyet ini belum pernah melihat songkok.

Mereka cuba melakukan sesuatu, tetapi tidak berjaya. Tiba-tiba mereka serentak berhenti dan melihat ke bawah apabila penjual songkok itu terjaga dari tidurnya. Dia terkejut melihat beberapa biji songkoknya berserak di atas rumput. Bunyi bising monyet-monyet yang merasa gembira itu menyebabkan si penjual songkok mendongak.

Setelah beberapa kali dia cuba berkomunikasi dengan 'penceroboh-penceroboh' itu supaya pulangkan 'barang curian' tadi, dia kembali duduk. Sebentar kemudian dia ambil tiga biji songkok dan melambung-lambungkannya.

Perbuatannya itu diperhatikan oleh monyet-monyet tersebut sambil melompat-lompat gembira dengan bising. Kemudian mereka meniru apa yang sedang dilakukan oleh si penjual tadi. Songkok-songkok itu dilambungkan. Sekali lambung saja, songkok-songkok itu jatuh. Si penjual songkok segera memungut songkok-songkok tadi, dibungkusnya dan terus beredar.

Saya teringat cerita dongeng ini apabila secara tidak langsung dan tidak sengaja, memikirkan keghairahan setengah-setengah kita yang gemar meniru amalan orang lain. Mungkin kita telah terlebih dulu dipengaruhinya sebelum meniru. Faktor-faktor luar yang begitu kuat memang sukar diatasi. Lebih-lebih lagi kalau kita sendiri kurang menyedari akan keburukan pengaruh tersebut.

Saya kira cerita-cerita dongeng untuk kanak-kanak ini sesuai dijadikan pengisi masa sambil menjadikannya sebagai hiburan, walaupun hari ini kita diberikan banyak cerita-cerita hiburan untuk kanak-kanak melalui saluran yang lebih canggih.

Namun, rasanya tidak rugi kalau kita menyampaikan kepada mereka, cerita-cerita yang lebih tradisional seperti ini terutama yang telah sedia membawa nilai-nilai budaya.

Cerita dongeng seperti ini mungkin telah terlalu tua usianya dan latar kehidupan wataknya pun mungkin dianggap sudah tidak sesuai lagi. Kalau itu kita jadikan ukuran, memang benar. Tetapi kita boleh petik banyak iktibar daripada cerita-cerita seperti itu. Ia akan lebih ternyata apabila kita berupaya membuat perbandingan dengan teliti tanpa mengira usia serta dari mana asal cerita itu.

Barangkali, kelakuan monyet-monyet dalam cerita yang dibentangkan tadi -- suka meniru-niru -- boleh kita renungkan seketika secara positif.

Kirim email ke